Rabu, 16 November 2011

BN Youth Music 2011 Cungkil Bakat Baru



KUALA LUMPUR: Program BN Youth Music 2011 bakal memberi peluang kepada generasi muda untuk berkarya selain mencungkil bakat baru dalam bidang muzik.
Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN) Khairy Jamaluddin berkata, program tersebut diadakan bagi memberi peluang kepada mereka yang tidak gagal untuk menyertai program bakat sedia ada.
Khairy berkata, selain mencungkil bakat baru anak muda, program yang mendapat kerjasama daripada Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) itu juga diadakan bagi mengeratkan lagi hubungan rakyat negara ini yang dari pelbagai latar belakang.
"Ini adalah platform sesuai untuk anak-anak muda berkarya selain dapat berkumpul sebagai rakyat Malaysia berbilang kaum dengan alasan yang lebih relevan iaitu muzik," ujarnya pada sidang media majlis pelancaran BN Youth Music 2011 di sini, Selasa.
Dalam pada itu, pemangku Timbalan Presiden dan Ketua Biro Seniman Muda, Zed Zaidi berkata, peserta yang ingin menyertai program itu boleh berbuat demikian bermula sekarang sehingga 31 Disember 2011 dengan memuat naik video persembahan mereka di laman web www.bnyouthmusic.com.
Tambahnya, peserta berusia dari 18 hingga 40 tahun boleh menyertai program ini dengan tiga kategori berbeza iaitu Solo, Kumpulan dan Kumpulan Vokal.
"Peserta yang telah memuat naik video di laman Youtube juga masih boleh menyertai dengan menghantar link video mereka ke laman web BN Youth Music 2011," katanya.
Zed berkata, sebanyak 30 peserta akan disenarai pendek diperingkat separuh akhir dan akan membuat persembahan secara langsung dihadapan juri profesional pada Januari.
Sementara itu, penyanyi rock, Awie yang dilantik sebagai juri tetap berkata, dia bakal melihat kreativiti peserta selain personaliti mereka sebagai kriteria pemilihan untuk peringkat akhir nanti.
Ujarnya, peserta boleh memuat naik video persembahan sama ada lagu daripada artis lain tetapi digalakkan untuk menghantar lagu ciptaan mereka sendiri.
"Sebab itu kita pentingkan kreativiti peserta yang bukan sahaja diukur melalui suara tetapi juga bakat mereka dalam mencipta lagu dan lirik," ujarnya.
- mStar

Lihan Jok Dilantik Sebagai Senator Dengan 50 Undian Ahli Dewan DUN Ke-17


KUCHING: Lihan Jok, 54, dilantik sebagai senator selepas pencalonannya mendapat persetujuan majoriti ahli dewan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-17, semalam.

Pencalonan beliau dicadang oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Dr Alfred Jabu Numpang dan disokong oleh Menteri Kanan Tan Sri James Masing.

Dalam pemilihan semalam, Lihan berdepan saingan daripada calon dikemukakan barisan pembangkang, Dr John Brian Anthony yang dicadangkan oleh Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Negeri Wong Ho Leng dan disokong oleh ADUN Kidurong Chiew Chiu Sing.

Pelantikan Lihan sebagai senator menggantikan Datuk Idris Buang dimaklumkan oleh Speaker Dun Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar.

“Dr John Brian mendapat 15 undi, Lihan Jok pula mendapat 50 undi… dengan ini saya mengumumkan Lihan Jok dengan sah sebagai senator… tahniah,” katanya.

Setiausaha DUN selepas itu memberitahu pihaknya ada menerima surat rasmi daripada Lihan pada 2 November lalu yang menyatakan kesanggupan beliau berkhidmat sebagai senator sekiranya dipilih.

Sementara itu Jabu ketika mengemukakan usul mencadangkan pencalonan Lihan berkata tempoh pelantikan Idris yang dilantik menerusi DUN sebagai Ahli Dewan Negara enam tahun lalu iaitu selama dua penggal tamat pada 28 November ini.

“Atas sebab itu saya hari ini mewakili ahli dewan merekodkan terima kasih kepada YB Senator Datuk Idris Buang atas sumbangan dan khidmatnya yang begitu dedikasi.

“Atas alasan ini juga bagi mengisi kekosongan ini, saya dengan besar hati melaksanakan tugas saya dan penuh penghormatan, saya menamakan calon untuk mengisi kekosongan sebagai senator,” katanya.

Lihan, berbangsa Kayan dari Long Bedian, Ulu Sungai Apoh, Baram Sarawak bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan selama dua penggal dari 2001 hingga 2010.

Bagaimanapun, memilih untuk tidak mempertahankan kerusi itu bagi memberi laluan kepada muka baru dan muda juga dari Baram iaitu Dennis Ngau yang kini merupakan ADUN Telang Usan.

Lihan mendirikan rumah tangga dengan Freda Mujan dan dikurniakan empat cahaya mata.

Sebelum menceburi politik beliau merupakan seorang pendidik selama 21 tahun dan lebih banyak menghabiskan masa perkhidmatannya di kawasan luar bandar.

Beliau merupakan penggerak utama menyatukan semua Persatuan Orang Ulu di bawah (Persekutuan Persatuan Orang Ulu Sarawak, Malaysia) FORUM dan beliau selaku presidennya.

Lihan juga merupakan ahli Lembaga Amanah Yayasan Budaya Dayak, ahli Lembaga Pengajian Tinggi Sarawak dan ahli Lembaga Kilang Pemprosesan Minyak Sawit Bau.

Dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Lihan antara naib presiden parti Barisan Nasional (BN) itu.

Sementara itu Dr John, dilahirkan pada 1955, berbangsa Iban dari daerah Sebauh, Bintulu dan seorang konsultan pengurusan terkemuka selain penulis blog.

Beliau juga merupakan penasihat komuniti Dayak bagi DAP Negeri dan pernah bertanding dalam beberapa pilihan raya tetapi tewas kepada calon BN.

- UB

Princess Alma Ridi, Miss Good Will 2011


MIRI: Princess Alma Ridi, 20, peserta memegang nombor 1 dinobatkan sebagai Miss Good Will 2011 semasa prebiu Miss Borneo Beautiful 2011 yang berlangsung di Eastwood Valley Golf and Country Club malam kelmarin.

Princess Alma, 22, berbangsa Iban yang mempunyai ketinggian 154sm memenangi gelaran tersebut selepas mempersembahkan tarian Bollywood.

Tujuh lagi peserta yang turut membuat persembahan semasa prebiu ialah Maximillian Ulau Padan (taekwondo), Elizabeth Wee (lagu Punjabi) Julies Lucas (ngajat) dan Rachel Frankie (tarian 1Borneo).

Sementara itu, gadis kacukan Penan dan Melayu Roszainah Suhaili mempersembahan lagu Mandarin manakala Farahana Zieta Joes dan Cammielye Oliver Rega masing-masing membawa lagu Inggeris.

Hadir sama pengerusi penganjur, Alaric Soh, Datuk Bandar Miri Lawrence Lai, wakil Alan Inspiration Salon Shirley Wong dan Pengerusi Eksekutif Miri Housing Group of Companies Datuk Profesor Lau Siu Wai.

Berucap pada majlis tersebut, Lai berkata majlis terkenal seperti Miss Borneo Beautiful dapat mempromosi bandar raya pelancongan Miri di dalam dan luar negara.

“Saya amat menghargai usaha pihak penganjur untuk membawa acara ini ke Miri. Saya berharap lebih banyak acara seumpama ini diadakan bukan sahaja untuk memperkenalkan Miri malah Borneo keseluruhan,” katanya.

- UB

64,120 Komputer 1Malaysia Telah Diagihkan Kepada Pelajar di Sarawak


Ia telah diagih kepada pelajar di negeri ini sehingga 3 November 2011

KUCHING: Sejumlah 64,120 daripada 182,168 unit Komputer 1Malaysia yang diperuntukkan kepada negeri Sarawak telah diagihkan kepada pelajar sekolah menengah di negeri ini sehingga 3 November 2011.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata, pengagihan komputer berkenaan dilakukan mengikut bahagian.

Menurutnya, setakat 3 November 2011, Kuching menerima pengagihan terbanyak iaitu 17,465 diikuti Miri (9,165), Bintulu (6,122), Sibu (7,100), Samarahan (4,692), Mukah (4,246), Sri Aman (3,570), Sarikei (3,400), Betong (3,100), Kapit (2,735) dan Limbang (2,525).

“Kriteria-kriteria asas bagi kelayakan individu menerima sumbangan komputer 1Malaysia adalah warganegara Malaysia, pendapatan bulanan isi rumah untuk setiap penerima mesti tidak melebihi RM3,000 sebulan.

