Isnin, 21 Mei 2012

TV3 Sahkan Awal Ashaari Pengacara 'Melodi' Gantikan Dira



PETALING JAYA: Stesen televisyen TV3 akhirnya mengesahkan secara rasmi aktor Awal Ashaari dilantik sebagai pengacara tetap rancangan Melodi bagi menggantikan Dira Abu Zahar.

Awal Ashaari akan berganding dengan Zizan Razak pada awal Jun depan.

Penerbitnya Azman Abd Gafar berkata, pemilihan Awal itu adalah satu strategi berdasarkan sesi pemilihan calon pengantara yang telah dilakukan beberapa bulan sebelum ini.

"Kami yakin bakat dan potensi yang ada pada Zizan dan Awal kerana mereka mampu mengendalikan rancangan dengan keunikan tersendiri. Malah mempunyai kelompok peminatnya tersendiri.

"Bukan sekadar bertumpu kepada gurauan dan usikan semata-mata, jika diberi peluang, gandingan Zizan dan Awal mampu menyerikan program ini dengan corak pengacaraan yang sudah sebati dengan penonton.” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan di sini, Isnin.


Tambah Azman, pihaknya juga telah melakukan perbincangan dengan Dira dan wanita itu akur dengan keputusan untuk berundur daripada Melodi.

"Dira membuat keputusan mengundur diri kerana ingin lebih menumpukan masa dan tanggungjawab kepada pelajaran dan juga perniagaannya.

"Pihak produksi dan TV3 akan terus menyokong Dira yang sememangnya berbakat bukan sahaja di dalam bidang pengacaraan malah juga lakonan.

"Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepadanya yang sentiasa komited bersama kami sejak Mac tahun lalu hinggalah ke penghujung bulan Mei ini," ujarnya.

Bagaimanapun, Azman berharap, perubahan pengacara yang dilakukan tidak memberi pandangan negatif masyarakat.

- mStar

Anggota Kumpulan Bee Gees, Robin Gibb Disahkan Meninggal Dunia Pada Usia 62 Tahun



LONDON: Anggota kumpulan Bee Gees, Robin Gibb yang baru sahaja pulih dari koma lebih kurang sebulan yang lalu telah disahkan meninggal dunia pada usia 62 tahun.

Keluarganya mengeluarkan kenyataan ringkas yang Robis menghembuskan nafasnya yang terakhir pada lebih kurang jam 10.46 malam Ahad (waktu London).

Beliau meninggal dunia selepas sekian lama bergelut dengan penyakit barah hati dan kolon.

"Keluarga Robin Gibb, ahli kumpulan Bee Gees mengumumkan dengan rasa begitu sedih bahawa Robin meninggal dunia hari ini (Ahad) selepas bertarung dengan kanser dan beberapa pembedahan.

"Kami memohon supaya tidak diganggu pada saat ini," kata keluarga penyanyi itu dalam satu kenyataan.

Akhbar The Sun UK melaporkan, anak-anak mendiang Robin iaitu Robin-John, Spencer dan Melissa serta isterinya Dwina berada di sisinya ketika dia meninggal dunia di Hospital Chelsea di sini.

Sementara abang sulungnya yang juga anggota terakhir The Bee Gees yang masih hidup, Barry Gibb, 65, yang kini telah kembali di Amerika tetapi sentiasa berada di sisinya ketika dia di dalam koma pertengahan bulan lalu telah dimaklumkan tentang kematian Robin.

Barry, Maurice dan Robin mencipta nama dalam dunia pop dan disko pada 1970-an dan 80-an dengan lagu-lagu popular termasuk "How Deep Is Your Love", "Stayin’ Alive", dan "Night Fever".

Kumpulan tersebut meraih penjualan album sebanyak 200 juta unit di seluruh dunia, meletakkan mereka sebaris dengan The Beatles, Rolling Stones dan Pink Floyd.

- Mstar

Berita Berkaitan: The Australian

SPR: Nama Unik 'Kangkung', 'Timun', 'Machine Gun', 'Elvis Presley' Adalah Pegundi Sah


PORT DICKSON: Mereka yang memiliki nama-nama 'unik' membuatkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pening kepala dengan para pengkritik yang mempertikaikan kewujudan golongan tersebut.

Namun, SPR berkata, rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) membuktikan bahawa mereka adalah pengundi yang sah.

Para pengkritik suruhanjaya itu membuat jenaka terhadap nama-nama haiwan, sayur-sayuran dan individu terkemuka yang masih hidup atau meninggal dunia dalam kalangan daftar pemilih seramai 12.8 juta pengundi.

Mereka turut bertanya mengapa wujud pengundi dengan nama seperti Timun, Kangkung, Harimau dan Kuda dalam daftar pemilih.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, mereka yang memiliki nama unik yang tinggal di pedalaman Sabah dan Sarawak adalah pengundi sah.

Katanya, adalah tidak adil bagi SPR dituduh sengaja mereka nama-nama tersebut dan mendaftarkan pengundi-pengundi yang tidak wujud.

"Agak hairan bahawa pengkritik masih tidak memahami perkara ini yang berada diluar kawalan kami.

"Kami mempunyai pengundi yang memiliki nama seperti Elvis Presley, Reagan dan A.Ramlie bin Jefridin dalam daftar pemilih. Namun, kesemuanya wujud dan merupakan rakyat Malaysia," katanya. (A.Ramli dan Jefri Din merupakan penyanyi terkemuka negara pada 1960)

Abdul Aziz berkata, terdapat pengundi dengan nama seperti Atas Jalan, Tepi Jalan, Machine Gun dan Boeing.

"Selagi butiran tarikh lahir mereka sama dengan rekod JPN, kami tidak boleh mempertikaikan status mereka dan mesti mendaftarkan mereka sebagai pengundi," katanya.

Beliau berkata, SPR terus menerima kritikan berhubung perkara yang diluar kawalan mereka walaupun pelbagai usaha dilakukan pegawai-pegawai untuk memastikan daftar pemilih bersih dan dikemas kini.

Katanya, daftar pemilih mempunyai kira-kira 15,000 pengundi yang nombor kad pengenalan mereka tidak selari dengan jantina seperti ditetapkan JPN.

Bagi jantina lelaki, nombor terakhir dalam 12 digit kad pengenalan merupakan nombor ganjil manakala perempuan pula adalah nombor genap.

"Jika berlaku campur aduk, kami tidak boleh katakan bahawa mereka tidak boleh didaftarkan sebagai pengundi kerana JPN mempunyai rekod mengenai kewujudan mereka.

"Mungkin berlaku kesilapan apabila MyKad diserahkan kepada mereka," katanya.

Abdul Aziz berkata, mereka juga sering dilontarkan dengan pertanyaan mengenai kewujudan pengundi yang memiliki nama serupa dan lahir pada tarikh dan negeri yang sama.

"Perbezaan hanya empat digit terakhir dalam nombor kad pengenalan mereka. Apabila kami mengenal pasti kes ini dengan JPN, kami mendapati mereka didaftarkan pada sejak lahir dan masih hidup," katanya.

Menurut beliau, terdapat beberapa soalan dibangkitkan mengenai kewujudan pengundi yang berusia lebih 100 tahun dalam daftar pemilih walaupun rekod SPR menunjukkan kira-kira 1,000 pengundi bagi golongan tersebut.

"Kami terus mengesahkan maklumat-maklumat tersebut dengan agensi berkaitan. Kami tidak boleh memadam nama-nama pengundi walaupun mereka sudah mencecah usia 100 tahun.

Abdul Aziz berkata, kira-kira 3.7 juta rakyat Malaysia yang layak mengundi masih belum mendaftar sebagai pemilih walaupun pelbagai kempen dilakukan untuk menggalakkan mereka berbuat demikian.

- mStar

Banyak Nama Pelik di Sabah


KOTA KINABALU: Mereka yang bukan berasal dari Sabah sering keliru dengan nama-nama pelik yang digunakan penduduk pelbagai etnik di negeri itu.

Nama-nama pelik seperti Mogumbirak, Tigabelas, Ponyrace, Samalia Cuba dan Rothmans sering menjadi bahan gurauan dan menimbulkan tanda tanya di kalangan masyarakat pelbagai etnik di Sabah.

Namun, terdapat cerita menarik di sebalik bagaimana nama-nama tersebut diberikan seperti dalam kes melibatkan seorang bekas Pengarah Jabatan Arkib Negeri Sabah, Datuk Datu Tigabelas Datu Zainal Abidin.

"Agak sukar untuk membawa nama ini. Di sekolah, saya sering diusik dan sukar untuk berkawan tetapi saya belajar membiasakan diri dengan keadaan itu," katanya.

Beliau berkata, nama tersebut diberikan selepas kematian tragik berturut-turut yang menimpa keluarganya.

Nama itu sebenarnya diberikan untuk menyelamatkan nyawa beliau.

"Sebelum kehadiran saya, ibu bapa saya memiliki 12 cahaya mata dan kesemuanya meninggal dunia.

"Mereka (ibu bapa) mendapatkan nasihat daripada penduduk kampung di Kota Belud termasuk bomoh dan mereka memberitahu sama ada memberikan saya nama unik atau menyerahkan saya kepada keluarga angkat," katanya.

Tigabelas berkata, doktor yang menyambut kelahirannya mencadangkan nama tersebut kepada ibu bapanya selepas mengetahui mengenai kematian adik-beradik saya.

"Selepas mengetahui saya anak yang ke-13, dia mencadangkan agar saya dinamakan Tigabelas.

""Saya percaya, saya anak ke-13 yang bertuah kerana hanya saya seorang terselamat. Ibu melahirkan dua anak selepas saya tetapi mereka turut meninggal," katanya.

Dalam kebanyakan kes melibatkan nama aneh, ibu bapa yang buta huruf pada 1960 dan 1970 merupakan penyebab utama.

Mereka memberikan nama berdasarkan bunyi atau memilih perkataan popular seperti Ponyrace atau jenama rokok terkemuka seperti Rothmans atau Benson.

Mogumbirak, seorang lelaki dari etnik Rungus berusia 50 tahun yang berasal dari Kudat menarik perhatian tanpa diminta.

Pekerja buruh, Samalia Cuba yang namanya diangkat sempena dua negara iaitu Somalia dan Cuba enggan memberikan sebab keluarganya memilih nama tersebut.

"Tidak apalah, tidak payah tanya. Saya ada kerja sekarang," katanya ketika dihubungi Ahad.

