Jumaat, 30 Disember 2011

Kempen 'Katakan Tidak Kepada Plastik', Pengguna Tidak Kisah RM0.20


MIRI: Kempen 'Katakan Tidak Kepada Plastik' yang dilancarkan Majlis Bandaraya Miri (MBM) berjaya mengutip RM30,041 sejak ia dilancar tahun lalu. 


Jumlah kutipan besar itu membuktikan pengguna tidak menghiraukan bayaran 20 sen dikenakan terhadap penggunaan plastik oleh pengusaha pasar raya atau pemilik premis perniagaan yang menyertai kempen berkenaan.



Datuk Bandar MBM, Lawrence Lai, berkata kutipan akan disumbangkan kepada pertubuhan sukarelawan yang memerlukan bantuan kewangan.

“Sebahagian kutipan berkenaan akan dimasukkan ke dalam Tabung Hijau MBM untuk melaksanakan projek mencantikkan bandar raya Miri,” katanya kepada Berita Harian. 

Beliau berkata, majlis itu akan memperluaskan kempen serupa tahun depan dan berharap ia mendapat sokongan daripada penduduk bandar raya Miri. 

Tahun depan, katanya, bukan saja plastik akan dikenakan caj 20 sen, malah plastik putih untuk membungkus makanan akan turut dikenakan caj serupa. 

“Langkah ini bertujuan mengurangkan penggunaan plastik yang dikenal pasti memberi kesan jangka panjang yang serius kepada alam sekitar,” katanya. 

Mengenai tempoh lanjutan operasi pusat hiburan di utara Sarawak, Lawrence berkata, pengusaha dibenarkan beroperasi sehingga jam 3.30 pagi sejak minggu lalu. 

Walaupun tempoh masa itu sudah dilanjutkan, mereka masih diwajibkan untuk mematuhi syarat yang ditetapkan. 

“Kebiasaan waktu perniagaan dibuka dari jam 12 tengah hari hingga 2.30 pagi. Sekarang kita lanjutkan tempoh masa berkenaan kepada 3.30 pagi. 

MBM berharap pengusaha pusat hiburan mematuhi peraturan itu,” katanya. 


- BH

1 comments:

bagi pendapat saya tindakan tersebut bukanlah dapat mengurangkan penggunaan beg plastik tetapi pihak tertentu sengaja mencari jalan untuk mendapatkan keuntungan dengan jalan mudah.. pengguna terpaksa membeli disebabkan kesukaran untuk membawa barang yg telah dibeli.. dan pembeli ini juga termasuk org miskin.. dan menganiaya org miskin sememangnya tidak patut berlaku di Malaysia.. dimanakah seruan 1 Malaysia yang dilaungkan oleh PM.. Rakyat didahulukan... PM prihatin terhadap rakyat.. tetapi, ada pihak bawahan yg sengaja mencari idea yg x sepatutnya dilaksanakan.. sekiranya majlis bandaraya tidak mahu plastik tersebut memberi kesan jangka panjang yang serius kepada alam sekitar, mengapa tidak mencadangkan kepada kerajaan untuk tidak memproses beg plastik sebaliknya memproses beg kertas sbgnya utk membungkus barang pengguna malaysia.. jgn mengambil jln mudah utk mengambil duit rakyat.. pada pendapat saya alasan tersebut tidak boleh diguna pakai..