Jumaat, 1 Julai 2011

Rampasan 98 kereta mewah curi sindiket Black Water

RAMPAS...Mohd Bakri bersama sebahagian kenderaan mewah curi yang ditemui di gudang Kampung Black Water, Klang.
RAMPAS...Mohd Bakri bersama sebahagian kenderaan mewah curi yang ditemui di gudang Kampung Black Water, Klang.
pix_topright

KLANG: Tindakan licik kumpulan curi kereta mewah yang didalangi sindiket Black Water mengisytiharkan barangan dalam kontena berisi kereta curi sebagai perabot akhirnya tumpas apabila polis merampas 98 kenderaan mewah bernilai kira-kira RM8 juta di sebuah gudang, di Kampung Black Water, di sini, kelmarin.

Dalam serbuan kira-kira jam 4 petang itu, empat lelaki berusia antara 20 hingga 40 tahun turut ditahan ketika sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Curi Kenderaan (D4) menyerbu gudang di Jalan Black Water off Jalan Klang-Banting, itu.


Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata, serbuan itu yang terbesar bagi tempoh dua tahun berhubung kes curi kenderaan mewah.

“Serbuan dilakukan polis Bukit Aman dengan kerjasama polis Selangor selepas kami menjalankan risikan selama tiga minggu di gudang terletak di Kampung Black Water apabila mendapat maklumat awam.


“Pemeriksaan lanjut di gudang itu menemui 98 kenderaan pelbagai model jenama Toyota dan Honda termasuk yang sudah disimpan di dalam kontena,” katanya pada sidang akhbar, di lokasi serbuan di sini, semalam.


Hadir sama, Timbalan Pengarah Risikan/Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Hadi Ho Abdullah; Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah dan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop.

Mohd Bakri berkata, kenderaan model Toyota ialah Hilux 22 buah; Rush (enam) dan sebuah Fortuner, manakala model Honda pula City 59 buah; CRV (tujuh); Civic (dua) dan sebuah model Accord.


Menurutnya, hasil soal siasat terhadap empat suspek warga tempatan mendapati dua daripada suspek berkenaan mempunyai rekod jenayah dan sindiket bergerak aktif di seluruh negara terutama di Lembah Klang sejak Jun tahun lalu.

Polis turut memecahkan kunci untuk membuka lima kontena berisi 24 kenderaan mewah yang siap untuk dihantar ke Pelabuhan Klang sebelum di seludup keluar.


Sesebuah kontena itu boleh memuatkan empat atau lima kenderaan dengan tayarnya ditanggalkan terlebih dulu dan diisi dalam but kenderaan.


Mohd Bakri berkata, berikutan penemuan itu, polis percaya dapat menyelesaikan 98 kes curi kereta di sekitar Lembah Klang.


“Sindiket dipercayai mempunyai rangkaian besar mempunyai peranan masing-masing seperti ‘jokey’ atau pencuri, penyimpan, penghantar serta pengedar.


“Siasatan lanjut bersama polis bantuan Pelabuhan Klang turut mendapati sindiket sudah membuat penghantaran ke luar negara sekurang-kurangnya 456 kenderaan curi bernilai kira-kira RM49 juta menggunakan 114 kontena melalui pelabuhan itu dan mengisytihar di borang Kastam (K2) bahawa barangan dalam kontena itu sebagai perabot.


“Kenderaan curi dihantar ke Hong Kong, Thailand, Dubai dan Cyprus. Siasatan mendapati penghantaran terakhir dibuat pada 24 Jun lalu ke Cyprus menerusi Israel membabitkan 25 kereta Honda City,” katanya.


Beliau turut menyatakan ketua sindiket berkenaan sudah dikenal pasti, namun enggan mengulas lanjut kerana masih dalam siasatan.

- hMetro

Co-op Festival 2011 at Bintulu Esplanade

Domestic Trade, Cooperatives and Consumerism Ministry is currently organizing Co-Op Festival at Bintulu Esplanade.

The festival aims at helping local co-operatives community to market their products and services to a wider market.

It will be officially launched tomorrow by Datuk Rohani Abdul Karim beginning 8am.

The festival start today till Sunday July 3.






- Bintulu.Org

Tiada bangunan sendiri, Sekolah Seni Kuching boleh terjejas


Warga Sekolah Seni Kuching bergambar kenangan.

KUCHING 30 Jun - Sejak dibuka empat tahun lalu, Sekolah Seni Kuching (SSK) di sini masih belum mempunyai bangunan sendiri meskipun projek pembinaannya telah diluluskan dan sudah bermula pada 2009.

Pengetua SSK, Dr. Sluhi Lamat(gambar) memberitahu, projek pembinaan yang terletak di Jalan Santubong itu terlalu perlahan perkembangannya kerana setelah dua tahun bermula, hanya kawasan tapak yang diratakan.

"Perkara ini pernah mendapat perhatian kerajaan negeri apabila Menteri di Pejabat Ketua Menteri, Datin Fatimah Abdullah baru-baru ini menyuarakan kebimbangan beliau kerana bangunan baru SSK sepatutnya siap tahun depan.

"Tambahan pula, ketiadaan infrastruktur dan bangunan sendiri menyebabkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran di sekolah ini terjejas, sedangkan bilangan pelajar semakin bertambah," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Beroperasi sejak Januari 2007, SSK yang kini memiliki 317 pelajar dan 81 kakitangan masih menumpang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Abang Haji Openg di Jalan Demak.

Mengulas lanjut, Sluhi berkata, proses pengajaran dan pembelajaran SSK tidak seperti sekolah biasa kerana selain memerlukan kawasan yang luas dan tenaga pengajar pakar, ia juga perlu dilengkapi dengan kemudahan khas.

"Kita memerlukan kelengkapan yang lebih lengkap seperti studio bagi memenuhi keperluan subjek seni yang ditawarkan sedangkan bangunan yang kita tumpang sekarang tidak mempunyai prasarana tersebut," katanya.

- Utusan

Siapa bakal Ratu Pelancongan Benak 2011?



SERAMAI sepuluh orang peserta akan berentap dalam Pertandingan Akhir Ratu Pelancongan Benak 2011 bersempena dengan Pesta Benak Sri Aman 2011 anjuran Pejabat Residen Bahagian Sri Aman yang akan berlangsung di Pentas Kebudayaan pada malam 2 Julai ini.

Senarai sepuluh orang peserta akhir pertandingan berkenaan adalah terdiri daripada Lydia Desmond Bangga (Sri Aman), Sharonica Dilu (Simunjan),

Bellynie Johnek (Sri Aman), Dayang Noor Ruzaliny binti Awang Jamain (Sri Aman), Jacqualyn Jubin (Sibu), Shazmin Naziela binti Mohd Zufairi (Sarikei), Maloney Patrick Teli (Bintulu), Helina Sarina Saba (Bintulu), Alisha Josephine Karim (Bintulu) dan Florina Declan (Bintulu).

Pegawai Tadbir Sarawak di Pejabat Daerah Sri Aman, Douglas Amut ketika ditemui berkata, pertandingan membabitkan penyertaan terbuka kepada gadis-gadis di seluruh negeri Sarawak itu adalah yang pertama diadakan kali ini.

Katanya, sebelum ini pihaknya menghadkan penyertaan kepada penduduk di Sri Aman sahaja tetapi pada pengajuran Pesta Benak pada tahun ini, pihak telah membuka penyertaan untuk Pertandingan Ratu Pelancongan Benak ini kepada semua gadis-gadis di seluruh negeri Sarawak.

Tambahnya lagi, pihaknya telah pun mengadakan pemilihan peserta ratu ini bagi Zon Utara yang melibatkan kawasan Bintulu pada 25 Jun lepas bertempat di Hotel Li Hua Bintulu manakala sesi pemilihan bagi Zon Tengah telah diadakan pada 26 Jun lepas bertempat di Dragon Inn Sarikei dan pemilihan untuk Zon Selatan telah diadakan di Rumah Sri Aman pada malam kelmarin.

“Hasil daripada sesi pemilihan dari tiga zon tersebut, pihak hakim dan juga pihak juri telah memilih seramai 10 orang peserta terbaik yang akan berentap menerusi Pertandingan Akhir Miss Tourism Benak 2011 yang akan diadakan pada malam 2 Julai ini bertempat di Pentas Kebudayaan, Pesta Benak 2011,” ujarnya ketika ditemui Utusan Borneodekat sini.

Sementara itu katanya, hadiah menarik yang ditawarkan kepada johan pertandingan ialah wang tunai RM1,200, trofi , jambangan bunga dan baucar penginapan dua hari satu malam untuk dua orang di Damai Beach Resort.

Manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing akan menerima wang tunai RM1,000 dan RM800 serta trofi dan bunga.

Jelasnya lagi, pada tahun ini, pihak penganjur turut memperkenalkan dua kategori barun iaitu Miss Fotogenik Benak 2011 dan Miss Talented Benak 2011 yang masing-masing menawarkan hadiah wang tunai RM500, trofi , jambangan bunga serta baucar penginapan dua hari satu malam di Damai Beach Resort.

Selain itu, katanya, pemenang sagu hati untuk semua fi nalis akan membawa pulang hadiah wang tunai RM200, trofi dan sijil penyertaan.

Pertandingan ini bertujuan untuk memilih duta atau jurucakap bagi mempromosikan keunikan Pesta Benak kepada pelancong asing dan tempatan.

- UB

Najib umum peruntukan RM5.8 juta bagi projek jalan raya, rumah panjang


NAJIB Tun Razak diiringi Musa Aman bersama suku kaum Murut yang berpakaian tradisi pada Program Juara Rakyat 1Malaysia di Kemabong, Tenom, Sabah, semalam. - UTUSAN/Ghazali Basri


TENOM 30 Jun - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan kelulusan peruntukan sebanyak RM2.8 juta bagi menaik taraf jalan raya di Kemabong dekat sini dan pembinaan rumah panjang suku kaum Murut bernilai RM3 juta bagi menempatkan kraf tangan kaum itu.

Menurut Perdana Menteri, dua projek tersebut yang akan dilaksanakan menerusi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sangat penting dalam memberi keselesaan kepada penduduk setempat, selain memelihara khazanah kaum Murut.

Katanya, kelulusan segera itu dibuat selaras dengan iltizam kerajaan bagi memastikan pembangunan seimbang dapat dilakukan di Sabah seperti yang dikecapi oleh penduduk di Semenanjung.

"Kerajaan tidak pernah melupakan keperluan dan keselesaan masyarakat di desa, malah ia selaras dengan usaha kerajaan memastikan pembangunan seimbang dapat dilaksanakan di negara ini," katanya ketika berucap pada Program Juara Rakyat 1Malaysia di Kemabong di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman; dua Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan Datuk Seri Yahya Hussin; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong, Datuk Rubin Balang.

Pada majlis tersebut, Najib turut berkesempatan bersarapan, minum kopi Tenom bersama pemimpin masyarakat dan orang ramai, selain meninjau pertandingan rumah tradisional kaum Murut.

Mengulas lanjut, Najib berkata, dalam tempoh satu setengah tahun pelaksanaan Pelan Transformasi Kerajaan (GTP), rekod pembangunan kawasan luar bandar bagi menaik taraf jalan raya, penyediaan kemudahan bekalan air bersih dan elektrik serta pembinaan rumah kos rendah adalah yang tertinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya.

- Utusan

Justin Timberlake beli laman MySpace

LAMAN rangkaian sosial MySpace.


LOS ANGELES – Penyanyi pop, Justin Timberlake merupakan sebahagian daripada pemilik laman rangkaian sosial MySpace selepas dia bekerjasama dengan syarikat Specific Media untuk membeli laman itu pada harga AS$35 juta (RM105.65 juta) daripada syarikat News Corp milik bilionair Rupert Murdoch, lapor sebuah akhbar semalam.

Sebagai persediaan untuk menerajui MySpace, Timberlake membina sebuah ibu pejabat di sini selain mengambil enam orang pekerja.

“Semasa kami menemui Justin dan ketika kami berbincang mengenai strategi kami, satu persetujuan telah dicapai dengannya,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Specific Media, Tim Vanderhook.

“Salah satu daripada keghairahannya ialah dia seronok membantu artis lain dan mencipta satu komuniti untuk orang ramai menyuarakan perasaan mereka,” jelasnya.

MySpace pernah digelar sebagai raja laman jaringan sosial tetapi kewujudannya ditenggelamkan oleh Facebook dan Twitter sekali gus membawa kepada kemerosotan pengguna.

Facebook kini dilaporkan bernilai AS$70 bilion (RM212.3 bilion) manakala ketua pegawai eksekutifnya, Mark Zuckerberg, 27, dilaporkan memiliki kekayaan berjumlah AS$18 bilion (RM54.5 bilion)

Timberlake juga berlakon dalam filem The Social Network yang mengisahkan kehidupan Zuckerberg di Universiti Harvard.