- mStar

News berkaitan: The Star

Pesta Berderun Balingian 2012, 25-27 Mei

Gambar Hiasan - Ketua Menteri melepaskan satu acara lumba perahu pada Pesta Bederun 2010 lalu

DALAT: Ketua Menteri Sarawak Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud akan menghadiri jamuan kesyukuran Majlis Berambeh Jegum Ketua Menteri yang akan diadakan di sini pada hari Selasa ini (22 Mei).

Acara jamuan tengah hari yang bertempat di restoran milik Kr. Hadiah Jeraie di Pekan Dalat dijadual bermula jam 12.50 tenghari.

Sementara itu, pada 27 Mei, beliau juga dijangka akan ke Daerah Kecil Balingian untuk merasmikan Pesta Bederun 2012.

Pesta yang berkonsepkan sukan air itu akan diadakan di Batang Balingian Depan Tebingan Sungai Pekan Lama Balingian mulai 25 Mei hingga 27 Mei ini.

Pelbagai acara menarik disediakan antaranya ialah perlumbaan lumba perahu bidar, perlumbaan bot laju dan buat julungkalinya orang ramai akan disajikan perlumbaan unik iaitu Lumba Rakit Nipah secara berkayuh.

Selain itu, pada pesta kali ini pihak penganjur juga turut menjemput lima orang penyanyi finalis Anugerah Juara Lagu Iban (AJJAR) iaitu Melissa Francis, Betty Bawin, Jenarino Jeraki, Lucy Mapan, dan James Jakub Selat.

Menurut jurucakap daripada penganjur, Karnai Mohd Ali,  Ahli Parlimen Mukah, Dato Sri Muhammad Leo Toyad juga hadir pada keramaian tersebut.

Beliau juga dikatakan sebagai penaja persembahan artis-artis AJJAR yang akan berlangsung pada malam 25 Mei dan sebelah pagi pada 27 Mei itu nanti.

“Kami berharap orang ramai bukan sahaja dari sekitar daerah Kecil Balingian, malah dari Selangau, Sibu, Bintulu dan Mukah akan memenuhi Tebingan pasar lama Balingian sepanjang penganjuran pesta itu nanti,” kata Karnain.

- SU

Wartawan Kesal Sikap Penyokong Kelantan Ketika Final Piala FA


KUALA LUMPUR - Wartawan yang membuat liputan perlawanan akhir Piala FA antara Kelantan dan Sime Darby di Stadium Nasional Bukit Jalil malam semalam, kesal dengan sikap biadap segelintir penyokong 'The Red Warriors'.
   
Wartawan Utusan Malaysia, Muhammad Dayne Azmin berkata beliau sangat kecewa melihat sikap penyokong Kelantan itu yang tidak profesional dengan membaling botol minuman dan bekas makanan ke arah tempat media di aras dua stadium berkenaan.
   
"Pada separuh masa pertama, penyokong Kelantan membaling botol air sehingga terkena skrin laptop saya. Mereka kemudian bertindak lebih agresif dengan membaling bekas penyembur rambut ketika meraikan gol (oleh Mohammed Ghaddar) sehingga hampir terkena kepala namun saya sempat tepis.
   
"Bagi saya, tindakan seumpama itu merupakan suatu perkara yang tidak matang dan jelas tidak mencerminkan semangat kesukanan yang sebenar," katanya.
   
Muhammad Dayne berkata beliau pernah mengadukan mengenai isu keselamatan tersebut kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum ini, namun badan induk bola sepak negara itu menyatakan perkara tersebut terletak di bawah tanggungjawab Perbadanan Stadium Malaysia.

Wartawan Berita Harian Mohd Fitrie Muhamad pula berkata beliau hampir terkena bekas makanan yang dibaling dari aras tiga stadium itu.
   
"Mereka sebagai penonton harus bersikap profesional ketika memberi sokongan kepada pasukan kesayangan mereka dan bukannya mencampakkan sebarang objek kepada kami walhal mereka tahu kami sedang membuat liputan perlawanan," katanya.
   
Presiden Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) Ahmad Khawari Isa ketika dihubungi Bernama berkata beliau kesal dengan kejadian itu kerana pegawai FAM sendiri memberi jaminan kepadanya mengenai soal keselamatan terhadap media, semasa beliau mengikuti lawatan ke stadium tersebut pada Selasa lepas.
   
"Penyokong bola sepak tidak sewajarnya menjadikan petugas media sebagai sasaran kemarahan kerana mereka perlu tahu bahawa kita mempunyai tugas untuk dilaksanakan," katanya.
   
Beliau meminta FAM menilai kembali prosedur keselamatan bagi memastikan kejadian tersebut tidak berulang.
   
"Saya akan kumpulkan semua pendapat daripada petugas media yang terlibat sewaktu perlawanan tersebut sebelum menghantar surat kepada FAM untuk tindakan lanjut daripada mereka," katanya.
   
Pada perlawanan itu, Kelantan muncul juara selepas menumpaskan Sime Darby 1-0. - Bernama

Indonesia diberi jolokan 'Baby Smoker'


Gambar hiasan - seorang kanak-kanak sedang asyik menghisap rokok di Jakarta.

JAKARTA 20 Mei - Jolokan negara 'Baby Smoker' yang diberikan kepada Indonesia, mungkin bukanlah suatu pencapaian yang boleh dibanggakan buat negara ini.

Namun, itulah realiti yang terpaksa dihadapi oleh Indonesia apabila digelar sedemikian rupa, hanya kerana jumlah perokok teramai di negara itu terdiri daripada golongan remaja dan kanak-kanak bawah umur.