“Setiap kediaman (rumah) hanya diperuntukkan dengan satu unit komputer sahaja, penerima yang berjaya dikehendaki melanggan perkhidmatan jalur lebar dengan pakej minimum di bawah RM25 sebulan daripada mana-mana syarikat telekomunikasi,” jelasnya.

Fatimah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat berkata demikian ketika menjawab soalan Abu Seman Jahwie (BN-Jemoreng) pada sesi soal jawab Persidangan DUN Ke-17, semalam.

Sementara itu katanya, pengagihan 182,168 unit computer 1Malaysia berdasarkan populasi penduduk di setiap kawasan Parlimen adalah seperti berikut: Mas Gading 5,135, Santubong (6,000), Petra Jaya (7,400), Bandar Kuching (3,800), Stampin (6,000), Kota Samarahan (6,000), Mambong (6,133), Serian (6,000).

Batang Sadong (5,210), Batang Lupar (6,000), Sri Aman (5,600), Lubok Antu (4,400), Betong (7,000), Saratok (6,000), Tanjung Manis (4,000), Igan (4,000) Sarikei 4,600) dan Julau (8,390).

“Bagi Kanowit pula ialah 5,000 unit, Lanang (4,100), Sibu (5,200), Mukah (6,200), Selangau (6,000), Kapit (6,200), Hulu Rajang (4,500), Bintulu (9,200), Sibuti (4,300), Miri (9,800), Baram (7,600), Limbang (6,000) dan Lawas (6,400),” katanya.

- UB

19 Dipenjara Bunuh 7 Petani Demi Tumbuhan "Yarshagumba" Kuat Seks


GAMBAR menunjukkan tiga tumbuhan Yarshagumba di Kathmandu, Nepal.



KATHMANDU - Sebuah mahkamah di Nepal menjatuhkan hukuman penjara terhadap 19 penduduk kampung atas kesalahan membunuh sekumpulan petani dalam pergaduhan berhubung hak untuk mengutip tumbuhan Yarshagumba yang mampu menguatkan seks yang dikenali sebagai Viagra Himalaya, kata seorang pegawai semalam.
Seramai tujuh petani telah dibunuh di daerah Manang pada bulan Jun 2009 semasa mengutip tumbuhan itu yang merupakan pendapatan utama bagi kebanyakan penduduk di Himalaya
Para tertuduh itu mendakwa tujuh petani tersebut mati secara tidak sengaja ketika berlaku pergaduhan berhubung hak untuk mengutip tumbuhan tersebut yang harganya boleh mencecah puluhan ribu dolar untuk satu kilogram di China.
Laporan mengenai kehilangan para petani itu diketahui oleh pihak berkuasa pada Jun 2009.
"Enam tertuduh didapati bersalah kerana membunuh dan dijatuhkan hukuman penjara selama 20 tahun," kata seorang pendaftar sebuah mahkamah di daerah Manang, Shambhu Baral.
Menurutnya, seramai 13 lagi dijatuhi hukuman dua tahun penjara, tetapi mereka telah menghabiskan masa dalam tahanan sejak ditangkap.
Katanya, bukti-bukti menunjukkan hanya enam orang terlibat secara langsung dalam pembunuhan itu.
Pada mulanya, pihak berkuasa menangkap seluruh penduduk kampung tetapi sejumlah wanita dan kanak-kanak kemudian dibebaskan. -AFP

Ricky Martin Bakal Kahwini Teman Lelaki



15 Nov - Selepas berpacaran selama empat tahun, akhirnya pelantun lagu "Livin' La Vida Loca", Ricky Martin dikhabarkan sedang merancang untuk mengahwini kekasih sejenisnya, Carlos Gonzalez di Sepanyol.
Dipetik daripada laman web Mirror, penyanyi berusia 39 tahun ini telah memohon kerakyatan bagi mengambil kesempatan akan keputusan negara tersebut yang membenarkan perkahwinan sama jantina pada tahun 2005, menurut laporan El Pais.
Malah kerajaan Sepanyol dilihat berbesar hati 'menerima' ayah kepada dua anak kembar berusia tiga tahun, Matteo dan Valentino serta tidak menyuruhnya menukar kerakyatan Amerika Syarikat yang dipegangnya itu.
Walaupun Martin tidak memberi sebarang komen tentang laporan tersebut, akhbar harian Sepanyol itu melaporkan dia mempunyai perancangan untuk berkahwin di negara itu kerana ingin memberi penghormatan kepada perdana menteri Jose Luis Rodriguez Zapatero kerana menyokong hak homoseksual.
Pada tahun lepas, penyanyi ini mengeluarkan kenyataan dan mengakui dia adalah seorang homoseksual dan berbangga dengan status dirinya itu.
- Yahoo Malaysia

NUTP Gesa Putrajaya Batal Projek Rintis, Jangan Paksa Guru Kerja 9 Jam


KUALA LUMPUR, 13 Nov — Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) hari ini menggesa Putrajaya membatalkan sahaja projek perintis guru bertugas sembilan jam sehari atas alasan kajian itu satu tindakan membazir selain tidak mendapat maklum balas positif daripada kalangan tenaga pendidik.
Selain itu, NUTP juga mendakwa dasar baru tersebut tidak sesuai buat masa sekarang memandangkan kebanyakan sekolah kurang kemudahan selesa dan kondusif bagi guru.
Projek perintis itu akan dilaksanakan di empat negeri melibatkan sekitar 5,000 guru sekolah rendah dan menengah kerajaan mulai 1 Januari depan.
Presiden NUTP Hashim Adnan berkata, pihaknya pasti bahawa kajian perintis itu tidak akan membawa hasil positif jika mengambil kira kemudahan semasa di kebanyakan dan beban kerja setiap guru buat masa sekarang.
“Kita tahu bahawa kajian perintis ini tidak akan membawa keputusan positif yang diharapkan oleh Kementerian Pelajaran... jadi mengapa kita hendak membuang masa dan wang rakyat.
“Lagipun guru tidak perlu diwajibkan kerja sembilan jam seperti perkhidmatan lain, sebagaimana dikatakan oleh menteri (hari ini), guru-guru perlu cukup istirahat dan mereka sebenarnya kerja lebih daripada sembilan jam... misalnya kita ambil kira seorang cikgu yang meninggal dunia bersama dua anak muridnya,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider hari ini, dengan merujuk kepada tragedi empat orang meninggal dunia dalam nahas lebuh raya dekat Behrang awal pagi kelmarin.
Kata Hashim, besar kemungkinan guru-guru tidak akan berminat dengan dasar baru kerja sembilan jam, dan oleh itu “mengapa kerajaan hendak meneruskan kajian perintis ini?”
Hashim menjelaskan, Kementerian Pelajaran hendak menjalankan kajian perintis sebelum mewajikan kaum guru berkhidmat selama sembilan jam sehari seperti kakitangan awam yang lain.
“Langkah ini bertujuan menjadikan perkhidmatan pendidikan seperti perkhidmatan lain di negara ini. NUTP merasakan langkah ini tidak sesuai, tidak kena tempat memandangkan sifat perkhidmatan itu sendiri berbeza daripada sektor perkhidmatan awam yang lain,” kata beliau.
Di bawah dasar baru ini, guru sebelah pagi dikehendaki berada di sekolah dari 7.30 pagi hingga 4.30 petang manakala guru sebelah petang pula dikehendaki masuk sekolah 9.30 pagi dan bertugas sehngga 6.30 petang.
Semalam, Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong menasihatkan para guru agar tidak “panik” dengan projek rintis sistem bekerja sembilan jam Kementerian Pelajaran.
Projek itu yang akan dilaksanakan mulai Januari 2012 di empat negeri — Melaka, Sarawak, Pahang dan Johor berasaskan satu kajian di Melaka Tengah yang mengenal pasti tempoh bekerja yang ideal bagi guru.
Laporan media menyebut kira-kira 5,000 guru dari hampir 104 sekolah di seluruh negara akan menjadi perintis kepada sistem waktu bekerja sembilan jam mulai Januari depan.
PAS, komponen Pakatan Rakyat hari ini turut menggesa Kementerian Pelajaran mengkaji semula projek perintis guru-guru bertugas selama sembilan jam sehari yang akan dilaksanakan di empat negeri mulai Januari ini.
Ahli jawatankuasa kerja PAS Idris Ahmad berkata, tindakan itu tidak wajar memandangkan guru memang sedia terbeban pada masa ini termasuk tugasan selain mengajar.
“Rasional apakah guru-guru terpaksa bekerja selama sembilan jam? Sebenarnya guru-guru di Malaysia sudah sedia terbeban, bukan sahaja pembelajaran dan pengajaran.
“Malahan guru sudah menjadi tenaga kerja pelbagai tujuan kerana semua perkara guru terpaksa melakukan. Guru juga pemandu ambulans jika pelajar sakit, menjadi polis trafik ketika pelajar keluar sekolah, pengawal disiplin, pegawai kewangan kalau ia guru kelas, menjadi kerani untuk masuk markah,” kata beliau.
Hashim menambah, berkata pihaknya belum menjalankan kajian ke atas projek perintis itu tetapi pihaknya telah menerima maklum balas awal daripada guru-guru membantah langkah itu.
“Tanda-tanda awal ini menunjukan projek ini tidak akan berjaya, jadi batalkan sahaja projek perintis... buang masa kalau kita buat kajian ini,” kata beliau yang turut berharap Jabatan Perkhidmatan Awam akan meneliti perkara ini khususnya dari sudut kemudahan dan keselesaan tempat kerja.
“Kalau kita hendak duduk di pejabat selama sembilan jam sehari, kita kena ada kemudahan yang selesa. Kakitangan di agensi lain ada meja, persekitaran yang selesa, tetapi di kebanyakan sekolah tidak, ini kena diperbaiki dulu... tak perlu buat kajian lagi,” tambah Hashim.
- Yahoo Malaysia

