Ahad, 4 Disember 2011

Rekabentuk Tak Menarik, 400 Unit Rumah Kos Rendah Gagal Dijual di Sarawak

KUCHING 2 Dis. - Kira-kira 400 unit rumah kos rendah yang dianggarkan bernilai RM40 juta di beberapa bahagian negeri ini gagal dijual dipercayai berpunca daripada reka bentuk yang kurang menarik.

Menteri Perumahan Sarawak, Datuk Seri Abang Johari Tun Openg berkata, lokasi yang telah dikenal pasti bermasalah ialah Limbang, Sri Aman dan Pusa di Betong.

Menurutnya, usia rumah yang gagal dijual itu kini mencecah 10 tahun.

''Justeru itu, kita sedang mencari dan mengkaji formula sesuai bagi melariskan jualan rumah di ketiga-tiga tempat ini.

''Namun kita masih mengenalpasti harga sesuai jika mahu melelong rumah tersebut," katanya pada sidang media selepas merasmikan Kilang IBS Globalgap Prefab Sdn. Bhd. di Santubong, dekat sini semalam.

Abang Johari memberitahu, ketika ini harga seunit rumah kos rendah di Sarawak adalah bernilai antara RM42,000 hingga RM47,000.

Kata beliau, kementeriannya menyasarkan untuk memperoleh sekurang-kurangnya setengah atau kira-kira RM20 juta daripada nilai jualan rumah kos rendah kelak.

''Memandangkan banyak rumah jenis itu di pasaran hari ini, maka kita akan memikirkan kesesuaian untuk membina rumah jenis itu pada masa hadapan.

''Kita tidak akan melakukan tawaran tergesa-gesa kerana kita masih mengkaji harga yang paling sesuai," ujarnya.

- Utusan

1 comments:

macam mana nak beli rumah semua nak buat loan dengan bank setakat gaji di sarawak RM 550.00 sebulan memang susah nak lulus.