Berdasarkan data terbaru yang diperolehi Suruhanjaya Perlindungan Anak, sebanyak 69 peratus remaja Indonesia merupakan perokok aktif yang tinggal dalam keluarga perokok.

Apa yang turut membimbangkan, sebanyak 89 juta kanak-kanak terdedah kepada bahaya asap rokok dan terancam kesihatan mereka.

"Ini jelas memalukan. Fakta ini harus kita terima kerana data jelas menunjukkan jumlah perokok terbesar di Indonesia terdiri daripada golongan remaja dan kanak-kanak bawah umur," kata ketua suruhanjaya itu, Aris Merdeka Sirait seperti dilaporkan media-media tempatan, hari ini.

Data yang dikeluarkan suruhanjaya itu juga menunjukkan, 230,000 kanak-kanak di bawah umur 10 tahun sudah menjadi perokok aktif.

"Data terakhir di Sukabumi, misalnya mendapati ada seorang kanak-kanak berusia 11 bulan sudah menjadi perokok aktif.

"Setiap lima minit kalau tidak merokok, anak kecil itu akan mengalami perubahan perilaku. Inilah salah satu fakta mengapa Indonesia menerima jolokan Baby Smoker kerana perkara seperti ini tidak berlaku di negara lain," kata Aris.

Katanya, walaupun China mencatat jumlah perokok terbesar di dunia, namun kes perokok cilik tidak pernah dilaporkan.

Kata Aris, di Indonesia, pemerintah mengizinkan syarikat pengeluar rokok mengiklankan produk mereka dengan bebas.

Menurut Aris, data yang dikeluarkan oleh pengusaha rokok Indonesia mendapati, perokok aktif di Indonesia saat ini mencapai 89 juta orang.

"Bayangkan jika daripada angka itu, masing-masing memiliki seorang anak, maka terdapat 89 juta anak Indonesia yang sudah terdedah atau menghisap asap rokok sebagai perokok pasif," jelasnya.

Apa yang membimbangkan ialah anak-anak muda berusia belasan tahun merupakan sasaran dan sangat berpotensi menjadi penjual produk rokok. 

Pengasas Facebook, Mark Zuckerberg Kahwin Priscilla Chan


SAN FRANSISCO 20 Mei - Pengasas Facebook, Mark Zuckerberg melangsungkan perkahwinan dengan kekasihnya, Priscilla Chan, semalam dan menghebahkan mengenai majlis itu dalam laman sosialnya.

Perkahwinan jutawan berusia 28 tahun itu berlangsung sehari selepas Facebook mencipta sejarah membuat tawaran saham awam permulaan (IPO) di bursa saham Nasdaq.

Lebih 200,000 pengguna laman sosial tersebut menekan butang 'like' pada perubahan status Zuckerberg, yang turut memuat naik gambar perkahwinannya dalam satu majlis sederhana di kediamannya di Palo Alto, California.

Dalam gambar itu, Zuckerberg kelihatan memakai suit biru gelap dan bertali leher, manakala Chan, yang merupakan kekasihnya sejak menuntut di Universiti Harvard, memakai gaun putih dilapisi renda.

Zuckerberg yang memiliki saham bernilai hampir AS$20 bilion (RM60 bilion) dalam Facebook dan kekal menerajui syarikat itu.

Penyenaraian Facebook di Nasdaq menandakan kemunculan pertama syarikat tersebut di Lembah Silikon secara simbolik kelmarin dengan membunyikan loceng pembukaan bagi penjualan saham.

Beliau sebelum ini berkata, tawaran IPO itu merupakan satu peristiwa penting dalam usaha Facebook untuk menjadi syarikat awam.

"Misi kami adalah untuk menjadikan dunia ini lebih terbuka dan saling berkait," katanya.

Bagaimanapun, tawaran tersebut tidak berjalan lancar seperti yang diharapkan, apabila saham ditutup lebih sedikit daripada harga tawaran iaitu AS$38 (RM120) bagi setiap pegangan, hanya meningkat 25 peratus, selepas berlaku sedikit masalah pada penjualan di saat akhir.

Sumber; Washington Post

Hafiz Juara Mania


Hafiz (tengah) membawa pulang wang tunai sebanyak RM500,000. 

KUALA LUMPUR: Penyanyi Hafiz dinobatkan sebagai juara pada konsert akhir Mania di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil di sini, malam Sabtu.

Hafiz atau nama sebenarnya, Hafiz Suib , 22, mendapat undian tertinggi iaitu sebanyak 28 peratus sekaligus menerima wang kemenangan sebanyak RM500,000 beserta trofi.

Menurut bekas juara program realiti Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7), dia bersyukur dengan kemenangan yang diperoleh walaupun tidak menyangka mampu mengalahkan empat lagi peserta saingannya iaitu Stacy, Jaclyn Victor, Hazama dan Aril.

"Saya terkejut dan pada masa sama gembira dengan anugerah ini.

"Semoga hadiah wang tunai sebanyak RM500,000 ini dapat saya manfaatkan dengan sebaik-baiknya," katanya pada sidang akhbar selepas konsert berlangsung.

Dalam pada itu, produser yang dipertanggungjawabkan sebagai penerbit Hafiz iaitu Ahmad Dhani turut menerima habuan sebanyak RM300,000.

Sementara itu, Stacy mendapat tempat kedua dengan mengumpulkan undian sebanyak 22 peratus menerima wang tunai sebanyak RM200,000 dan trofi.