Liyana Jasmay Simpan Hasrat Kerjasama Komposer Indonesia Album Ke-2


15 Nov - Selepas lagu nyanyiannya "Aku Tak Percaya Cinta" mendapat sambutan ramai, aktres "Histeria" Liyana Jasmay menyimpan hasrat untuk bekerjasama dengan komposer dari Indonesia bagi menampilkan kelainan untuk album keduanya yang kini dalam perancangan.
"Untuk album kedua, saya merancang untuk mendapatkan lagu daripada komposer dari Indonesia dan merakamkannya di sana. Ini tidak bermaksud di Malaysia tidak bagus, sebaliknya saya ingin mencari kelainan," ujar Liyana atau lebih mesra disapa Nana ketika ditemui di e@Curve, Mutiara Damansara baru-baru ini.
Ditanya jika ada pilihan komposer yang bermain di fikirannya, gadis kelahiran Kuantan ini memberitahu masih belum ada tetapi teringin untuk bertemu dan bekerjasama dengan Rian Ekky Pradipta daripada d'Masiv dan juga Ari Lasso.
"Saya memilih Rian kerana dia sorang yang berbakat dan lagu-lagu yang dihasilkannya sangat menarik. Rian cukup terkenal di Indonesia tetapi kurang dikenali di Malaysia. Manakala saya suka mendengar karya Ari Lasso yang pernah dihasilkan untuk Bunga Citra Lestari," tambah Liyana lagi.
Dalam perkembangan lain, Liyana kini sudah bergelar penerbit dan mempunyai syarikat penerbitan sendiri yang dikenali sebagai Mermaid Studio. Bekas kekasih penyanyi Aizat ini menyatakan rasa tidak sabar untuk menanti telefilem pertamanya, "Tudung Tweet" yang akan ditayangkan pada 16 November akan datang pada jam 8.30 malam di TV9.
Selain itu, Liyana juga akan membuat penampilan khas dengan filem bercorak misteri arahan Afdlin Shauki berjudul "Misteri Jalan Lama" yang akan menemui penonton pada 24 November 2011.
- Yahoo Malaysia

