Sabtu, 5 Mei 2012

Tradisi 'Balian' Kepercayaan Lama Kaum Iban Semakin Pupus

Jugah Luang menggosok batu azimat di badan kanak-kanak dipercayai untuk menjaga kesihatan dan bebas daripada gangguan kuasa jahat di Niah, Miri, baru-baru ini. 

MIRI 3 Mei - Bagi masyarakat Iban yang masih berpegang teguh dengan kepercayaan lama atau 'pengarap lama', mereka sentiasa mengaitkan penyakit yang tidak diketahui puncanya dengan gangguan roh atau semangat.

Mereka percaya, semangat itu hilang daripada jasad ataupun diganggu oleh hantu-hantu jahat sama ada di dunia ataupun tempat tinggal roh berkenaan.

Dalam situasi begini, jika seseorang itu sakit berpanjangan dan tidak sembuh walaupun sudah dirawat menggunakan perubatan moden, maka upacara pengubatan tradisional yang dinamakan 'balian' akan digunakan sebagai alternatif untuk memulihkan pesakit.

Setelah beratus-ratus tahun diamalkan, upacara balian kini bukan sekadar untuk mengubati penyakit, malah ia dipelbagaikan mengikut jenis penyakit dan situasi yang dihadapi.

Antaranya, balian beruwa dan kerembai bungai untuk mengubati kanak-kanak yang lambat membesar dan sering sakit atau balian mimpi bagi mereka yang mendapat mimpi buruk.

Selain itu, turut diadakan ialah balian bebunuh buyu untuk membunuh hantu yang mengganggu pesakit, beserara bungai untuk memisahkan roh si mati dengan ahli keluarga yang masih hidup dan upacara betimba untuk memulihkan manang (dukun) dan lemambang (penyair).

"Sekitar 1970 hingga 1990, upacara ritual ini dilakukan dengan meluas terutama di rumah panjang yang terletak jauh di pedalaman dan tiada kemudahan perubatan," kata Jugah Luang, 77, seorang manang yang ditemui Utusan Malaysia di Skim Rancangan Sepupok, Niah, kira-kira 110 kilometer (km) dari sini baru-baru ini.

Menurut Jugah yang masih bergiat aktif dalam rawatan tradisional itu, terdapat dua cara pemulihan semangat sama ada menggunakan manang atau lemambang, kedua- duanya dianggap mempunyai kuasa sakti kerana mampu berkomunikasi dengan kuasa halus sekali gus menyembuhkan penyakit.

"Kami mempunyai kuasa untuk menjejaki roh yang hilang dan membawanya pulang ke dunia.

"Caranya dengan membaca jampi namun ia berbeza daripada bahasa Iban yang dituturkan seharian dan hanya difahami oleh kami," katanya.

Ujar Jugah, oleh kerana balian merupakan upacara dianggap suci, maka jampi harus disebut dan dibaca mengikut urutan yang betul, jika tidak balian tersebut dianggap tidak mujarab.

Katanya, balian dilaksanakan mengikut peringkat tertentu dan caranya mungkin berbeza di setiap rumah panjang.
Antara peralatan digunakan ialah sejenis batu kristal atau batu ilau dalam bahasa Iban yang berfungsi untuk mengesan kedudukan roh si pesakit.

Selain itu, beberapa batu atau tumbuhan yang dipercayai boleh merawat si pesakit serta sehelai kain tenunan atau pua kumbu untuk dukun menutup badannya semasa proses rawatan turut digunakan.

Seperti upacara ritual yang lain, terdapat beberapa pantang larang perlu dipatuhi semasa dan selepas balian.
"Pesakit tidak dibenarkan memakan, memotong atau menyentuh sebarang tumbuhan seperti cendawan, buluh dan sayur-sayuran bunga. Ia dipercayai menyebabkan rawatan tidak berkesan," kata Jugah.

Selain itu, orang dari tempat lain selain penduduk rumah panjang juga dilarang masuk ke dalam rumah si pesakit dan pantang itu berterusan antara tiga hingga tujuh hari bergantung kepada upacara balian.

Ditanya mengenai upah seorang manang dan lemambang, Jugah berkata, mereka menerima tajau (tempayan) kecil, parang, pinggan seramik, pua kumbu atau kain belacu selain wang tunai RM35.

Sekiranya tiada tajau, ia boleh diganti dengan kain belacu, namun upahnya dinaikkan ke RM40.

Hari ini, tradisi balian masih diteruskan di beberapa rumah panjang namun ia tidak lagi meluas berbanding dua dekad yang lalu.

Menurut Jugah, walaupun tradisi itu masih diterima, namun dia menyedari suatu hari nanti ia akan pupus ditelan zaman.

"Sukar untuk menemukan generasi muda yang mahu mewarisi kemahiran berubat menggunakan balian.
"Tambahan pula, jumlah manang dan lemambang kini sudah semakin berkurangan."

"Mereka yang tinggal kini kebanyakan mencapai usia lewat 80 dan tidak mempunyai gigi menyebabkan sebutan jampi atau mantera tidak lagi tepat," katanya yang masih giat membuat rawatan balian di sekitar Niah, Miri, Bintulu dan Baram.

Selain itu, semakin banyak kawasan pedalaman dilengkapi kemudahan perubatan moden yang disediakan Jabatan Kesihatan melalui perkhidmatan doktor udara dan Klinik Bergerak 1Malaysia menggunakan bot.

Amat sukar untuk menemukan upacara ini lagi di rumah-rumah panjang yang terletak di kawasan pedalaman.
"Bagi generasi muda Iban, sesuatu yang merugikan sekiranya tradisi warisan nenek-moyang ini tidak dipelihara sebaliknya terus lenyap dan dilupakan begitu sahaja," kata Jugah.

- Utusan

0 comments: