Sabtu, 2 Jun 2012

63 Buah Sekolah Vokasional Dinaik Taraf Kolej Vokasional 2013

GEORGE TOWN: Kerajaan akan menaik taraf 63 buah Sekolah Menengah Vokasional menjadi Kolej Vokasional tahun depan bagi memastikan bekalan tenaga kerja teknikal di negara ini mencukupi.


Pengarah Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional Kementerian Pelajaran, Ahmad Tajudin Jab berkata usaha itu merupakan sebahagian daripada penekanan dalam bidang teknikal dan vokasional yang dilakukan pihaknya untuk menyediakan modal insan berkemahiran tinggi.

“Sebagai permulaan, 4,500 pelajar di 15 Sekolah Menengah Vokasional yang telah dinaik taraf kepada Kolej Vokasional telah memulakan pengajian bagi Diploma Vokasional awal tahun ini dan mereka merupakan perintis program berkenaan.

“Kita jangkakan 15,000 pelajar akan mengikuti lebih 30 program Diploma Vokasional pada tahun depan,” katanya kepada pemberita selepas menutup Karnival Voktek peringkat kebangsaan kali ke-15 di sini hari ini.

Karnival yang disertai lebih 1,000 pelajar Sekolah Teknik dan Vokasional seluruh Malaysia itu diadakan selama lima hari sejak Rabu lepas di Sekolah Menengah Teknik Tunku Abdul Rahman Putra di sini.

Ahmad Tajudin berkata kesemua pelajar yang mengikuti pengajian di Kolej Vokasional akan mengikuti pengajian selama empat tahun meliputi 70 peratus kemahiran dan 30 peratus akademik secara percuma.

Katanya pelajar yang menamatkan pengajian di kolej itu akan  mendapat Diploma Vokasional kerana mengikuti kursus selama lapan semester (empat tahun).

“Ia bagi menjadikan pelajar itu nanti lebih kreatif serta inovatif bagi memenuhi keperluan pasaran kerja pada masa akan datang.

“Jadi kita berharap dengan adanya Kolej Vokasional ini nanti mampu melahirkan tenaga mahir dan berkemahiran bagi membolehkan mereka bersaing di peringkat global,” katanya. — Bernama


0 comments:

Sharing