Isnin, 21 November 2011

Projek Saluran Paip Gas Sabah-Sarawak Bayar Pampasan 17 Kampung Lun Bawang


LAWAS (Sarawak), 21 Nov (Bernama) -- Angin perubahan telah membawa banyak pembangunan kepada masyarakat Lun Bawang, satu daripada kaum etnik minoriti Sarawak, terima kasih kepada projek Saluran Paip Gas Sabah-Sarawak sepanjang 512km yang sedang dilaksanakan.

Projek berharga US$500 juta itu, yang merentasi dua negeri terbesar Malaysia dengan melalui kawasan pedalaman ini, akan menyalurkan gas asli dari Terminal Minyak dan Gas Sabah (SOGT) di Kimanis ke kompleks Gas Asli Cecair (LNG) di Bintulu.

Alfred Padan, seorang pemimpin masyarakat Lun Bawang, memberitahu Bernama mengenai peranannya dalam memujuk penduduk setempat untuk menyokong pelaksanaan projek saluran paip terbesar Malaysia yang dibangunkan oleh Petronas, perbadanan minyak negara.

"Pada awalnya, penduduk setempat tidak dimaklumkan mengenai objektif projek ini dan sesetengah mereka membantahnya. Namun tidak lama kemudian kami berjaya menangkis cakap-cakap yang projek itu akan membawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan.

"Buktinya ialah peluang-peluang perniagaan yang telah diwujudkan dan mereka telah membantu meningkatkan taraf kehidupan petani dan keluarga mereka yang miskin," kata Padan, 62, yang juga pengurus serantau syarikat Samling Company, kontraktor utama pembalakan di daerah itu.

Beliau berkata proses penghantaran dan menanam saluran paip gas asli berukuran diameter satu meter itu di darat dari Sabah ke Sarawak -- 90km di Sabah dan 422km di Sarawak -- merupakan masalah paling kecil.

Menguruskan penduduk setempat, terutamanya mereka yang suka menimbulkan pertikaian berkaitan tanah adat (NCR) adalah jauh lebih rumit.

Sebaik sahaja saluran paip itu memasuki kawasan Sarawak, persoalan mengenai siapa akan memiliki apa telah menjadi isu. Jabatan Tanah dan Ukur Sarawak ditugaskan membantu kontraktor-kontraktor projek untuk menentukan sama ada kawasan yang dilalui saluran paip itu adalah milik kerajaan negeri atau penduduk.

Kontraktor berkenaan ialah Punj Lloyd, kumpulan antarabangsa terkenal dna berwibawa dan rakan kongsi konsortiumnya Dialog E and C Sdn Bhd dan Petrosab Logistik Sdn Bhd.

Satu daripada laluan "utama" ialah di sepanjang jalan dari Lawas ke kompleks kampung pergunungan Ba Kelalan. Laluan 100 km ini melibatkan bayaran pampasan kepada keluarga daripada 17 kampung masyarakat Lun Bawang, iaitu Kampung Sahabat Baru, Long Segaman, Pa Kepulu, Tangitung, Batu Mulong, Long Sebangang, Long Resina, Remirang, Long Lidong, Long Lutok, Long Sukang, Kampung Sukang, Punang Berayong, Berayong Tengah, Long Tuyo, Long Luping dan Long Brunot.

"Ini merupakan perkara sensitif kerana tanah amat berharga kepada penduduk. Namun kami berjaya menyelesaikan masalah ini dengan memberikan alasan munasabah kerana kami tahu masyarakat Lun Bawang adalah kaum yang mahu memajukan diri dan memilih untuk menyelesaikan masalah itu menerusi dialog," kata Padan.

Titik perubahan berlaku di beberapa kawasan apabila Padan berjaya menyakinkan beberapa penduduk kampung untuk melihat kepada tolak ansur yang menjanjikan sesuatu yang berfaedah.

"Lebih separuh daripada penduduk kampung-kampung dari Sahabat Baru ke Long Luping tidak berdepan banyak masalah kerana kebanyakan tanah mereka diiktiraf sebagai tanah adat.

"Apabila saluran paip itu sampai ke Long Tuyo, saya berjaya menyakinkan keluarga-keluarga secara individu untuk terus memberi kebenaran kepada kami. Mereka bersetuju apabila saya beritahu mereka yang kami akan membantu membina jalan raya, ratakan tanah dan bina kolam ikan dan petak sawah. Bersyukur kerana mereka memberikan kerjasama," kata bapa kepada tujuh cahaya mata itu.

Pemimpin agung kaum Lun Bawang, Temenggong Paris Kaya, 57, turut bercerita mengenai sesi dialog antara penduduk dan pihak berkuasa kerajaan, termasuk anggota Parlimen Datuk Henry Sum Agung, Menteri negeri Datuk Amar Awang Tengah bin Ali Hassan, bekas anggota Dewan Undangan Negeri Nelson Balang Rining dan Residen Limbang Maria Hasman.

"Kami telah melakukan yang terbaik untuk memberikan tawaran terbaik kepada pemilik tanah dan penduduk yang terjejas oleh projek saluran paip itu. Selain daripada pembayaran bagi tanah NCR, kami juga mengusahakan bayaran ex-gratia bagi pokok buah-buahan yang dipindahkan atau dimusnahkan semasa proses pembersihan tanah untuk memasang saluran paip, membantu membaik pulih atau menyediakan kawasan sawah atau membaiki sistem pengairan dan perkara-perkara lain.

"Kami berusaha memastikan tiada daripada penduduk kami akan menanggung kerugian dan Punj Lloyd sedar mengenai perkara ini. Petronas juga melaksanakan beberapa projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) seperti mengecat semula bangunan-bangunan dan premis-premis, menaik taraf bangunan gereja dan membaiki sistem bekalan air," kata Temenggong Paris, yang telah menjadi pemimpin kaumnya sejak tujuh tahun lepas.

Petronas malahan membekalkan tangki-tangki air 60,000 gelen kepada penduduk kampung untuk menyimpan air bersih.

"Ini adalah antara perkara yang kami dapat lakukan untuk penduduk dan kebanyakan mereka bersyukur dengan keprihatinan dan usaha yang dilakukan," kata Temenggong Paris.

Sejak ketibaan pembangunan besar itu ke kawasan luar bandar ini, katanya masyarakat Lun Bawang telah dapat menyesuaikan diri dengan perubahan hasil daripada pemodenan itu.

Sebelum ini merupakan kaum yang miskin, kini masyarakat Lun Bawang mampu membina banglo mereka sendiri di bandar dan di kawasan pedalaman, memiliki kenderaan termasuk pacuan empat roda dan menjalankan perniagaan dan perusahaan.

-- BERNAMA

0 comments:

Sharing