Isnin, 9 Januari 2012

Pengawal Keselamatan Mati Ditetak di SMK Raja Muda Musa, Batang Berjuntai


SHAH ALAM 8 Jan. - Seorang pengawal keselamatan ditemui mati dengan tangan dan mulutnya terikat dalam kejadian samun di Sekolah Menegah Raja Muda Musa, Batang Berjuntai, Kuala Selangor, di sini awal pagi ini.

Mangsa yang berusia 41 tahun, berketurunan Melayu dan cacat sebelah tangan ditemui dalam keadaan terlentang dan berlumuran darah kira-kira 50 meter dari pondok pengawal oleh rakan setugasnya pada pukul 3.50 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah berkata, sebelum ditemui mati, mangsa dan rakan setugasnya berpecah untuk membuat rondaan di sekitar kawasan sekolah tersebut selepas mendengar bunyi salakan anjing yang kuat pada pukul 3.40 pagi.

Beliau berkata, rakan setugas mangsa dikatakan terlebih dahulu ke pondok pengawal setelah habis rondaan.

"Bagaimanapun rakan setugas mangsa keluar semula dari pondok pengawal untuk mencari mangsa selepas lelaki itu tidak muncul dalam tempoh yang agak lama.

"Mangsa kemudian ditemui dalam keadaan terlentang berlumuran darah dipercayai ditetak dengan senjata tajam kira-kira 50 meter dari pondok pengawal. Tangan dan mulutnya juga diikat dengan kain," katanya kepada pemberita di Pusat Media Polis Selangor di sini petang ini.

Menurut Mohd. Adnan, siasatan awal percaya mangsa telah terserempak dengan sekumpulan penjenayah yang memasuki kawasan sekolah dan telah dicederakan di bahagian dada, kepala dan belakang badan sebelum ditemui mati.

Ujar beliau, penjenayah yang dipercayai lebih daripada seorang itu sempat mengambil telefon bimbit mangsa sebelum melarikan diri tetapi dompetnya tidak diusik.

"Setakat ini kami percaya kejadian ini bermotifkan samun tetapi masih belum melakukan siasatan di kawasan sekolah memandangkan sekolah ditutup hari ini.

"Kami juga telah menahan rakan setugas mangsa bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana dia telah memberikan kenyataan yang tidak konsisten dan suspek akan ditahan reman esok.

"Mayat mangsa pula telah dibawa ke Hospital Tanjung Karang untuk dibedah siasat," ujarnya.

Tambahnya, ini adalah kali kedua kejadian samun berlaku di sekolah tersebut selepas kali pertama pada 2009.

0 comments: