Isnin, 10 Januari 2011

Pengantin kena histeria

RAWAT...Mohd Zamri (hadapan)  merawat pengantin perempuan (tengah) yang disampuk sewaktu mengadakan sesi bergambar dalam majlis perkahwinan yang diadakan Jumaat lalu.
RAWAT...Mohd Zamri (hadapan) merawat pengantin perempuan (tengah) yang disampuk sewaktu mengadakan sesi bergambar dalam majlis perkahwinan yang diadakan Jumaat lalu.

MASJID TANAH: Orang ramai yang menyaksikan sesi bergambar pada majlis perkahwinan dua beradik perempuan di sebuah kampung dekat sini, gempar apabila seorang daripada pengantin berkenaan tiba-tiba rebah sebelum diserang histeria.

Kejadian berlaku kira-kira jam 12 tengah hari Jumaat lalu, di pekarangan rumah pasangan pengantin terbabit apabila si kakak berusia 25 tahun terjatuh ketika saudara-mara dan orang ramai menyaksikan majlis yang diadakan sehari sebelum persandingan sebenar.

Saksi kejadian, Abdul Rahman Murad, 37, berkata, sebelum kejadian dia melihat pengantin perempuan berkenaan berkelakuan aneh apabila menangis dan kemudian tersenyum sebelum rebah ke belakang ketika sesi bergambar sedang berlangsung di bawah khemah pengantin.

Menurutnya, ketika itu barulah dia menyedari punca tingkah laku pelik pengantin perempuan berkenaan kerana berulang kali menangis dan tersenyum tanpa sebab, sekali gus menyebabkan orang ramai yang menyaksikan keadaan itu kehairanan.


“Kira-kira 10 minit kemudian, saya lihat dia rebah ke lantai tanpa sempat disambut pengapit pengantin dalam keadaan mata terbeliak dan memandang tajam ke atas menjadikan suasana bertukar kelam-kabut.


“Pengantin itu dipapah masuk ke rumah oleh orang ramai untuk ditenangkan, namun tiba-tiba berlaku keanehan apabila dia menjerit sekuat hati sehingga boleh didengar di dapur sebelum mengilai panjang.

“Dia (pengantin perempuan) meronta untuk cuba melepaskan diri menyebabkan lima lelaki berada di belakang dapur dikerah membantu menghalangnya,” katanya.

Bagi mengelak keadaan lebih buruk, katanya, dia memanggil pengamal perubatan Islam dengan kebenaran keluarga pengantin berkenaan bagi membantu meredakan masalah dihadapi pengantin perempuan bekerja di kilang di Selangor.

Sementara itu, pengamal perubatan Islam, Mohd Zamri Bashir berkata, apabila tiba di rumah pengantin berkenaan kira-kira 20 minit kemudian, dia melihat perubahan pada wanita itu kerana tiba-tiba bangun, namun rebah semula sebelum pengsan.

Menurutnya, dia segera mengubati pengantin perempuan berkenaan dan mendakwa kemungkinan ada pihak tidak puas hati dengan mangsa lalu cuba mengganggu hari bahagianya.

“Pengantin itu dipercayai menjadi mangsa niat jahat seseorang yang sukakannya sebelum ini. Difahamkan wanita itu dulu pernah menolak pinangan orang.

“Selepas mengubatinya selama 45 minit, dia sedar daripada pengsan dan dipulihkan untuk meneruskan majlis persandingan,” katanya.

Bapa pengantin perempuan yang hanya dikenali sebagai Abd Kahar, 68, berkata, dia tidak menyangka kejadian itu berlaku terhadap anak perempuannya ketika sesi bergambar sambil disaksikan saudara-mara dan penduduk kampung.

Menurutnya, sebelum kejadian, anaknya sihat dan seperti biasa, bergurau dengan adiknya berusia 21 tahun yang turut sama bersanding pada hari itu.

“Saya pun tidak pasti sama ada ini perbuatan khianat kerana kami tiada bukti dan tidak mahu menuduh sesiapa. Namun, sebelum ini memang ada seorang pemuda berkenan dengan anak saya tetapi anak saya itu dirisik terlebih dahulu oleh suaminya sekarang,” katanya.

Ana Rafali, Tolong Ingatkan Aku, Juara AJL25

Ana Rafali unggul

MENANG...Ana Rafali selepas muncul juara AJL25, malam tadi. Di kanan, Ahmad Izham.
MENANG...Ana Rafali selepas muncul juara AJL25, malam tadi. Di kanan, Ahmad Izham.

KUALA LUMPUR: Lagu Tolong Ingatkan Aku nyanyian Ana Rafali berjaya mengungguli gelaran juara dalam Anugerah Juara Lagu ke-25 (AJL25) di Stadium Putra Bukit Jalil, di sini, malam tadi.