Manakala Jaclyn Victor berada di tempat ketiga, setelah berjaya mendapat hasil undian sebanyak 22 peratus, sekaligus memperoleh wang tunai sebanyak RM100,000 beserta trofi.

Hadiah-hadiah tersebut telah disampaikan oleh Naib Presiden Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh diiringi Pengurus Saluran Premium Astro, Nizam Sani.

Pada pembukaan konsert tersebut, peserta-peserta yang telah di singkir seperti Adira, Shila Amzah, Akim, Awi Rafael dan Atilia telah membawakan beberapa lagu medley.

Bagaimanapun, kehangatan konsert lebih dirasai dengan kehadiran Datuk Siti Nurhaliza dan kumpulan Wings.

Konsert Akhir Mania disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria dan Astro Prima.

- mStar

Mentor 6: KJ Tersingkir, Caroline & Zatul Mara Ke Peringkat Separuh Akhir




SHAH ALAM: Adam mengakui telah melakukan kesilapan apabila memilih genre muzik tari dalam pertandingan Mentor sehingga membuatkan dia dan protogenya tersingkir dalam pertandingan itu yang diadakan pada Ahad malam.

Adam berkata, dia sedar bahawa genre muzik tari tidak bersesuaian kerana aspek vokal adalah nadi utama yang dinilai dalam pertandingan berkenaan.

"Pada awalnya saya sangkakan genre muzik tari boleh bersaing dalam pertandingan nyanyian tetapi saya silap.

"Kini baru saya sedar aspek vokal adalah perkara paling penting dalam pertandingan nyanyian. Tarian dan persembahan jatuh nombor dua," katanya.

Dalam pertandingan berkenaan yang disiarkan secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) itu KJ atau nama sebenarnya Abd Kadir Unding Lana, 23, tersingkir pada pusingan keempat kumpulan B dalam konsert Mentor musim keenam.


KJ gagal mara ke pentas separuh akhir apabila memperoleh markah terendah iaitu 216 berbanding Caroline (256) dan Zatul (241).

Mengulas mengenai penyingkiran itu, KJ berkata dia akur dengan keputusan tersebut walaupun tidak menyangka akan tersingkir.

"Kesilapan pada persembahan saya adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan.

"Saya akui gementar selepas melihat Caroline dan Zatul mendapat pujian daripada juri tetap Datuk Ramli MS dan Datuk Sharifah Aini.

"Namun, saya sudah melakukan yang terbaik," katanya.

Dalam pada itu Ramli MS menganggap kesemua peserta sudah berusaha dengan baik melainkan KJ yang banyak melakukan kesilapan.

"Bagi saya, semua peserta sudah berusaha kecuali KJ melakukan yang banyak buat silap dalam persembahannya," kata beliau.

Datuk Sharifah Aini pula mengagumi semangat yang ditunjukkan oleh Zatul dan persembahan Caroline yang dianggapnya bertaraf seperti penghibur.


"Zatul mempamerkan kekuatan dan semangat yang tinggi. Caroline pula melakukan persembahan yang bertaraf sebuah pertunjukan dan bukan pertandingan nyanyian," katanya.

Pada konsert itu, Caroline mendendangkan lagu Aku Bukan Untukmu nyanyian asal Rossa dan Elang (Dewa).

Sementara Zatul mempersembahkan lagu Tak Bisa Memilihmu (Sixth Sense) dan Lagu Untukmu (Meet Uncle Hussain).

KJ menampilkan lagu medley Ombak Rindu/ Bila Cinta (Hafiz & Adira/ Gio) dan Sesal Mendua (Klangit).

Tirai konsert dibuka dengan persembahan lagu medley Datuk Shake iaitu Anugerah Dari Kegagalan, Umi dan Lina.

Konsert itu turut diserikan dengan persembahan Peserta Uji Bakat Pilihan iaitu Beh Kay Hieng (Behonce) menerusi lagu Falling in Love nyanyian asal Datuk Siti Nurhaliza yang menggamatkan suasana.

Format pengiraan markah bagi musim ini masih kekal iaitu 50 peratus daripada juri profesional, 30 peratus (SMS) dan 20 peratus(juri awam).

Mentor 6 yang diacarakan oleh Ally Iskandar Mohd Mardzi dan Nas Ahmad disiarkan pada setiap Ahad, pukul 9 hingga 10.30 malam di TV3.

- mStar


Skuad The Red Warriors Dapat RM500,000 Kejayaan Julang Piala FA 2012


KOTA BHARU - Skuad Kelantan akan menerima ganjaran berjumlah RM500,000 atas kejayaan menjulang kejuaraan Piala FA buat kali pertama selepas menumbangkan Sime Darby FC 1-0 pada aksi akhir di Stadium Bukit Jalil, kelmarin.

Ganjaran tersebut diumumkan oleh Presiden Persatuan Bola Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa kepada pemberita di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), dekat sini, semalam.

Annuar berkata, ganjaran setengah juta itu akan diagihkan dalam dua bentuk kepada pemain iaitu wang tunai dan pakej pelancongan.

Menurutnya, RM300,000 akan diagihkan secara tunai kepada barisan pemain sebagai penghargaan menjulang kejuaraan tersebut.

"Selebihnya kita akan berikan dalam pakej perlancongan bagi membolehkan pemain beristirehat," katanya.

Kepulangan Annuar dan The Red Warriors disambut lebih 2,000 penyokong setia yang berhimpun di LTSIP sejak pukul 3.30 petang.

Annuar memberitahu, keputusan untuk memberikan ganjaran tersebut diputuskan oleh pengurusan KAFA selepas berbincang dan mendapatkan pandangannya.

"Walaupun saya tidak menjalankan tugas sebagai presiden, tetapi mereka tetap merujuk saya dan pengurusan KAFA bersetuju untuk memberikan bonus kepada pemain atas kejayaan menjulang Piala FA," jelasnya.

Dalam perkembangan sama, Annuar memberitahu, kejayaan menjulang Piala FA adalah hasil kerja keras semua pemain, jurulatih serta sokongan padu penyokong setia.

"Kejayaan ini menguatkan lagi semangat The Red Warriors untuk menjulang kejuaraan selepas ini," tegasnya.

- Utusan

Chelsea Juara Liga Juara-Juara Eropah


MUNICH - Pengurus Chelsea, Roberto Di Matteo berjaya membuktikan kredibiliti beliau selaku pengendali yang hebat sebaik membantu pasukan itu menjulang trofi Liga Juara-Juara.

Awal pagi semalam, The Blues berjaya menamatkan kemarau trofi Liga Juara-Juara apabila menewaskan Bayern Munich 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti di Allianz Arena.

Sebelum ini, nasib malang The Blues yang dilihat agak hambar pada permulaan musim ini di bawah kendalian Andre Villas- Boas, ternyata berubah sebaik menerima sentuhan Di Matteo, 41, pertengahan Mac lepas.

Namun, tidak mustahil aksi final semalam merupakan perlawanan terakhir Di Matteo sebagai pengendali sementara The Blues memandangkan pemilik kelab, Roman Abramovich dilaporkan begitu ghairah mahu mendapatkan pengurus baharu yang lebih terkenal musim depan.

"Kadang-kadang bola sepak boleh membuatkan anda menjadi gila. Tidak ada sesiapa yang menyangka kami mampu muncul juara musim ini.

"Bagi saya, ia penamat yang cukup sempurna," kata Di Matteo.

Menurut beliau: "Kami hanya melakukan yang terbaik untuk menang.

"Kami berjaya melakukannya meskipun tanpa empat pemain utama, sebabnya memang kami layak muncul juara."

Pada masa sama, Di Matteo juga enggan mengulas mengenai masa depannya di Stamford Bridge meskipun mendapat sokongan majoriti pemain terutama kapten, John Terry yang mahu- kan beliau kekal sebagai pengurus.

"Ia tidak penting sama ada saya kekal ataupun tidak.

"Sejujurnya, saya gembira dengan peranan yang diberikan dan menerima apa jua keputusan mengenai nasib saya selepas ini," katanya.

Rakan sejawatannya di Bayern, Jupp Heynckes juga memuji kredibiliti yang dimiliki Di Matteo.

"Jika saya Abramovich, saya akan menawarkan kontrak selama tiga tahun lagi buat Di Matteo," katanya. - Reuters

PRU13: Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Mahu Letak Calon Menentang BN


SHAH ALAM - Dilihat sebagai perkembangan terbaru dalam arena politik tempatan, Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), pergerakan tidak formal pelajar institut pengajian tinggi, memutuskan untuk meletakkan wakil mereka dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Pendirian itu diputuskan dalam sesi pemukiman dua hari pergerakan mahasiswa itu yang berakhir semalam.

Setiausaha SMM, Haziq Abdul Aziz berkata, pihaknya akan menurunkan wakil mereka sama ada sebagai calon Bebas ataupun bertanding atas tiket mana-mana parti komponen Pakatan Rakyat (PR).

"Buat masa ini kami sudah pun memutuskan untuk bertanding dalam pilihan raya umum. Yang pastinya, berdasarkan perkembangan semasa, kami akan bertanding sebagai calon Bebas.

"Bagaimanapun kami akan mengadakan perbincangan dengan kepimpinan Pakatan Rakyat sama ada akan memberi laluan untuk bertanding," kata Haziq sambil menambah, perkara itu dimasukkan dalam senarai tuntutan pihaknya menghadapi PRU13, yang disebut-sebut akan diadakan dalam waktu terdekat.

"Kami akan menampilkan calon untuk bertanding, mahu membawa suara mahasiswa, golngan pelajar," katanya.

Mengenai bilangan calon dan kerusi hendak ditandingi, Haziq berkata, aspek itu belum diputuskan dan akan ditentukan dalam satu mesyuarat hari ini.

"Setakat hari ini (semalam), hanya pendirian untuk bertanding dalam pilihan raya diputuskan. Yang lain belum lagi, kami akan adakan mesyuarat esok (hari ini)," kata beliau lagi.

Katanya, pihaknya akan mengadakan perundingan parti-parti politik, tetapi bukan dengan Barisan Nasional (BN).

"Kami akan menentang BN," katanya lagi.

SMM baru-baru ini mengetuai demonstrasi meminta agar pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dimansuhkan.

Perkembangan untuk bertanding ini juga dilihat sebahagian daripada kesan pindaan ke atas Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) yang diluluskan baru-baru ini.

- SH

> 200 Peserta Seminar Skim Piramid Tergamam Diserbu KPDNKK


Data peserta seminar yang dipercayai mempromosi skim piramid direkodkan.

