Isnin, 14 Mei 2012

Kira-Kira 150,000 Pengunjung Dijangka Hadiri Pesta Lawas, 25-27 Mei Ini


KUCHING, 13 Mei (Bernama) -- Kira-kira 150,000 pengunjung dijangka menghadiri Pesta Lawas, satu acara yang menyajikan keunikan kebudayaan penduduk di daerah Lawas yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 25 Mei ini, kata penaung pesta itu, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Katanya pesta yang akan menonjolkan kepelbagaian etnik di daerah paling utara Sarawak itu akan dirasmikan oleh Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud pada 26 Mei ini dan dijangka menarik pengunjung dari Sabah, Labuan, Kalimantan (Indonesia) dan Brunei.

"Berdasarkan rekod-rekod lepas, pesta ini telah berjaya menarik tidak kurang daripada 130,000 orang pengunjung setiap kali ia diadakan," katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu rancangan "Selamat Pagi Malaysia" terbitan Radio Television Malaysia di sini, Ahad.

Untuk tahun ini, Awang Tengah yang juga Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II Sarawak berkata aktiviti-aktiviti seperti lumba perahu, persembahan tradisional pelbagai kaum di Lawas dan acara-acara sukan akan diadakan semasa pesta itu.

Selain itu pengunjung juga berpeluang untuk menikmati masakan tempatan yang unik seperti Sambal dan Sup Dadah, ikan tahai dan sebagainya yang jarang dapat dinikmati di tempat-tempat lain, katanya.

-- BERNAMA

PRU13: DAP Sarawak Jangka Hadapi Masalah Agihan Kerusi Dengan Rakan Pakatan


KUCHING, 14 Mei (Bernama) -- DAP Sarawak dijangka menghadapi masalah dengan rakan pakatan pembangkang terutama Parti Keadilan Rakyat (PKR), dalam menentukan agihan kerusi untuk ditandingi mereka pada pilihan raya umum akan datang.

Pengerusinya yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Bukit Assek Wong Ho Leng berkata masalah itu timbul susulan tuntutan bertindih membabitkan sekurang-kurangnya lima kerusi di antara DAP dan PKR.

DAP mensasarkan untuk bertanding di 12 hingga 14 kerusi parlimen, katanya yang ditemui pemberita selepas menghadiri persidangan dewan undangan negeri, di sini pada Isnin.

Wong yang juga Anggota Parlimen Sibu, berkata DAP turut menghadapi masalah untuk bekerja dengan parti yang baharu didaftarkan iaitu Parti Pekerja Sarawak (SWP) yang telah mengisytiharkan sokongannya kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

Pada pilihan raya kecil Sibu pada 2010, Wong menang tipis dengan majoriti 398 undi mengatasi calon BN Robert Lau Hui Yew dan calon Bebas Narawi Haron.

-- BERNAMA

Sidang Media Khas Saiful Apek Dedah Sikap Syarikat Produksi Esok


PETALING JAYA: Pelawak Saiful Apek bersama artis dan krew filem akan mengadakan satu sidang media khas pada Selasa (esok) bagi mendedahkan sikap tidak bertanggungjawab sebuah syarikat produksi yang dikatakan telah menganiaya mereka.

Ia akan diadakan pada pukul 3 petang di sebuah restoran di Subang Avenue, Subang Jaya, dekat sini.

Gitu-Gitu Production dalam satu e-mel yang dikirimkan kepada mStar Online di sini, Isnin memberitahu, dalam sidang media itu nanti Apek dan mereka yang terlibat akan mengumpul petisyen terhadap syarikat berkenaan.

“Saya berharap pihak media dapat hadir untuk menjawab beberapa isu termasuklah mengumpul petisyen daripada pekerja belakang tabir, artis dan krew yang pernah mempunyai masalah atau teraniaya oleh sebuah syarikat produksi,” kata jemputan itu.

Sebelum ini Apek melahirkan rasa tidak puas hatinya terhadap penerbit filem David Teo apabila pemilik Metrowealth Movie Production (MMP) itu dikatakan menghina Allahyarham Bob Kuman dengan menyifatkan arwah seperti “peminta sedekah”.