Menerusi kemenangan itu juga, lagu ciptaan dan lirik oleh Ana sendiri berjaya membawa pulang hadiah wang tunai keseluruhan sebanyak RM35,000 berserta trofi.

Tempat kedua pula dimenangi lagu Drama King dendangan Black dan Meet Uncle Hussain yang berjaya meraih kemenangan dan membawa pulang wang tunai RM15,000 serta trofi.

Tempat ketiga pula dimenangi lagu Noktah Cinta ciptaan Ajai dan lirik oleh Sheikh Kalam. Lagu dendangan Hafiz itu memenangi wang tunai RM12,000 dan trofi.


Lagu sama membawa tuah kepada Hafiz apabila memenangi kategori Vokal Terbaik dan membawa pulang wang tunai RM10,000 dan trofi.


Sementara itu, Faizal Tahir menang kategori Persembahan Terbaik menerusi lagu Hanyut dan meraih hadiah wang tunai berjumlah RM10,000 dan trofi.

Antara lagu lain yang bertanding pada AJL25 kali ini ialah Selamat Malam nyanyian Faizal Tahir, Black (Sofea Jane), A.P.I (Pelita), Yuna (Cinta Sempurna), Hujan (Mencari Konklusi), Bunkface (Extravaganza), Tomok (Berlari), Shahir (Kebahagiaan Dalam Perpisahan), Adira (Ku Ada Kamu), Stacy (Jahat).

Barisan juri profesional untuk AJL25 daripada pelbagai latar belakang dalam bidang muzik yang terdiri daripada Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad (MPB), Ahmad Izham Omar, M Nasir sebagai Ketua Juri; Habsah Hassan; Hasridz Murshim Hashim (Acis); Mohd Azhar Abu Bakar (Azmeer); Suhaimi Abdul Rahman (Amy Search); Syed Ahmad Faizal Syed Fadzil Al-Attas (Pacai) dan Andy Flop Poppy.

Acara gilang-gemilang ini sekali lagi menggandingkan tiga pengacara hebat iaitu Faizal Ismail, Cheryl Samad dan Ally Iskandar untuk memeriahkan suasana.

Selain menyaksikan finalis yang bertanding, AJL25 turut diserikan dengan persembahan pembukaan oleh Francesca Peters menerusi lagu Sekadar Di Pinggiran, Nash (Pada Syurga Di Wajahmu), M Nasir (Tanya Sama Hud Hud) dan interlude istimewa membabitkan Datuk Sharifah Aini yang mendendangkan lagu pop, Ziana Zain (balada) dan Datuk Siti Nurhaliza (Etnik Kreatif).

AJL25 yang disiarkan secara langsung di TV3 dan Hot FM sebagai stesen radio rasmi.

Hadiah kepada pemenang disampaikan Ahmad Izham Omar.

Buang ibu demi kekasih asing

Buang ibu demi kekasih asing
TERGURIS...Ani menunjukkan SMS yang dihantar anaknya.
TERGURIS...Ani menunjukkan SMS yang dihantar anaknya.

KUALA LUMPUR: “Selama membesarkan dia, saya tak pernah terfikir yang dia tergamak membuang ibu sendiri,” rintih seorang ibu yang kini hidup merempat sejak enam bulan lalu selepas ‘dibuang’ anak perempuan tunggalnya akibat penangan cinta lelaki Iran.

Ibu itu yang hanya mahu dikenali sebagai Ani, 47, kini menumpang berteduh di rumah rakan dan berpindah-randah dari satu kediaman ke kediaman lain di Seremban, Negeri Sembilan serta Selayang di sini, dengan hanya membawa lima helai pakaian.

“Saya tidak menumpang lama di rumah orang dan berpindah-randah dari rumah rakan ke rumah rakan lain selepas tinggal dua atau tiga hari. Saya tidak ada sesiapa dalam hidup ini. Selepas suami meninggal dunia pada 2008, hanya anak perempuan tunggal itu yang menjadi tempat saya bergantung.

“Namun, perkenalannya dengan seorang lelaki Iran menerusi Internet mengubah hidup saya. Saya dihambat lelaki itu keluar dari rumah manakala anak pula langsung tidak peduli, malah ‘menghiris’ hati saya apabila sanggup meminta saya pergi jauh daripada hidupnya,” katanya yang ditemui, semalam.


Menurutnya, sebelum ini keluarganya hidup bahagia, malah perkahwinan anak perempuannya dengan seorang lelaki tempatan menghadiahkannya seorang cucu lelaki.


“Saya tidak bekerja, tetapi mujur arwah suami meninggalkan sedikit wang dan sebuah kereta kepada saya.