KAJANG – Lebih 200 peserta sebuah seminar dipercayai skim piramid yang sedang kusyuk mendengar taklimat tergamam apabila diserbu oleh kira-kira 20 pegawai penguatkuasa Bahagian Penguatkuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Putrajaya, di sini semalam.

Suasana pada mulanya agak tegang kerana beberapa peserta yang pertama kali menghadiri seminar sedemikian berang apabila butiran diri mereka diambil oleh penguatkuasa namun tenang selepas diberi penjelasan lanjut pegawai terlibat.

Pengarah Penguatkuasa KPDNKK Putrajaya, Mohd Roslan Mahayudin berkata, seminar yang diadakan di sebuah hotel itu diserbu kerana dianjurkan sebuah syarikat yang disyaki mempromosi dan menjalankan skim piramid.

Menurutnya, serbuan pada jam 4 petang itu adalah berdasarkan maklumat orang ramai termasuk peserta terdahulu yang mendakwa ditipu selepas menyertai skim tersebut.

“Kita syak terdapat unsur-unsur skim piramid dan iklan serta risalah diedarkan meragukan.

“Dipercayai, skim ini menggunakan platform sebuah syarikat yang memiliki lesen jualan langsung dan perniagaan lebih menjurus kepada merekrut peserta berbanding penjualan produk,” katanya selepas serbuan itu, semalam.

Mohd Roslan berkata, pihaknya masih menyiasat dakwaan terbabit dan perkara itu adalah kesalahan di bawah Seksyen 27B Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid 1993.

Katanya, ia serbuan pertama bagi tahun ini dan pihaknya turut merekodkan data peserta untuk dokumentasi.

Beliau berkata, pihaknya juga sedang mengenal pasti penganjur untuk dirakamkan perbualan untuk siasatan.

Katanya, beberapa peralatan seperti komputer riba dan pemacu cakera keras turut dirampas untuk tujuan siasatan.

- SH

BDA Akan Naik Taraf Gerai-Gerai Penjaja di Pantai ABF

Gambar Hiasan - Pantai ABF, Photo: Turbinman Blog

BINTULU: Kerja-kerja menaik taraf secara besar-besaran akan dibuat ke atas gerai-gerai penjaja di Pantai ABF di sini bagi memberikan keselesaan kepada peniaga dan pembeli mengunjungi kawasan itu.

Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Datu Mohidin Ishak berkata, usaha itu dibuat memandangkan kawasan itu sangat popular bagi orang awam dan berdekatan dengan kediaman penduduk yang sering ke situ untuk mendapatkan ikan segar, produk sumber laut, sumber hutan, sayuran serta makanan lain.

Katanya, kerja-kerja menaik taraf akan dilakukan menerusi dana yang akan diperolehi daripada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

“Ia akan menjadi kawasan penjualan terbuka, ia tidak akan menjadi pasar baharu tetapi ada beberapa perlu dibuat untuk penambahbaikannya,” katanya di sini kelmarin.

Dalam perkembangan lain, beliau turut membangkitkan isu aktiviti pemunggahan ikan oleh nelayan di Tebingan Promenade Bintulu berdekatan pasar basah di pusat bandar di sini.

“Tebingan Promenade tidak seharusnya digunakan untuk pendaratan hasil tangkapan ikan dan sumber laut lain tetapi kami akan bekerjasama rapat dengan LKIM untuk menyelesaikan isu ini,” tambahnya.

- UB, 19 Sep 

Kejohanan Bina Badan Piala Farley Bintulu 2012, 15 September


BINTULU: Albert Gym dan Farley Mini Market akan menganjurkan Kejohanan Bina Badan Piala Farley Bintulu 2012 pada 15 September akan datang di pentas pasaraya berkenaan.

Yuran kemasukan adalah RM35 dan tarikh tutup penyertaan pada 31 Ogos depan.

Pengerusi penganjurnya, Albert Ling berkata kejohanan itu terbuka untuk semua penduduk Bintulu dan kategori yang dipertandingkan adalah kategori bawah 65 kilogram (kg) (kategori ringan) dan 65kg ke atas (kategori berat).

Juara bagi setiap kategori akan berentap bagi merebut gelaran ‘juara antara juara’.

“Kategori terbuka Sarawak turut dipertandingkan yang menawarkan hadiah wang tunai RM2,000 dan piala manakala tempat kedua dan ketiga masing-masingnya akan menerima RM1,500 dan RM1,000 termasuk piala,” jelasnya.

Justeru katanya, mereka yang berminat untuk menyertai pertandingan ini boleh mendapatkan borang penyertaan di Farley Mini Market dan Mama Gym Center atau menghubungi Albert di talian 019-8159709, Tiong Boon Ling (019-4842800) dan Liu Sze How (016-8885696).

- UB

PRU13: SWP Dianggap Parti Terdesak

SELANGAU (Sarawak): Timbalan Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk Joseph Entulu Belaun menyifatkan Parti Pekerja Sarawak (SWP) sebagai sebuah parti yang terdesak dalam usahanya mahu diterima rakyat negeri itu.

Katanya perkara itu dapat dilihat menerusi tindakan mereka menggunakan nama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dalam semua majlis mereka.

“Perbuatan itu bagi menggambarkan mereka diterima oleh dua pemimpin tertinggi Barisan Nasional (BN) dalam usaha menghancurkan parti komponen BN negeri PRS,” katanya pada perjumpaan dengan rakyat, di Rumah Edward Ingu, Sungai Buluh dekat sini malam kelmarin.

Turut hadir Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Joseph Salang yang juga naib presiden PRS, Menteri Muda Kerajaan Tempatan Datuk John Sikie Tayai dan Ahli Dewan Undangan Negeri Tamin Joseph Mauh Ikeh.

Entulu yang juga Ahli Parlimen Selangau, bagaimanapun yakin strategi SWP itu akan memakan diri kerana agenda mereka untuk menggantikan PRS dalam BN akan terdedah tidak lama lagi.

“Presiden PRS Tan Sri Dr James Masing telahpun mendapatkan pengesahan daripada Najib dan Taib berhubung dakwaan sokongan kepada SWP yang mana kedua-dua pemimpin itu berkata mereka tiada kena-mengena dengan SWP,” katanya.

Sehubungan itu beliau menyeru masyarakat Dayak di Sarawak agar menjauhi SWP kerana hanya PRS yang dapat memperjuangkan nasib mereka.

Mengenai perkara lain, Entulu berkata PRS mungkin mempunyai sekutu di kerusi Selangau apabila ada desas-desus menyatakan  pemimpin tempatan Parti Keadilan Rakyat yang ingin bertanding di situ telah menggesa penyokongnya agar mengundi BN dan menolak SWP. — Bernama

PRU13: Salang Ingatkan Penduduk Luar Bandar Supaya Tolak Politik Wang


JULAU (Sarawak): Ahli Parlimen Julau Datuk Joseph Salang mengingatkan penduduk luar bandar supaya menolak politik wang pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Katanya beliau difahamkan ada individu merancang untuk melaburkan banyak wang untuk membeli undi pada PRU akan datang untuk menjatuhkan penyandang-penyandang Barisan Nasional (BN), khususnya daripada Parti Rakyat Sarawak (PRS).

Pemberi dan penerima wang itu berdepan hukuman jika disabitkan dengan kesalahan itu, katanya semasa merasmikan majlis kesyukuran di Rumah Laman di Nanga Nyuyau di sini dan dua lagi rumah panjang di kawasan itu malam kelmarin.

Salang, yang juga Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan berkata individu yang menggunakan wang untuk memenangi pilihan raya akan mengabaikan pengundi kemudiannya dengan memberi alasan yang mereka telah dibayar lebih awal.

Beliau juga berkata wakil rakyat pembangkang tidak mempunyai keupayaan atau sumber untuk melaksanakan projek dan program pembangunan sama ada yang besar atau kecil.

Mengenai cubaan berterusan ahli politik setempat tertentu untuk mencemarkan nama baiknya, Salang berkata beliau tidak akan memberi respons kepada pelbagai dakwaan yang dilemparkan terhadap dirinya.

“Saya percaya majoriti penduduk di Julau tahu kebenarannya. Ini berdasarkan peningkatan sokongan yang dijanjikan kepada Barisan Nasional dan diri saya,”katanya. - Bernama


Padah Ponteng Sekolah, Pelajar Tingkatan 4 Dirogol Rakan


KUALA TERENGGANU: Seorang pelajar perempuan tingkatan empat sebuah sekolah menengah di Kemaman yang mengikut rakannya ponteng sekolah membawa padah, apabila menjadi mangsa rogol selepas dipukau seorang lelaki.

Sumber berkata, mangsa berusia 16 tahun dikatakan tidak sedarkan diri selepas bertentang mata dengan seorang lelaki yang juga kenalan rakannya itu, sebelum mendapati dirinya dalam keadaan tidak berpakaian dan kesakitan di rumah sewa lelaki berkenaan di Kampung Kijal, Rabu minggu lalu.

Katanya, mangsa pada mulanya memasuki kawasan sekolah seperti biasa pada jam 7.45 pagi, sebelum seorang rakan sebaya mengajaknya ke sebuah kedai barangan runcit berdekatan kawasan sekolahnya itu.


“Tanpa mengesyaki apa-apa, mangsa mengikut rakannya bertemu teman lelakinya yang datang ke kedai berkenaan menaiki sebuah kereta PERODUA MyVi. 

“Mangsa kemudian diajak bersiar-siar dan menaiki kenderaan itu bersama rakannya dan pada masa sama ada seorang lagi lelaki dalam kenderaan berkenaan.

“Mereka berempat kemudian menaiki kenderaan berkenaan dan bersiar-siar sebelum mangsa dan rakannya dibawa ke sebuah rumah sewa di kawasan Kijal kira-kira jam 10 pagi. 

“Sebaik memasuki rumah itu, mangsa disuruh menonton televisyen, manakala rakannya bersama teman lelaki sudah tiada di ruang tamu rumah itu,” katanya. 

Sumber berkata, suspek yang juga rakan kepada teman lelaki rakan mangsa kemudian datang dan menyuruh mangsa merenung matanya dan tidak lama kemudian mangsa mendakwa seperti dipukau dan mengikut arahan suspek.

Katanya, apabila mangsa sedar setengah jam kemudian, dia mendapati tidak berpakaian serta mengalami kesakitan di kemaluan.

Katanya mangsa yang terkejut bertanyakan suspek yang kemudian mengaku sudah memperkosa mangsa.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Abdul Marlik Hakim Johar, yang mengesahkan kejadian berkata mangsa yang trauma dengan keadaan itu membuat laporan di Balai Polis Kijal pada jam 11 pagi hari sama.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan polis kini menjalankan operasi memburu suspek.

- BH

Sharing