Dalam masa yang sama Apek juga dalam Facebook miliknya turut mendedahkan David pernah berhutang apabila tidak membayar upah kepada pelakon dan pekerja filem yang terlibat di bawah syarikat MMP sebelum ini.

-mStar

Jessica Simpson Jual Gambar Bayi Perempuan RM2.5 Juta

Gambar Jessica Simpson mengandung lalu 

LOS ANGELES: Jessica Simpson dikatakan menjual gambar eksklusif bayi perempuannya, Maxwell Drew, yang dilahirkan pada 1 Mei lalu.

Jessica dikatakan menjual gambar itu kepada majalah People dengan harga AS$800,000 (RM2.5 juta). 

Majalah itu memang terkenal membayar dengan harga mahal untuk gambar selebriti dan anak mereka. 

Perkara yang sama berlaku ketika Jennifer Lopez, ketika itu isteri Marc Anthony, melahirkan anak kembarnya Max dan Emme pada Februari 2008.

Jennifer menerima bayaran sebanyak AS$6 (RM18.5 juta).

Majalah itu turut membayar pasangan Brad Pitt dan Angelina Jolie sebanyak AS$11 juta (RM33.8 juta) untuk gambar anak mereka Knox dan Vivienne tetapi bayaran itu disalurkan kepada dana amal. 

Sumber: Daily Mail

Mayat Hidup Semula !



KAHERAH: Keadaan sedih di upacara pengebumian bertukar gembira apabila ‘mayat’ yang hendak dikebumikan tiba-tiba bangun.

Hamdi Hafez al-Nubi, 28, pelayan restoran dari Naga al-Simmanm, diisytiharkan mati selepas mengalami serangan jantung di tempat kerja. 

Ketika persediaan untuk mengebumikannya dilakukan, doktor yang dihantar untuk menandatangani surat kematiannya mendapati tubuhnya masih hangat. 

Keluarga Hamdi yakin dia sudah mati, malah sudah pun memandikan ‘mayatnya’ dan bersedia untuk dikebumikan.

Apabila mendapati tubuh Hamdi masih hangat, doktor membuat pemeriksaan dan mendapati dia masih bernafas. 

Keluarga Hamdi tidak membatalkan upacara pengebumian tetapi sebaliknya mengadakan kenduri meraikan ‘kebangkitannya’ semula.

Sumber: Metro UK

Bapa Tanam Bayi Hidup-Hidup Kerana Kepercayaan Agama

Radhika
NEW DELHI: Bapa seorang bayi perempuan berusia enam minggu, ditahan bersama bapa saudara bayi itu kerana dikatakan cuba menanamnya hidup-hidup.

Mereka dikatakan percaya dengan berbuat demikian akan dapat melindungi anaknya yang lain daripada penyakit.

Seorang pekerja di kawasan perkuburan di Pilkhuwa, 100 kilometer dari Delhi, membuat laporan polis apabila ternampak kedua-dua lelaki itu cuba menanam bayi itu, Radhika.

Dinesh Kumar, bapa Radhika dan adiknya mendakwa seorang guru agama mengarahkan mereka melakukan perbuatan itu sebagai usaha mengelak nasib malang keluarga itu selepas anak mereka meninggal dunia akibat sakit, tahun lalu.

Radhika, kini berusia dua bulan, dirawat di hospital kerana kekurangan air dan zat.

Dalam kes yang mungkin menjadi kes ketiga bulan lalu, seorang wartawan mengatakan ia berlaku kerana kemiskinan dan buta huruf, menjadikan orang ramai percaya kepada kepercayaan karut.

Ibu Radhika, Bharati Rani, menafikan terlibat dalam kejadian itu dan berkata: “Beritahu saya ibu mana yang sanggup membunuh anaknya sendiri?”

Penjaga kubur, Sriram Kore berkata: “Anda lihat sendiri bukti kubur digali.”

Katanya bapa dan bapa saudara Radhika menggali kubur itu dan membuat upacara keagamaan.

“Mereka membawa bungkusan kecil, bayi perempuan yang sudah mati dan mahu menanamnya. Tapi, saya dapat lihat dia masih hidup, jadi saya cepat-cepat menelefon polis,” katanya.

Setakat ini, polis masih belum menjejaki guru agama yang terlibat.

Di India, kanak-kanak perempuan masih dianggap sebagai beban kerana perkahwinan tradisi memerlukan hantaran yang besar dibayar kepada pihak lelaki apabila berkahwin.

Negara itu mempunyai kadar kematian kanak-kanak perempuan tertinggi di dunia. 

Sumber: BBC

Bersih 3.0: Polis Tahan 21 Peserta, 120 Diminta Serah Diri Sehingga Esok

Gambar Hiasan - Bersih 3.0

KUALA LUMPUR: Polis masih menunggu 120 peserta, perhimpunan yang bertukar ganas di ibu negara pada 28 April lalu, yang disiarkan wajah mereka dalam media, untuk menyerah diri sehingga esok. 

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar, berkata sehingga semalam, 21 peserta terbabit ditahan dengan sebahagiannya menyerah diri kepada polis dan ada yang ditahan di rumah mereka.

Beliau berkata, secara keseluruhan polis sudah menyiarkan 141 gambar wajah demonstran yang dipercayai terbabit dalam rusuhan di Dataran Merdeka itu.

"Kita akan mengesan dan menangkap mereka yang belum menyerah diri. Kita tidak perlukan waran tangkap kerana ia kesalahan lazim ditangkap dan merusuh merupakan kesalahan lazim," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen derma darah peringkat polis kontinjen Kuala Lumpur, di sini, hari ini. 

Pada 28 April lalu, segelintir daripada peserta perhimpunan itu bertindak merempuh penghadang untuk memasuki Dataran Merdeka sekali gus melanggar perintah Mahkamah Majistret Kuala Lumpur yang melarang kehadiran orang awam di dataran itu mulai 28 April hingga 1 Mei. 

Berikutan itu, polis menyiarkan gambar peserta berkenaan melalui media dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Bakri Zinin, berkata polis akan membuat tangkapan dari rumah ke rumah terhadap peserta perhimpunan, yang enggan menyerah diri, mulai Rabu ini selepas tempoh seminggu diberikan untuk mereka. 

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur tidak membenarkan perhimpunan itu dijalankan di Dataran Merdeka dan memberikan tempat lain sebagai pilihan kerana dataran hanya sesuai untuk acara rasmi peringkat nasional. - BERNAMA

Mentor 6: Protege Ana Tersingkir, Anas & Tisha Ke Peringkat Separuh Akhir




SHAH ALAM: Protege Ana Syuhada tersingkir pada konsert Mentor musim keenam yang disiarkan secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), di sini, malam Ahad.

Ana yang berada di bawah mentornya iaitu penyanyi Ramlah Ram itu terpaksa akur apabila dia gagal menambat hati juri dan penonton apabila hanya mampu memperoleh markah keseluruhan sebanyak 201 sekaligus membuatkan dia gagal mara ke peringkat separuh akhir.


Peserta dari Shah Alam itu menjadi peserta pertama dalam kumpulan A tewas kepada protege Faizal Tahir, iaitu Anaz Ridzuan, 23, yang memperoleh markah keseluruhan tertinggi sepanjang empat minggu iaitu 260.

Manakala protege Ferhad, Tisha, 26, pula mendapat markah sebanyak 220.

Ana ketika ditemui selepas konsert memberitahu dia telah melakukan yang terbaik untuk persembahannya itu namun redha apabila rezeki tidak berpihak kepadanya.


"Tiada apa yang perlu saya kesalkan kerana telah memberi persembahan yang terbaik cuma sedih apabila tidak dapat bersama rakan-rakan lain dalam program ini.

"Bagaimanapun ini bukan pengakhiran buat diri saya kerana penyingkiran ini adalah satu pemangkin semangat buat saya untuk terus mengejar cita-cita," katanya kepada mStar Online.

Pada malam itu Ana mempersembahkan dua buah lagu iaitu Ingkar daripada Bunga Cinta Lestari dan Tentang Rasa nyanyian Astrid.