Dalam filem itu, Timberlake memegang watak sebagai presiden pertama Facebook, Sean Parker yang juga pengasas laman stor muzik dan penjual syarikat, Napster. – Agensi

Tunang nikah lain

TAK JADI...Mimi menunjukkan sebahagian barang hantaran perkahwinan yang  disediakannya.
TAK JADI...Mimi menunjukkan sebahagian barang hantaran perkahwinan yang disediakannya.

KUALA LUMPUR: Barang hantaran dan kad undangan sudah disiapkan, namun remuk hati seorang wanita apabila tunang kesayangannya tanpa diduga berkahwin dengan orang lain pada tarikh yang ditetapkan untuk majlis perkahwinan mereka.

“Tarikh 4 Jun 2011 sepatutnya dia bersanding dengan saya tetapi luluh hati saya apabila pada hari itu bekas tunang saya diijab kabul dengan wanita lain,” kata wanita itu yang mahu dikenali sebagai Mimi, 25.


Mimi berkata, dia tidak menyangka pengorbanan selama enam tahun berkenalan dengan lelaki itu yang dinamakannya, Z sebelum mengikat tali pertunangan pada 6 April 2007 berakhir dengan titik hitam dalam hidupnya.

“Hanya Tuhan yang tahu bagaimana perasaan saya kerana segala persiapan untuk perkahwinan disiapkan keluarga saya dan hanya menunggu tarikh majlis kenduri diadakan.


“Tergamak dia menconteng arang di muka saya dan keluarga, sedangkan saya dan keluarga melayan dia dengan baik sepanjang perhubungan kami,” kata anak ketujuh daripada lapan beradik yang bekerja sebagai jurujual itu.

- hMetro

Malaysia menang tipis 2-1 ke atas Taiwan Kelayakan Piala Dunia 2014 (Pusingan 1)


KUALA LUMPUR: Skuad bola sepak Malaysia menundukkan Taiwan 2-1 pada perlawanan pertama pusingan kelayakan Piala Dunia 2014 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Gol pertama diperoleh Safiq Rahim pada minit ke-28.

Masuk separuh kedua, pemain negara meningkatkan bahagian serang dan berjaya memperoleh gol kedua menerusi Mohd Aidil Zafuan Abd Razak pada minit ke-54.

Namun Taiwan memperoleh gol tunggalnya melalui pemain gantian Cheng Po Liang pada minit ke-76.

Pejabat Facebook tidak mewah disangkakan


MENLO PARK, California - Ibu pejabat baru Facebook di , Amerika Syarikat (AS) tidak mempunyai ciri-ciri kemewahan walaupun ia merupakan antara laman web paling kaya di dunia, lapor sebuah akhbar semalam.

Tiada permaidani dan hiasan dalaman yang mewah dalam pejabat tersebut.

Terdapat banyak paip terdedah yang dibaluti kertas kerajang perak dengan wayar bergantungan dalam bangunan ibu pejabat berkenaan.

Gambar-gambar ruang dalaman ibu pejabat baru Facebook yang dibina di kawasan seluas 23 hektar di sini disiarkan dalam laman web berkenaan awal bulan ini.

Para pengunjung mungkin terkejut kerana kedatangan mereka disambut dengan siling terbuka dan lantai konkrit tanpa karpet atau sofa mewah.

Ruang dalaman itu yang lebih menyerupai kilang banyak menggunakan kotak kayu yang diubah suai sebagai meja manakala susun atur tempat duduknya pelik kerana ada yang menghadap dinding.

Walaupun bangunan berkenaan mempunyai kapasiti untuk menempatkan 9,000 pekerja, Facebook kini mempunyai sekitar 2,000 kakitangan yang bekerja di premis barunya itu.

Laman Facebook yang bernilai AS$70 bilion (RM212.3 bilion) diramalkan memperoleh pendapatan sekitar AS$2 bilion (RM6 bilion) pada tahun ini.

Berdasarkan maklumat majalah Forbes, Ketua Pegawai Eksekutif Facebook, Marck Zuckerberg merupakan orang ketiga paling kaya di dunia dalam sektor teknologi maklumat.

Zuckerberg yang berusia 27 tahun dilaporkan memiliki kekayaan sehingga mencecah AS$18 bilion (RM54.5 bilion).

- Agensi