“Begitu juga dengan anak perempuan saya, dia berkahwin dan mempunyai kerja yang baik dengan gaji antara RM7,000 hingga RM8,000 sebulan. Dia juga membeli sebuah apartmen di Subang Jaya dan meminta saya tinggal di situ selepas kematian suami saya,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, hidupnya musnah selepas anaknya jatuh cinta dengan seorang pelajar sebuah kolej swasta warga Iran berusia 25 tahun kira-kira dua tahun lalu.

“Demi pelajar kolej swasta itu, anak saya sanggup meninggalkan suami, berhenti kerja dan duduk serumah dengan lelaki itu.

“Dia berubah, nasihat saya dibalas dengan kata-kata kesat, malah kunci apartmen miliknya yang menjadi tempat tinggal saya ditukar apabila saya keluar ke rumah rakan selepas dimintanya atas alasan kawan kekasihnya yang datang dari Iran mahu menumpang sementara waktu,” katanya.

Ani berkata, ketika cuba bertanyakan mengapa kunci ditukar, lelaki Iran terbabit menghalaunya keluar dari apartmen itu di depan anaknya dengan alasan dia cuba mengganggu kehidupan mereka.

“Saya tidak ada sesiapa di dunia ini kecuali anak saya. Dia nyawa dan jiwa saya, tetapi semuanya musnah sekelip mata disebabkan orang asing.

“Kereta milik saya juga dilelong bulan lalu kerana bayaran ansuran tertunggak dan sejak Jun lalu, saya menumpang ihsan rakan, tetapi berapa lama boleh berteduh di rumah orang menyebabkan saya sering berpindah-randah selepas beberapa hari.

“Mungkin satu hari nanti, saya terpaksa tinggal di bawah jambatan kerana tidak memiliki apa pun, sudahlah tiada harta, anak kesayangan pula membuang saya,” katanya.

‘Bar raba’ tumpuan warga tua tak serik diserbu

SEREMBAN 10 Jan. - Ini bukan kali pertama sebuah bar di Jalan Utam Singh di sini diserbu pihak berkuasa, malah sebelum ini sudah tiga kali tindakan diambil ke atas pengusahanya.

Namun, bar yang mendapat jolokan ‘bar raba’ di kalangan pengunjung itu semakin padat bermula pukul 8.30 malam dengan kehadiran pelanggan tua yang rata-ratanya berusia antara 45 hingga 74 tahun dan lebih layak digelar ‘warga senja’.

Lebih mengaibkan, gadis pelayan pelanggannya (GRO) pula ada yang telah mencecah usia 48 tahun dan kebanyakannya berasal dari China.

Mereka semua datang ke bar itu untuk berseronok, sambil melakukan adegan ‘ringan-ringan’ dengan GRO selain meneguk minuman keras. - Utusan

Interlok gambaran realiti, bukan penghinaan

BESUT 10 Jan. — Kewujudan kasta yang digambarkan oleh Sasterawan Negara Abdullah Hussein dalam novelnya, Interlok bukan suatu bentuk penghinaan kepada mana-mana kaum malah merupakan realiti pada zaman berkenaan.

Penyandang Kursi Pengajian Bahasa Melayu, Malaysia-China di Foreign Studies University (BFSU) China Beijing Prof Awang Sariyan berkata golongan kasta itu dibawa oleh penjajah Inggeris untuk manipulasi ekonomi mereka.

Beliau berkata Sasterawan Negara itu ialah seorang penulis yang menghasilkan karya berdasarkan fakta dan realiti sosial pada zaman-zaman yang dilalui dan disaksikannya sendiri. - Bernama

Blackberry tidak akan diharamkan - Rais

KUALA LUMPUR 10 Jan. — Malaysia tidak bercadang untuk mengharamkan penjualan dan penggunaan telefon mudah alih pintar Blackberry setakat ini kerana ia tidak ada menimbulkan masalah kepada soal keselamatan negara.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) akan menyiasat sekiranya ada sesiapa yang mempunyai fakta tertentu mengenai penyalahgunaan kemudahan itu.

"Sekiranya ada (apa-apa masalah mengenai penggunaan telefon itu) saya ingin menerimanya dari masyarakat Malaysia sendiri. Justeru tidak wajar bagi kami membuat keputusan yang tergesa gesa,” katanya kepada pemberita selepas bertemu pengarah-pengarah Jabatan Kebudayaan di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan bahawa kerajaan Indonesia bercadang mengharamkan penggunaan Blackberry di negara berkenaan sekiranya aplikasi pornografi dan arahan untuk mewujudkan pelayan (server) di negara berkenaan tidak dipatuhi dalam tempoh dua minggu.

Rais berkata kajian sudah dibuat sebelum ini oleh SKMM dan mendapati bahawa Malaysia tidak menghadapi masalah seperti yang dihadapi di Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan India sebelum ini.

