Isnin, 30 Julai 2012

1,498 Lembu Australia Tiba di Pelabuhan Bintulu Penuhi Bekalan Daging Menjelang Hari Raya Aidilfitri


BINTULU 25 Julai - Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) menerusi anak syarikatnya, PPES Ternak Sdn. Bhd. yakin dapat memenuhi permintaan bekalan lembu hidup dan daging segar menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Pengurus Besar SEDC, Soerdirman Aini berkata, ketibaan 1,498 ekor lembu dari ladang ternakannya di utara Australia awal pagi semalam adalah bagi memastikan bekalan daging lembu yang mencukupi sepanjang musim perayaan.

"Oleh itu kita harap umat Islam yang hendak menyambut Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha tidak risau kerana kita sudah melakukan perkara sepatutnya dan yakin bekalan adalah mencukupi dengan tibanya lebih 1,000 ekor lembu itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau aktiviti pemunggahan lembu ternakan tersebut di Pelabuhan Bintulu, di sini hari ini.

Sementara itu, Soedirman berkata, urusan pengimportan lembu itu bermula pada 14 Julai lalu menggunakan kapal MV Nine Eagle yang berlepas dari Pelabuhan Karumba, Australia sebelum tiba di Pelabuhan Bintulu di sini pagi semalam.

Menurutnya, semua haiwan tersebut akan dihantar ke Ladang Karabungan di Miri dan Kuching selepas melalui proses kuarantin di Pelabuhan Bintulu.

"Lembu yang diterima hari ini adalah sebahagian daripada 30,000 ekor lembu yang diternak oleh PPES Ternak Sdn. Bhd. di utara Australia," katanya.

Ladang ternakan lembu di wilayah utara Australia merupakan pembekal utama lembu hidup dan daging segar untuk negeri ini.

Selain itu, SEDC turut mempunyai sebuah ladang ternakan lembu di Queensland dengan kapasiti 14,700 hektar untuk bekalan pasaran domestik Australia.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan lembu hidup, tempahan boleh dibuat melalui PPES Ternak Kuching di talian 082-482015 dan PPES Ternak Miri (085-739317) manakala untuk daging lembu segar pula, orang ramai boleh membelinya di premis Sarabeef di Jalan Mersawa, Bintawa, Satok dan Kompleks Kubah Ria di Kuching.

- Utusan Sarawak, 25 Julai

0 comments:

Sharing