Selasa, 22 November 2011

TK Setiausaha (Strategik) Kementerian Belia dan Sukan Mengaku Berkhalwat


GEORGE TOWN - Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Salim Parlan dan bekas pembantu peribadinya, Nur Diayana Norslan semalam mengaku bersalah kerana berkhalwat di sebuah hotel di Batu Feringghi di sini, April lalu.
Pengakuan itu dibuat Salim, 51, dan Nur Diayana, 30, di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah negeri, Nik Bukhari Hashimy Nik Yahaya sebaik sahaja pertuduhan dibacakan semula terhadap mereka.
Ketika dihadapkan ke mahkamah sama pada 19 April lalu, kedua-duanya mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.
Salim yang memakai kemeja putih dan berseluar hitam dilihat gelisah manakala Nur Diayana yang memakai jubah hijau menangis teresak-esak selepas membuat pengakuan tersebut di kandang tertuduh.
Nik Bukhari Hashimy bagaimanapun menetapkan 19 Disember depan untuk menjatuhkan hukuman terhadap mereka berdua yang tidak diwakili peguam.
Salim dan Nur Diayana yang bukan mahram didakwa berada bersama-sama dalam keadaan yang menimbulkan syak kira-kira pukul 5 pagi pada 16 April lalu di bilik bernombor 224 sebuah hotel di Batu Feringghi.
Bekas Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) itu didakwa mengikut Seksyen 27(a) Enakmen Jenayah Syariah Pulau Pinang 1996 manakala Nur Diayana pula di bawah Seksyen 27(b) enakmen sama.
Jika sabit kesalahan, setiap tertuduh boleh didenda maksimum RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.
- Kosmo

0 comments: