Jumaat, 27 April 2012

Pasangan Suami Isteri Warga Singapura Dera 3 Anak Guna Kayu Hoki


NOOR HASHIM menunjukkan kayu hoki yang dirampas di rumah pasangan suami isteri yang ditahan pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Nusajaya, Johor Bharu semalam.

JOHOR BAHRU: Sepasang suami isteri warga Singapura hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas tiga pertuduhan mendera tiga anak mereka, 22 April lalu.

Idris Yaacob, 46, dan ibu tiri kepada mangsa, Zarina Ibrahim, 39, kedua-duanya bekerja sebagai guru muzik, dituduh dengan sengaja mendatangkan kecederaan fizikal dan emosi terhadap ketiga-tiga mangsa yang berusia 7, 10 dan 14 tahun. 

Mereka dituduh melakukan perbuatan tersebut kira-kira jam 12 tengah hari di Kampung Melayu Gelang Patah, dekat sini mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun. 

Pegawai Pendakwa Insp Hasbullah Noor memohon agar tertuduh dikenakan ikat jamin sebanyak RM45,000 setiap seorang sementara menunggu tarikh perbicaraan kes itu.

Kedua-dua tertuduh bagaimanapun merayu agar wang ikat jamin itu dikurangkan memandangkan mereka tidak dapat menghubungi ahli keluarga lain selain tidak berkemampuan.


Majistret Hafizah Johor Ariff Johor kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM25,000 seorang dan menetapkan 11 Jun depan sebagai tarikh perbicaraan. 

Selasa lepas, polis menahan sepasang suami isteri warga Singapura di rumah mereka di Kampung Melayu Gelang Patah kerana dipercayai mendera tiga anak mereka. 

Penahanan itu hasil laporan polis yang dilakukan sendiri oleh mangsa, seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun setelah tidak tahan dengan penderaan yang dilakukan terhadapnya dan adik perempuannya berusia 10 serta adik lelakinya 7 tahun. - BERNAMA


0 comments:

Sharing