Rabu, 27 Jun 2012

Produser Filem, Raja Azmi & Bekas Jaguh Badminton Negara, Jalani Sidek Sah Bercerai



Raja Azmi bersama Jalani (belakang) dan anak perempuan mereka, Puteri Suaida selepas prosiding perceriaan selesai di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Kuala Lumpur, pada Rabu.

KUALA LUMPUR: Produser filem Raja Azmi Raja Sulaiman menganggap perceraiannya dengan bekas jaguh badminton negara, Jalani Sidek di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini pada Rabu adalah satu hukuman kerana cuai dalam menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri.

Penerbit filem ...Dalam Botol itu turut reda dengan “hadiah” yang diberikan Allah sempena ulang tahun kelahirannya ke-53 yang jatuh pada hari sama talak dilafazkan.

"Saya percaya perceraian ini adalah hadiah daripada Allah bersempena sambutan hari lahir saya pada hari ini (Rabu). Saya terima hukuman Allah di dunia ini kerana kesilapan saya.

“Semoga saya tidak dihukum di akhirat nanti," luahnya kepada mStar Online ketika ditemui di luar mahkamah di sini, Rabu

Jalani atau nama sebenarnya Mohamed Jalani Mohamad Sidek,49, melafazkan talak satu terhadap Raja Azmi di hadapan Hakim Syarie, Shaiful Azli Jamaludin.

Pasangan terbabit mengambil keputusan tersebut atas alasan tidak lagi wujud kasih sayang dan persefahaman selain berhadapan dengan konflik rumah tangga yang berpanjangan selama ini.


Raja Azmi berkata, dia atau bekas suami tidak menetapkan tarikh tertentu bagi permohonan perceraian berkenaan sebaliknya tarikh itu adalah secara kebetulan kerana ia ditentukan oleh pihak mahkamah.

Penulis novel itu turut berkata, perceraian yang berlaku dibuat atas persefahaman bersama bagi membolehkan hubungan dia dan bekas suami terus akrab dan baik seperti sebelum ini.

"Kami bercerai dengan persetujuan bersama dan anak-anak memahami serta menerimanya. Hubungan saya dan Jalani akan terus baik seperti biasa selepas ini.

"Malah, kami sekeluarga baru berkumpul pada malam semalam (Selasa) bagi meraikan hari jadi saya. Selepas pulang dari mahkamah, kami akan berbincang mengenai hal anak-anak dan beberapa urusan keluarga," katanya.

Hasil perkahwinan selama 28 tahun, kedua-dua pasangan itu dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Puteri Suraya, 27, Puteri Suaida, 23, dan Megat Deli, 18.

Mereka juga memiliki seorang cucu berusia setahun iaitu Muhammad Akid Mohd Shadan, anak kepada Puteri Suraya.

Raja Azmi sebelum pernah didakwa berkhalwat dengan bekas jaguh badminton negara, Roslin Hashim pada Ogos 2010 di Hotel Corus, Jalan Ampang, di sini.

Bagaimanapun, mereka dibebaskan pada 19 Ogos tahun lalu oleh pihak mahkamah selepas setahun proses siasatan berlangsung.

Jailani juga pernah dihimpit kontroversi kononnya dikatakan mempunyai hubungan dengan seorang ahli perniagaan berstatus janda.

- mStar

SPR Peruntuk RM78 Juta Untuk PRU13 di Sarawak


KUCHING, 26 Jun (Bernama) -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah memperuntukkan sejumlah RM78 juta bagi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) untuk Sarawak, kata Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar.

Katanya jumlah itu merupakan peruntukan yang tertinggi berbanding dengan negeri lain memandangkan SPR mengambil kira saiz kawasan yang perlu diliputi semasa pilihan raya.

"Kalau kita tengok pecahannya, (perbelanjaan) sewaanlah yang paling besar, 56 peratus bajet kita pergi ke sewaan sahaja," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan taklimat untuk Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PPKPR) di sini Selasa.

Menurutnya antara perbelanjaan sewaan ialah untuk 777 buah perahu, 53 buah bot laju, 4,600 buah kereta termasuk kenderaan pacuan empat roda, 27 buah helikopter dan dua buah kapal terbang kecil.

Hanya pilihan raya kawasan Parlimen sahaja yang akan diadakan di negeri ini dalam PRU-13 yang melibatkan 31 buah kawasan di mana penggunaan helikopter diperlukan di 15 buah daripada kawasan berkenaan, katanya.

-- BERNAMA

Isu Doa Supaya Kerajaan Digulingkan Dalam PRU13: Kariah Buat Laporan Polis


Abu Bakar (tengah) menunjukkan laporan polis yang dibuat, semalam.

BUKIT MERTAJAM – Kariah Masjid Saidina Abu Bakar as-Siddiq Taman Guar Perahu, semalam, membuat laporan polis berhubung laporan sebuah stesen televisyen swasta mengenai dakwaan seorang khatib mendoakan supaya kerajaan digulingkan dalam pilihan raya akan datang.

Laporan dibuat Pengerusinya, Abu Bakar Bakilani Abu Hassan di Balai Polis Kubang Semang, pada jam 4.20 petang.

Sebelum itu, lebih 100 penyokong PKR dan Pas turut berarak mengiringi beliau dari Taman Guar Perahu menuju ke balai, dan mengadakan demonstrasi aman di hadapan balai sejurus tiba bagi menyatakan bantahan terhadap kenyataan yang dibuat terhadap khatib tersebut.

Abu Bakar ketika ditemui berkata, pihaknya menuntut permohonan maaf secara terbuka oleh dua individu yang membuat kenyataan, selain sebuah stesen televisyen swasta yang bertindak sebagai penyiar kepada dakwaan itu.

“Tujuan laporan polis ini dibuat adalah bagi menyatakan rasa marah di samping membersihkan nama baik masjid yang sudah tercemar.

“Kita menuntut pihak berkenaan (individu dan stesen televisyen) supaya memohon maaf secara terbuka kepada kariah masjid,” katanya.

Tegas Abu Bakar, khatib di dalam doa khutbah tersebut tidak langsung menyebut mahu menggulingkan kerajaan, mahu pun menujukan ia kepada mana-mana parti.

Katanya, pihaknya juga sudah meneliti rakaman khutbah, dan ia jelas bercanggah dengan apa yang didakwa.

Terdahulu, sebuah stesen televisyen malam Sabtu menyiarkan kekecewaan beberapa kariah masjid terhadap seorang khatib yang mendoakan ‘kerajaan perlu digulingkan’ dalam khutbah Jumaat di masjid berkenaan minggu lepas.

Dan, kelmarin, Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir meminta MAINPP menyiasat khatib ekoran doanya itu didakwa boleh memecah-belahkan umat Islam, selain perbuatannya yang dianggap menghasut.

- SH

Pejabat Daerah Kecil Niah-Suai Arah Rh Sigan Anak Inal Meninggalkan Kawasan

Ulu Niah, 27 Jun (namaberita.com): Kira-kira 700 kaum Iban dan penyokong TR Sigan Anak Inal (dahulunya dikenali sebagai TR Umpor Anak Lunsa) di Ulu Niah, bahagian Miri telah mengadakan upacara ‘miring’ di hadapan rumah panjang mereka semalam membantah tindakan Pegawai Tadbir Sarawak (SAO) dari Pejabat Daerah Niah-Suai mengusir mereka dari kawasan yang didiami. 

Penduduk Iban marah dengan cara SAO manyalahguna kedudukan beliau sebagai penjawat awam memberi notis pengusiran atas perintah sebuah syarikat perladangan kelapa sawit, Medan Mestika yang masih dalam pertikaian dengan rumah panjang berkenaan.


Selepas majlis ‘miring’ tersebut, wakil-wakil rumah panjang yang diketui oleh TR Sigan pergi ke Balai Polis Batu Niah untuk membuat laporan mengenai dakwaan penyalahgunaan kuasa SAO berkenaan. Mereka juga akan mengambil tindakan undang-undang terhadap SAO berkenaan .


TR Sigan dan anak biaknya akan mengabaikan notis tersebut dan akan terus tinggal di rumah panjang mereka.


Menurut Ramuold Siew, Presiden TAHABAS, SAO tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan notis pengusiran oleh pihak berkuasa terletak dengan Penguasa Tanah dan Ukur. Tiada notis pengusiran telah dikeluarkan oleh Penguasa Tanah dan Ukur Bahagian Miri setakat ini.


Dalam notis pengusiran tersebut, penduduk Rh Sigan diberi tempoh 14 hari untuk meninggalkan kawasan mereka. Alasan yang diberikan bagi notis pengusiran, penduduk Rumah Sigan gagal hadir untuk berdialog dengan syarikat itu pada 15 Mei 2012. (Sila rujuk pada lampiran surat untuk lebih lanjut)


Penduduk kaum Iban dari Rh Sigan telah menduduki kawasan tersebut sejak 1946 lagi. Penduduk di rumah panjang panjang tersebut mula dipimpin oleh TR Remang. Setelah TR Remang meninggal dunia, TR Umpol mengambil alih tanggungjawab dalam memimpin ‘anembiaknya’ mengambil tindakan undang-undang terhadap pencerobohan Medan Mestika Sdn. Bhd yang telah difailkan di Mahkamah Tinggi Miri pada tahun 2008 dan diteruskan oleh Tr Sigan yang kini memimpin anak biaknya. 


Medan Mestika, anak syarikat WTK telah dikeluarkan Pajakan Sementara (PL) oleh kerajaan negeri untuk membangunkan ladang kelapa sawit. Dalam laporan Environmental Impact Assessment (EIA), ia mengiktiraf kewujudan tuntutan NCR oleh kaum Iban di Rh Sigan kini dan syarikat Medan Mestika perlu menangani isu-isu tanah NCR untuk memajukan kawasan itu. 



Tr Sigan menunjukkan surat daripada Pejabat Daerah Kecil Niah-Suai bersama Peguam Abun Sui Anyit

Pejabat Daerah Kecil Niah-Suai memberi notis kepada Tr Sigan Anak Inal dan anak biak di Lubok Numpu, Ulu Niah, Sarawak untuk meninggalkan kawasan dalam tempoh masa 14 hari dari tarikh surat ini ditulis (12.06.2012).


YB Ali Biju (ADUN Krian) memberi kata-kata semangat kepada Rh Sigan (aka: Rh Umpol) Ulu Niah
Zulhaidah Bt Suboh juga turun padang

Peguam Abun Sui Anyit memberi kata-kata semangat kepada penduduk kampung

Pengarah Eksekutif BRIMAS, Mark Bujang turut berkongsi sesuatu

Penduduk Rh Sigan membuat laporan polis terhadap Pegawai Tabir Sarawak yang menyalahguna kuasanya menghalau penduduk dari tanah adat mereka.