KUCHING: Suami durjana,
mungkin gelaran paling sesuai untuk seorang suami yang tanpa belas kasihan
menumbuk isterinya berkali-kali hingga mangsa dirawat di Hospital Umum Sarawak
(HUS) gara-gara menolak melayan nafsu serakahnya di dalam kereta.
Insiden berlaku sekitar jam 3 pagi kelmarin di luar sebuah kelab
malam di kawasan Petanak apabila pasangan tersebut memasuki kereta selepas
meninggalkan pusat hiburan tersebut.
Pengawal yang menjaga kawasan luar kelab malam terbabit yang
menyaksikan si suami menumbuk isterinya bertubi-tubi, bergegas menyelamatkan
wanita malang itu.
Mangsa kemudian di hantar ke HUS untuk mendapatkan rawatan.
Namun, insiden tidak berakhir di situ apabila si suami mengekori
dan melemparkan kata-kata kesat selain menampar wanita berkenaan di bilik
menunggu hospital.
Pihak polis yang berpangkalan di hospital berjaya menghalang si
suami terus bertindak ganas tatkala isterinya dirawat akibat luka-luka di muka.
Sumber memberitahu, si suami yang mabuk naik berang kerana
isterinya menolak ajakan melakukan hubungan seks di dalam kereta sejurus keluar
dari kelab terbabit.
Dalam kejadian berasingan, satu pasangan muda mengalami kecederaan
di badan selepas diserang ketika ingin mengelak pergaduhan beramai-ramai di
sebuah pusat hiburan di Siol Kandis, awal pagi kelmarin.
Kedua-dua mereka yang berusia 28 tahun sedang bersama di dalam
premis berkenaan ketika pergaduhan melibatkan beberapa kumpulan tercetus
sekitar jam 3 pagi.
Disebabkan bimbang akan keselamatan diri, mereka cuba keluar
melalui pintu hadapan namun disekat oleh seorang lelaki tidak dikenali yang
menuduh mereka punca pergaduhan sebelum dibaling dengan botol kaca.
Pasangan terbabit yang berjaya melarikan diri kemudian bergegas ke
HUS untuk mendapatkan rawatan.
- UB















