BUKIT
RAMBAI - Seorang penunggang motosikal terkejut apabila mendapati remaja yang
maut akibat dihempap dahan pokok, di Jalan Ayer Salak, dekat sini semalam
rupa-rupanya anak saudaranya sendiri.
Lim Kim
Swee, 55, berkata, dalam kejadian kira-kira 10.45 pagi itu, dia hanya berada
kurang 100 meter di belakang mangsa dan melihat sendiri dahan pokok berkenaan
patah, lalu menghempap seorang penunggang motosikal sebelum mangsa terseret
beberapa meter.
“Selepas
kejadian itu, saya memberhentikan motosikal untuk membantu, namun mangsa sudah
meninggal dunia. Sebaik saja saya dekati dan memeriksa MyKad mangsa, saya
terkejut dia adalah anak saudara saya,” katanya kepada pemberita di lokasi
kejadian, semalam.
Dalam
kejadian itu, Tan Yong Wee, 21, seorang juruteknik pendingin hawa maut di
tempat kejadian.
Mangsa
yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC 135 dalam perjalanan dari rumahnya di
Ayer Salak, di sini untuk berjumpa abangnya di Tanjung Minyak.
Kim Swee
berkata, ketika kejadian, angin bertiup kencang dan dia dalam perjalanan
menghantar sayur di beberapa pasar sekitar bandar ini.
“Saya
memang tidak menyangka kejadian buruk ini menimpa saudara saya sendiri,”
katanya.
Sementara
itu, Pengawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tangga Batu, N Raman berkata,
pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus selepas menerima panggilan telefon
pada 11.02 pagi.
“Dipercayai
mangsa dihempap dahan pokok sebelum terseret disebabkan seluarnya tersangkut
pada besi di bahagian belakang motosikal,” katanya ketika ditemui di tempat
kejadian.
Kejadian
itu juga menyebabkan Jalan Ayer Salak, di sini ditutup kepada lalu lintas
sebelum mayat mangsa di bawa ke Hospital Melaka, selain dahan pokok berkenaan
dialihkan.
Dalam
pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang , Datuk Seet Har Cheow
berkata, meminta Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) memantau keadaan
pokok di bandar ini bagi mengelakkan kejadian sama berulang,
“Saya
sudah minta MBMB untuk menjalankan siastaan berhubung perkara ini dan
dipanjangkan kepada Kerajaan Negeri,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa
Kesihatan, Pembangunan Pekan Kecil, Pemulihan Projek dan NGO Negeri.
- SH
>




