Dalam pada itu, juri tetap Mentor 6, Datuk Ramli MS berkata, secara keseluruhannya persembahan ketiga-tiga protege pada malam itu ada menunjukkan peningkatan namun mereka perlu lebih berusaha keras pada pertandingan seterusnya.

Ramli berkata, faktor pemilihan lagu yang sesuai adalah penting dan ia memberi impak kepada persembahan seserang peserta dan meminta protege dan mentor mengambil serius terhadap perkara itu.

"Seperti Ana suaranya bagus tetapi pemilihan lagu telah memberi kesan kepada persembahannya," katanya.


Sementara itu, Ramlah berkata, sebagai mentor dia sentiasa yakin dengan protege pilihannya dan berjanji akan terus mendidik dan membantu Ana pada masa hadapan.

"Dia adalah seorang penyanyi yang baik dan lain daripada yang lain dan jika bakatnya tidak dibimbing adalah satu kerugian," katanya.

Sistem pemarkahan terbahagi kepada tiga iaitu 50 peratus daripada juri profesional, 30 peratus undian khidmat pesanan ringkas (SMS) dan 20 peratus lagi daripada juri awam.

Selain Ramli, Datuk Sharifah Aini turut bertindak sebagai juri tetap.

- mStar


Ketua Eksekutif Yahoo, Scott Thompson Letak Jawatan Ekoran CV Palsu


NEW YORK - Ketua Eksekutif Yahoo, Scott Thompson meletakkan jawatan semalam ekoran dakwaan bahawa beliau menggunakan ijazah sains komputer palsu dalam vitae kurikulum (CV).

Susulan satu mesyuarat lembaga pengarah pagi semalam, syarikat itu mengesahkan bahawa Thompson, yang mengetuai firma perkhidmatan Internet itu sejak Januari lalu, akan meninggalkan Yahoo.

Thompson akan digantikan oleh ketua media global Yahoo, Ross Levinsohn.

Yahoo jug berkata, Roy Bostock, pengerusi syarikat itu, juga akan berundur dan akan diganti oleh Fred Amoroso, seorang eksekutif teknologi veteran.

Thompson berhadapan dengan tekanan sejak aktivis Daniel Loeb dari Third Point mendakwa beliau menggunakan ijazah palsu dalam CVnya.

Beliau dibawa menyertai Yahoo dari PayPal awal tahun ini.

Yahoo sebelum ini mengakui pihaknya sedar yang Thompson tidak ada ijazah dalam jurusan sains komputer.

Sumber: Mercury News

Pasukan Rusia Sertai Mencari, Menyelamat Mangsa Nahas Pesawat di Gunung Salak



JAKARTA - Sejumlah 15 anggota pasukan mencari dan menyelamat dari Rusia semalam dibenar bergabung dengan pasukan penyelamat Indonesia dalam operasi mencari dan mengeluarkan mangsa di tempat kejadian nahas pesawat awam Sukhoi Superjet-100 di Gunung Salak, Bogor, Jawa Barat.

Pasukan dari Rusia itu bagaimanapun hanya diberi masa tiga hari untuk turut bersama dalam operasi itu dengan misi utama untuk membantu mengesan barangan pesawat itu.

Komandan Markas Suryakencana Bogor, Tentera Nasional Indonesia (TNI) Angkatan Darat, Kolonel Putranto berkata, pasukan Rusia itu terdiri daripada enam anggota utama dan sembilan pembawa barang.

Mereka tidak diizin untuk membawa kotak hitam atau benda apapun selain tidak dibenar menjalankan operasi pencarian melalui udara, katanya.

Sehingga kini, pasukan penyelamat belum menemui kotak hitam pesawat itu, yang terhempas di Gunung Salak, pada Rabu lalu bersama 45 penumpang di dalamnya.

Tragedi tersebut berlaku selepas pesawat didapati hilang daripada radar di menara kawalan udara pada kira-kira pukul 2.50 petang.

Operasi semalam antara lain menemui tiga lagi mayat penumpang pesawat itu serta 75 peratus daripada bangkai pesawat itu di bahagian dasar jurang gunung itu.

Bahagian bangkai pesawat yang baru ditemui itu belum dapat diperiksa keseluruhannya kerana bimbang ada serpihan bangkai pesawat yang bertabur di kawasan lebih tinggi akan menimpa anggota penyelamat.

Pada akhir hari kelima operasi, dengan tambahan lima beg mayat lagi, sejumlah 21 beg mayat berisi bahagian tubuh mayat penumpang dan barangan milik mereka telah dihantar ke hospital polis di Jakarta untuk dikenal pasti sebelum diserah kepada anggota keluarga untuk pengkebumian.

Daripada sejumlah beg mayat itu, tiga beg mayat berisi barangan milik mangsa. - Bernama

Pesawat Sukhoi Superjet-100 Bawa 45 Penumpang Terhempas di Gunung Salak



JAKARTA - Cuaca buruk dan kesukaran untuk sampai ke tebing curam tempat pesawat buatan Russia jensi Sukhoi Superjet 100 terhempas Rabu lepas, memaksa pasukan mencari dan menyelamat menunda operasi mengeluarkan mangsa nahas itu ke pagi Jumaat.

Ketua Penyelaras Badan SAR Nasional (Basarnas) Ketut Purwa berkata operasi terpaksa dihentikan petang ini akibat cuaca buruk dan akan disambung semula pada pukul 6 pagi esok.

"Cuaca tidak bagus, mendung, kabut dan banyak petir," kata Ketut Purwa di Pusat Operasi Desa Cipelang, Bogor, Jawa Barat hari ini.

Nasib 45 penumpang pesawat itu masih belum diketahui setelah pasukan penyelamat mengesan dari udara serpihan bangkai pesawat itu di tebing curam, Gunung Salak, Bogor, pagi ini.

Angka terbaru jumlah penumpang itu diumumkan oleh pihak berkuasa setelah syarikat ejen Sukhoi mengesahkan lima orang yang terdaftar dalam senarai 50 penumpangnya, tidak menaiki pesawat malang itu pada Rabu.

Belum dapat dipastikan sama ada kumpulan pertama pasukan penyelamat yang terdiri daripada 72  anggota telah sampai ke tempat kejadian lewat petang ini sebagaimana yang dijangkakan, namun cuaca gelap dan cerun curam menyulitkan usaha menyelamat pada hari ini.

Ketut Purwa berkata tempat kejadian di lereng gunung itu berada di ketinggian 5,800 kaki di atas paras laut.

Lapan warganegara Russia dari syarikat Sukhoi adalah antara penumpang pesawat itu selain warganegara Indonesia termasuk beberapa orang wartawan.

Pesawat itu yang berlepas dari Pangkalan Udara Halim Perdanakusuma, Jakarta pada 2.12 petang Rabu, dilaporkan hilang sekitar pukul 2.50 petang apabila ia terputus hubungan dengan menara kawalan udara.

Sejurus sebelum itu juruterbang pesawat itu telah meminta izin dari menara kawalan udara untuk menurunkan pesawat itu dari ketinggian 10,000 kaki ke ketinggian 6,000 kaki, namun belum ada penjelasan mengapa juruterbang itu bertindak sedemikian.     -- Bernama 

Kelantan Umum Cuti Peristiwa 20 Mei Sempena Final Piala FA 2012


KOTA BAHARU – Kelantan mengumumkan 20 Mei iaitu Ahad depan sebagai Cuti Peristiwa sempena perlawanan akhir bola sepak Piala FA antara Kelantan dan Sime Darby di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata pemberian cuti itu diputuskan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Dengan pengumuman awal ini, diharapkan rakyat Kelantan dapat merancang cuti itu dengan baik dan tidak tergopoh-gapah untuk pulang segera kerana yang penting ialah soal keselamatan,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Abdul Fattah berkata pengumuman cuti itu juga sebagai satu penghargaan buat rakyat Kelantan dan untuk membolehkan mereka hadir beramai-ramai menyaksikan perlawanan akhir itu dengan penuh semangat kesukanan.