KRU Studios Umum Kerjasama Dengan Technicolor Asia


15 Nov – Baru-baru ini KRU Studios mengumumkan kolaborasi bersama Technicolor Asia, sebuah syarikat terkenal dalam perkhidmatan penghasilan filem secara digital dan analog untuk filem-filem terbarunya bagi pasaran tempatan dan juga antarabangsa.
Tidak menyangka bahawa Technicolor akan memberi peluang kepada syarikat penerbitan dari Malaysia dek kerana kerjasama mereka selama ini banyak terjalin dengan produksi Hollywood, Presiden KRU Studios, Norman Abdul Halim gembira kerana hasrat untuk menggunakan khidmat mereka akhirnya tercapai.
"Pelan perancangan kami untuk bekerjasama adalah selama tiga tahun. Oleh itu kesemua filem kami nanti akan mendapat sentuhan akhir daripada mereka. Kami menyasarkan KRU Studios akan menghasilkan 50 buah filem sepanjang tempoh tersebut.
"Antara khidmat Technicolor meliputi perkhidmatan makmal digital, mastering bunyi Dolby 5.1, cetakan filem 35 mm, mastering untuk pawagam digital serta beberapa buah filem 3D stereoskopik terpilih", jelas Norman.
Norman turut akui keinginan untuk mendapatkan khidmat Technicolor berikutan tidak puas hati dengan hasil filem terbitan KRU sebelum ini yang menggunakan teknik penjanaan imej berkomputer (CGI) seperti "Magika" dan "Hikayat Merong Mahawangsa".
Menerusi 50 buah filem yang disasarkan itu, KRU Studios bakal menerbitkan beberapa buah filem bertaraf antarabangsa, salah satunya adalah "Vikingdom" yang sedang dalam proses penggambaran.
Projek pertama KRU Studios bersama Technicolor adalah filem "Cinta Kura-Kura" diikuti dengan "29 Februari", "Vikingdom" dan "Ribbit".
- Yahoo Malaysia

Perkasa Denies Seeking Ban on Christian Teachers


Malays rights NGO Perkasa has denied that it issued a call for Christian teachers to be barred from teaching in public schools.

Asserting this today, Ibrahim Ali accused unnamed quarters of creating stories and spreading them on Perkasa’s behalf without the authority to do so.
"I am Perkasa president. We never made this proposal, as was stressed in the policy speech in our recent AGM, we stand for racial harmony,” Ibrahim (Independent-Pasir Mas) told the Dewan Rakyat in Parliament this morning.
"I believe that this is an evil and irresponsible question made by those anonymous persons who creates a lot of stories in the new media.
“Or it was made by individuals as his personal views and (who is) not authorised to issue official statements on Perkasa's behalf," he said in his intervention as Deputy Education Minister Wee Ka Siong answered a query by Wilfred Mojilip Bumburing (BN-Tuaran).
Bumburing, during question time, had asked for the ministry's stand on the purported call by Perkasa to exclude Christian teachers from serving in government schools.
Ibrahim also demanded to know which newspaper published the news and chided the ministry for not checking with the NGO first when it was asked the question.
During a demonstration organised by Perkasa in front of the National Mosque on Aug 19, several protesters had held up banners reading ‘ Haramkan guru Kristian di sekolah kebangsaan ’ (Ban Christian teachers from national schools) and ‘ Guru Kristian melampau. Halau dan jauhkan dia dari murid2 Melayu ’ (Christian teachers going too far. Keep them away from Malay pupils).
During the rally, Perkasa secretary-general Syed Hassan Syed Ali expressed regret over Malay leaders from various parties who were “starving” for Christian votes to the extent of “selling the dignity of Islam”.
Given permission by Dewan Rakyat speaker Pandikar Amin Mulia to respond, Bumburing said that he had no bad intentions in asking the question and had to do so as teachers are worried by the alleged Perkasa statement and had asked him to seek clarification.
“If there are errors in a newspaper report, usually there must be a correction or answers, but there has been none, so the (Christian) teachers are worried, so I as MP was asked to find out (from the ministry).”
Bumburing also expressed worry that statements such as those purported to be made by Perkasa, if not dealt the reprimand that he believe it deserve, can lead to such groups being bolder in making attacks against Malaysia’s racial harmony.
“We are the catalyst behind the Global Movement of Moderates, is this just our international face? Or are we going to ensure that we implement such (moderate) values in our country as well,” he said.
'Ministry does not discriminate'
In his answer to the BN parliamentarian’s initial question, Wee said that the ministry does not discriminate in its appointment of teachers.
“Our appointment of teachers is based on the needed options and available vacancies. We do not make any distinction based on the religious background or political affiliation of the teachers.”
Though understanding concerns of possible wrongdoings by teachers, he explained that there are existing guidelines governing public servants like teachers to ensure that they do not engage in activities that may provoke sensitivities, giving his assurances that the rules will be used to punish those who are guilty of such offences.
However, Wee added that the ministry respects the freedom of all individuals and NGOs to express their views and will listen to them, though being aware of religious sensitivities, the ministry will always vet such views and always stand by its existing set of procedures to ensure harmony is preserved.