Negara-negara itu telah mengharamkan penggunaan dan penjualan Blackberry kerana dikatakan mengancam keselamatan negara mereka. - Bernama

Harga minuman kopi dan teh di Sibu naik mulai 15 Jan

SIBU: Harga secawan teh atau kopi di bandar Sibu, Kanowit, Selangau dan Machan akan dinaikkan antara 10 hingga 30 sen mulai 15 Januari ini, menurut Persatuan Pemilik Kedai Kopi dan Restoran Sibu semalam.

Persatuan tersebut, yang mempunyai 360 ahli dari empat kawasan itu, telah memutuskan untuk mengurangkan kenaikan harga dari 10 hingga 50 sen pada awal tahun ini kepada 10 hingga 30 sen.

Pengerusinya Tong Ink Kon berkata keputusan itu dibuat selepas perbincangan dengan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Sibu.

“Gula bukan semestinya ramuan utama tetapi kenaikan harga susu dan produk susu juga dipertimbangkan. Harga barangan itu telah naik dengan ketara sejak beberapa tahun lepas,” katanya kepada pemberita di sini.

Tong berkata persatuan itu tidak mengemaskini harga minuman itu sejak lima tahun lepas walaupun semua bahan ramuan untuk membuat kopi dan teh sentiasa naik.

“Juga faktor lain seperti sewa kedai, gaji, gas dan tarif elektrik telah naik dan ini meningkatkan kos operasi kami,” jelasnya. — Bernama

Harga bawang melambung


KENAIKAN MENDADAK: Sebuah pasar raya di pekan Lundu terpaksa menjual bawang kecil pada harga RM13.50 sekilogram berikutan kenaikan mendadak baru-baru ini.

LUNDU: Masalah kekurangan bekalan minyak masak serta kenaikan harga bawang merah secara mendadak semakin membimbangkan di kalangan peniaga dan pengguna di daerah ini.

Tinjauan Utusan Borneo di beberapa kedai runcit, pasar raya dan pasar basah di sekitar pekan ini semalam mendapati stok minyak masak tidak mencukupi manakala bawang kecil dijual pada harga yang amat tinggi.

Peniaga yang hanya ingin dikenali sebagai Ten berkata sepanjang tempoh 20 tahun dia berniaga di pekan ini, inilah pertama kali mereka berhadapan dengan masalah harga bawang yang melambung tinggi.

“Harga bawang merah kecil ini telah naik dari RM6 hingga RM9 sekilogram dan dalam tempoh kurang sebulan harga bawang ini terpaksa dinaikkan lagi kepada RM12 hingga RM13.50 sekilogram mengikut harga pasaran,” ujar beliau.

“Kenaikan ini bukan sahaja membimbangkan kami di kalangan peniaga dan lebih memburukkan ia telah membebankan golongan pengguna terutama penduduk kampung.

“Bagaimanapun kami di pihak peniaga terpaksa mengikut harga pasaran yang sedia ada dan berharap agar masalah ini akan segera selesai sebelum Tahun Baru Cina akan datang,” tambahnya lagi.

Turut berkongsi kegusaran mengenai perkara ini ialah pengusaha sebuah pasar raya yang menjadi tumpuan utama penduduk untuk membeli keperluan harian di pekan ini.

Jelas pengusaha berkenaan, mereka juga terpaksa menjual bawang merah itu pada harga RM13.50 sekilogram berikutan masalah bekalan yang menyebabkan kenaikan mendadak.

Katanya, jika dulu bawang merah ini hanya dijual pada harga RM6 sekilogram kini bebanan harga yang melambung tinggi bukan sahaja terpaksa ditanggung oleh pengguna malah turut menjejaskan kualiti perniagaan mereka.

“Kami juga tidak pasti apakah punca sebenar yang mendorong kepada kenaikan harga bawang kali ini tetapi menurut berita yang diwar-warkan ia disebabkan masalah yang berlaku di India.

“Peniaga di sini bukan sahaja terpaksa menanggung harga yang tinggi pada masa yang sama menanggung kerugian bawang yang tidak dapat dijual akibat kerosakan,” katanya.

Selain kenaikan harga bawang merah ini, peniaga dan pengguna di daerah ini turut menghadapi kesukaran mendapatkan bekalan minyak masak meskipun bahan itu tidak mengalami kenaikan harga.

Rata-rata peniaga berkata mereka terpaksa menunggu sebulan untuk mendapatkan stok minyak masak yang ditempah untuk dijual dan jika ada pun jumlah tempahan yang dihantar akan dikurangkan.

Vacancies at Piasau Slipways Sdn Bhd

Vacancies at Kim Loong Group of Companies

KTS Walk-In Interview

Shin Yang Walk-In Interview

Vacancies at Forescom Plywood Sdn Bhd

Kemena Industries Sdn Bhd Vacancy

Vacancies at Columbia Asia Hospital Bintulu

Vacancies at Columbia Asia Hospital Bintulu