Ini kali ketiga Kelantan layak ke perlawanan akhir Piala FA. Pasukan itu tewas di tangan Selangor melalui penentuan sepakan penalti pada 2009 dan kalah 1-2 kepada Terengganu tahun lepas. – BERNAMA

Malaysia Akhiri Penantian 20 Tahun Jadi Juara Hoki Piala Remaja Asia 2012


MALAYSIA melakar sejarah apabila muncul juara Kejohanan Hoki Piala Remaja Asia 2012 buat julung kali selepas mengalahkan Pakistan 2-1 pada perlawanan akhir di Stadium Hoki Bukit Serindit di sini, malam ini.

Malaysia mengakhiri penantian 20 tahun untuk merangkul kejuaraan itu dengan jaringan minit kedua Faizal Saari dan jaringan padang oleh Mohd Syamim Mohd Yusof pada minit ke-17.

Pakistan, juara tiga kali pada edisi pertama 1987, 1992 dan 1996, menjaringkan gol tunggal pada separuh masa kedua menerusi Muhammad Irfan pada minit ke-42.

Skuad bimbingan Dhamaraj Abdullah itu memadam kekecewaan pada aksi final edisi 1992 di Ipoh, Perak, apabila tewas 0-3 kepada Pakistan.

Perlawanan sengit dan penuh debaran itu disaksikan oleh lebih 7,000 penonton termasuk Presiden Persekutuan Hoki Asia (AHF), Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah serta Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob.

Malaysia bermula agresif sebaik wisel perlawanan bermula dan menerusi serangan pertama menghasilkan pukulan sudut penalti.

Selepas menerima hantaran, Faizal melakukan tolakan deras ke penjuru kiri gol Pakistan yang dikawal oleh Mazhar Abas untuk gol peribadi keenam sepanjang kejohanan itu.

Hasil itu membolehkan Faizal berkongsi kedudukan sebagai penajring terbanyak bersama pemain Korea Selatan, Seong Ju Lee.

Malaysia memperkukuhkan kedudukan menerusi jaringan Mohd Syamim dan keadaan tidak berubah sehingga waktu rehat masa pertama.

Bagaimanapun, Pakistan tidak berputus asa dengan ketinggalan dua gol dan bangkit semula pada babak kedua dengan melakukan asakan bertali arus ke pintu gol Malaysia yang dikawal oleh Mohamad Hazrul Faiz Ahmad.

Malaysia memperkemaskan semula bentang pertahanan selepas jaringan gol oleh Muhammad Irfan dan mempertahankan kedudukan sehingga wisel penamat.

Dhamaraj berkata, anak buahnya beraksi dengan cemerlang pada separuh masa pertama tetapi leka pada babak kedua.

"Dua jaringan awal membantu keyakinan skuad untuk menang dalam perlawanan ini tetapi kami terpaksa bertungkus lumus menahan asakan pada separuh masa kedua dan nasib menyebelah kami akhirnya untuk muncul juara," katanya.

Terdahulu, pada perlawanan penentuan tempat ktiga, juara bertahan India mengalahkan Korea Selatan 2-1 dalam masa tambahan. - Bernama, 13 Mei

Manchester City Juara EPL Selepas Lebih 4 Dekad Menunggu


LONDON – Manchester City menamatkan kemarau selama 44 tahun apabila menjuarai gelaran Liga Perdana England musim ini.

Kejayaan itu hadir selepas skuad kendalian Roberto Mancini mencatat kemenangan 3-2 pada aksi terakhir liga menentang Queens Park Rangers (QPR) di Stadium Etihad malam tadi.

Sebagai rekod, kali terakhir City melakar kejuaraan adalah pada musim 1968.

Meskipun berkongsi 89 mata dengan pencabar terdekat, Manchester United, City lebih layak dinobatkan selaku juara apabila memiliki kelebihan empat gol, sekali gus unggul di tangga teratas liga.

Pada aksi penuh dramatik malam tadi, City terlebih dahulu di depan selepas Pablo Zabaleta membuka tirai jaringan pada minit ke-39 sebelum Djibril Cisse menyamakan kedudukan minit ke-48 .

Jamie Mackie menceriakan penyokong QPR apabila meletakkan pasukan itu di depan hasil jaringannya pada minit ke-66.

Ketika perlawanan dilihat bakal menyebelahi QPR, City seolah-olah mendapat semangat luar biasa apabila berjaya meledak dua gol dalam tempoh lima minit masa kecederaan.

Kedua-dua gol tersebut dijaringkan oleh Edin Dzeko pada minit ke-92 dan Sergio Aguero dua minit kemudian.

Kemenangan itu memusnahkan impian United yang dalam misi mempertahankan kejuaraan dimenangi musim lalu biarpun berjaya mencatat kemenangan 1-0 ke atas Sunderland dalam satu lagi pertemuan di Stadium of Light malam tadi.

Sebaliknya, skuad The Red Devils terpaksa berpuas hati dengan kedudukan di tangga kedua.

Sementara itu, pemburuan slot automatik ke saingan Liga Juara-Juara musim depan menjadi milik Arsenal selepas berjaya menamatkan saingan musim ini di tangga ketiga – Agensi

Murid Tahun 1 Alami Pengalaman Ngeri Lintah Masuk Dalam Dubur


MOHD. FARHAN menunjukkan lintah yang keluar dari duburnya di rumahnya di Ketereh, Kota Bharu semalam.

KOTA BHARU - Seorang murid Tahun Satu Sekolah Kebangsaan Kampung Chengal, Ketereh, di sini melalui pengalaman yang mengerikan apabila seekor lintah sebesar ibu jari orang dewasa, masuk ke dalam duburnya ketika menangkap ikan di sebuah paya berdekatan rumahnya.

Mohd Farhan Adli Mohd Alpatah, 7, yang berasal daripada Kampung Paya Rambai itu, berkata dia hanya menyedari kehadiran lintah tersebut selepas mengalami pendarahan di duburnya.

"Saya masuk hospital semalam selepas tengok dubur berdarah ketika nak buang air besar dan beritahu keluarga mengenai perkara itu sebelum mendapatkan rawatan di hospital (Raja Perempuan Zainab II).

"Sebelum ini, saya dan tiga orang rakan pergi ke sebuah paya berdekatan rumah untuk mencari ikan, namun tak sangka pula ada lintah masuk dalam dubur,"
katanya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas menerima kunjungan isteri kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datin Seri Khamarzan
Ahmed Meah di sini, hari ini.

Kanak-kanak itu dijangka keluar daripada hospital dalam tempoh sehari dua lagi setelah lintah itu berjaya dikeluarkan. - Bernama

2 Peserta Melayu Antara 8 Peserta Mara Ke Pertandingan Akhir Bintang Lagu Klasik Iban 2012


SIAPA BAKAL JUARA?: Lapan daripada 16 peserta pusingan separuh akhir mara ke pusingan akhir pada 25 Mei ini.

KUCHING: Dua peserta kaum Melayu akan turut berentap dengan enam peserta Dayak untuk merebut gelaran juara pada Pertandingan Bintang Lagu Klasik Iban 2012 di Persatuan Gereja-gereja Sarawak di Stampin pada 25 Mei ini.

Walaupun berbangsa Melayu, Flerdaus Udin, 26, dari Samariang dan Suhaini Mat, 43, dari Spaoh ternyata begitu fasih menyanyikan lagu Iban klasik.

Enam peserta lain yang layak ke pusingan akhir adalah  Lawrence E, Philip Johnny, Valerie Thiam, Eisner Nala Jackson dan Rina Bayu Adilana Jimmy serta Pauline Arah.

Pada pusingan akhir itu nanti, kesemua peserta akan membawa dua lagu iaitu lagu pilihan sendiri manakala sebuah lagi adalah lagu wajib.

Malam itu nanti akan dimeriahkan dengan penampilan dua artis terkemuka Iban iaitu Melissan Francis dan Christopher Kelly.

Tiket dan meja dijual dengan harga RM400 dan ia boleh didapati di Borneo Ethnic Cafe (Alfred Dona 013-8068978) dan di Panggau Libau, di sini.

Pertanyaan berhubung pertandingan itu mahupun tiket ke pusingan akhir, layari http://pblki.blogspot.com. atau hubungi Isa Lee di talian 012-8864745.

- UB

Sharing