- Yahoo Malaysia

Petronas Carigali Temui Minyak di Luar Pantai Sabah


KUALA LUMPUR 15 Nov. – Cabang eksplorasi dan pengeluaran Petronas, Petronas Carigali Sdn Bhd, telah menemui jumlah minyak yang signifikan di luar pantai Sabah.

Dalam satu kenyataan hari ini, Petronas berkata, penemuan itu dilakukan di telaga Wakid-1 di dalam Blok 2G-2J, kira-kira 100km di timur laut Kota Kinabalu.

Telaga itu digerudi pada 30 Mei, 2011 dan selesai pada 4 Julai, 2011.

Petronas berkata, ia mencapai ketinggian vertikal 3,330m dan mengesahkan kehadiran minyak yang signifikan dan kewujudan takungan gas.

"Tiga ujian pengeluaran dilaksanakan di tiga takungan berlainan yang mengalirkan minyak pada kadar maksimum disatukan 8,200 tong sehari.

"Anggaran awal semasa hidro karbon di kawasan itu dari penemuan itu ialah 227 juta tong bersamaan minyak (mmboe), dengan jangkaan potensi peningkatan,” kata Petronas. – Bernama

RM1.8j Untuk Pakej Program Pembangunan Media Sosial Kementerian Pelancongan


KUALA LUMPUR 15 Nov. – Pembangunan kandungan untuk promosi pelancongan di Facebook ialah sebahagian daripada pakej pembangunan media sosial bernilai RM1.8 juta yang dilaksanakan oleh Kementerian Pelancongan.

Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Dr James Dawos Mamit memberitahu Dewan Rakyat hari ini bahawa selain Facebook, peruntukan itu juga digunakan untuk membangunkan sebuah laman web pelancongan dalam usaha untuk menarik lebih ramai pelancong asing ke negara ini.

"Ini termasuk mengadakan pertandingan dan hadiah sebagai langkah promosi untuk mereka yang memasuki home page laman tersebut,” katanya semasa menggulung perbahasan peringkat jawatankuasa kementerian itu.

Katanya, pakej pembangunan media sosial itu juga adalah untuk tempoh dua tahun.

Dawos juga menjelaskan perbelanjaan RM1.8 juta itu adalah kecil berbanding dengan pendapatan RM56.5 bilion yang berjaya dijana daripada sektor tersebut tahun lepas. – Bernama

Penerbitan Akhbar Malay Mail Dihentikan Sementara



KUALA LUMPUR 15 Nov. – The Malay Mail hari ini mengumumkan ia akan menghentikan sementara penerbitan akhbar itu dan akan diterbitkan semula pada Januari tahun depan.

Edisi hari ini adalah yang terakhir sebagai akhbar tengah hari percuma dan pembaca perlu membayar RM1 untuk akhbar baru The Malay Mail pada tahun depan.

"Kami berpendapat ia adalah sumbangan kecil dan pembaca kami tidak keberatan untuk menyumbang kerana ia akan membantu akhbar ini untuk menyalurkan berita kepada pembaca yang lebih luas,” kata pengarang beritanya, Terence Fernandez dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu berkata, laman web baru akan dilancarkan serentak dengan akhbar berbayar baru itu pada Januari.
Untuk sementara waktu, pembaca boleh terus mendapatkan berita dari laman web The Malay Mail di www.mmail.com.my. – Bernama

Perbaharui Lesen Memandu Ikut Tarikh Lahir Mulai 21 Nov 2011


PUTRAJAYA 15 Nov. – Mulai Isnin depan (21 November), orang ramai boleh mula memperbaharui lesen memandu mereka mengikut tarikh lahir, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha.

Beliau berkata, melalui inisiatif itu, tarikh tamat tempoh lesen memandu adalah sama dengan tarikh lahir seseorang pemegang lesen.

"Inisiatif itu juga dibuat bagi memudahkan orang ramai mengingati tarikh memperbaharui lesen memandu selain mengurangkan kes pemegang lesen tidak aktif,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Cho Ha berkata, diharapkan selepas ini, tidak timbul lagi isu lupa untuk memperbaharui lesen memandu terutama apabila pemandu terbabit dalam kemalangan.

Berdasarkan rekod Jabatan Pengangkutan Jalan, terdapat 2.2 juta daripada 11.8 juta pemegang lesen tidak aktif atau tidak memperbaharui lesen memandu mereka. – Bernama