BERGELAR juara bertahan dalam Kumpulan A Rancangan Realiti Mentor Musim ke-6 dengan mendapat markah tertinggi sebanyak 211 mata pada tiga pusingan konsert mingguan bukan bermaksud Anas dan mentornya, Faizal Tahir sudah boleh berpuas hati dengan kedudukan mereka.
Bagi Anas atau nama sebenar, Anas Ridzuan, 23, dia tidak pernah berasa selesa dengan kedudukannya itu sebaliknya sebagai protege dia perlu menampilkan persembahan yang jauh lebih baik untuk pusingan seterusnya.
“Saya akui sudah berusaha menampilkan persembahan terbaik pada pusingan minggu ini. Tapi apabila berada pada kedudukan markah teratas, sudah tentu saya mula berasa tekanan untuk menghasilkan persembahan yang jauh lebih baik dan segar pada setiap minggu. Komen daripada Datuk Sharifah Aini (Kak Pah) dan Datuk Ramli MS membuatkan memberikan semangat kepada saya untuk terus beraksi,” kata ketika ditemui selepas selesai persembahan.
Tidak dapat dinafikan persembahan Anas memang mendapat tepukan gemuruh dari penonton ketika siaran langsung pusingan ketiga, konsert mingguan Kumpulan A yang ke udara dari Dewan Auditorium, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), malam kelmarin.
Persembahan Anas sungguh unik dan bertenaga dengan lagu Sempurna yang dipopularkan Andra & The Backbone. Ia disampaikan secara berduet dengan penyanyi terkenal Dayang Nurfaizah. Ternyata, gandingan mereka sendiri ‘cukup sempurna’ seperti mana judul lagu itu malah Dayang di belakang pentas memuji mutu persembahan Anas yang bijak menyatukan dua vokal apabila berduet.
Tidak cukup dengan itu, persembahan solo Anas ketika menyampaikan lagu popular Selena Gomez, Love You Like A Love Song dengan penampilan Faizal bermain gitar juga sangat memberangsangkan. Ini kerana susunan muzik kedua-dua lagu itu diberikan nafas berbeza. Lagu asal yang berirama perlahan diberi rentak rancak dan begitulah sebaliknya. Walaupun persembahan Anas mendapat pujian juri, Faizal Tahir sendiri, tidak pernah rasa selesa dan ingin melakukan perubahan.
“Kalau sebelum ini saya sentiasa memberikan bantuan kepada Anas, tapi minggu depan saya sengaja nak biarkan dia atau ‘mengabaikan’ dia pula. Ini kerana saya mahu ingin melihat sejauh mana kreativitinya dia sendiri membentuk corak persembahan.
“Selama ini, saya yang banyak ‘menyuap’ Anas dengan susunan muzik dan konsep untuk setiap persembahannya kerana saya buat dia sebagai ‘bahan eksperimen’.
“Saya ingin melihat sesuatu yang segar dalam persembahannya minggu depan,” katanya. Selaku juri tetap pula, Datuk Ramli MS mengharapkan Anas memberikan persembahan yang lebih baik lagi.
“Persembahan Anas memang bagus tapi sebagai penerbit muzik yang melihat dari sudut lain, persembahan Anas sudah boleh dijangkakan. Itu perlu diperbaiki,” komennya. Sementara itu, persembahan Ana Syuhada, 21, yang juga protege Ramlah Ram nampaknya ada peningkatan berbanding konsert mingguan sebelumnya. Malah, dia mendapat pujian dari Kak Pah dan Ramli sendiri.
“Saya bersyukur kerana persembahan ada peningkatan minggu ini dan mendapat perhatian juri. Semuanya berkat bimbingan Kak Ramlah. Saya juga akan mengatasi kelemahan dalam persembahan iaitu masalah suara sengau dalam nyanyian,” katanya yang berjaya mendapat 154 mata dan berada di tempat kedua Kumpulan A.
Pemilik nama sebenar Ana Syuhada Noor Asram dari Shah Alam, Selangor juga tampil dengan gaun labuh warna jingga berduet dengan pemenang Anugerah Juara Lagu 24, Aizat melalui Lagu Kita. Persembahan solo pula dia menyampaikan lagu Rindu yang dipopularkan Agnes Monica.
Manakala, Tisha, 26, dan mentornya Ferhad terpaksa akur apabila penyanyi itu berada pada kedudukan paling bawah minggu ini dengan 150 mata.
Tisha yang juga pemilik nama sebenar Shanorbiah Shamsir Alam akui dia sudah cuba buat yang terbaik namun markah tidak berpihak kepadanya apabila Ana pula mengambil alih tempatnya dalam konsert lalu.
“Saya akan memperbaiki kelemahan untuk memberikan yang terbaik dalam pusingan keempat Kumpulan A kelak. Sekalipun berada pada kedudukan markah yang paling rendah, saya tidak akan berputus asa,” katanya.
Pada malam itu, Tisha berduet dengan Aqasha menerusi lagu tema drama bersiri Gemersik Kalbu berjudul Obsesiku yang juga dendangan pelakon itu bersama petikan gitar. Selain itu, dia menyampaikan lagu solo yang dipopularkan penyanyi Farahdhiya iaitu Bertakhta Di Hati. Konsert malam tadi juga diserikan dengan persembahan khas oleh tiga warga kurang upaya yang pernah datang uji bakat menjadi protege Ramlah Ram.
- hMetro