PARIT 1 Mac - Sebanyak 15 buah sekolah disenarai pendek daripada 103 penyertaan bagi merebut Anugerah Agro Remaja @Sekolah yang dijangka berlangsung April depan.
Pengarah Institut Skill-Tech (Skill-Tech), Sharimah Hussain berkata, pertandingan yang dibuka penyertaannya sejak Oktober lalu itu mendapat sambutan menggalakkan dan pihaknya menerima banyak pencalonan dari sekolah di seluruh negara.
Namun menurutnya, sebahagian besar penyertaan terpaksa ditolak kerana peserta gagal mematuhi syarat seperti menyediakan kertas kerja dan pembentangan secara berkomputer.
"Penyertaan untuk kategori landskap dan tanaman mendapat sambutan menggalakkan berbanding dua kategori lain iaitu pemprosesan makanan dan ternakan.
"Saya yakin sekiranya diberikan lebih masa, masih banyak lagi sekolah yang berminat menghantar penyertaan mereka," katanya.
Beliau ditemui selepas sesi penghakiman untuk kategori pemprosesan makanan di Sekolah Menengah Dato' Abdul Rahman Yaakob, Bota di sini hari ini.
Anugerah yang julung kali dianjurkan itu ditaja oleh akhbar Utusan Malaysia dan Skill-Tech.
"Objektif utama penganjuran anugerah ini adalah untuk memupuk minat generasi muda terutama pelajar dalam bidang pertanian, selain menggalakkan mereka menjadikan bidang itu sebagai satu cabang kerjaya.
"Melalui program ini juga, kita menggalakkan generasi muda untuk menghasilkan tanaman dan produk makanan sendiri bagi mencari jalan mengurangkan pergantungan kepada import makanan luar," katanya.
Anugerah Agro Remaja @Sekolah menyediakan empat kategori iaitu landskap, pemprosesan makanan, ternakan atau perikanan dan tanaman dengan tempat pertama setiap kategori menerima wang tunai RM2,000.
Tempat kedua menerima RM1,500 dan tempat ketiga sebanyak RM1,000 manakala wang tunai berjumlah RM10,000 serta piala iringan diberi kepada pemenang keseluruhan anugerah tersebut.-Utusan








