Sabtu, 5 November 2011

Awang Raweng, Penjejak Iban Tunggal Malaysia Terima Anugerah Ketenteraan Tertinggi Britian



Awang Raweng

KUCHING, 5 Nov (Bernama) -- Awang Raweng, seorang penjejak Iban dan individu tunggal dari Malaysia yang menerima George Cross, iaitu anugerah ketenteraan tertinggi Britain, sangat gembira kerana keberanian dan sumbangan beliau dalam memerangi komunis bukan sahaja diiktiraf tetapi masih diingati oleh kerajaan.

Bekas penjejak berusia 86 tahun itu yang berkhidmat dengan Worcestershire and Sherwood Foresters Regiment semasa darurat di Kluang, Johor, akhirnya dianugerahi Pingat Jasa Malaysia (PJM), sempena sambutan Hari Peringatan Perang Sarawak tahun ini.

"Saya berasa amat gembira kerana orang (kerajaan) masih ingat dan menghargai khidmat saya dahulu. Saya sangat mengharapkan dapat bertemu rakan-rakan lama tetapi mereka kini jauh di seberang, jarak yang memisahkan," katanya.

Beliau ditemui selepas menerima PJM daripada Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu dengan disertai 10 lagi veteran perang pada sambutan Hari Pahlawan di hadapan Tugu Pahlawan di Tebingan Kuching di sini.

Kini bekerja sebagai petani di Nanga Skrang di Sri Aman, beliau dianugerahi George Cross, yang menyamai Victoria Cross bagi orang awam, semasa beliau berjuang menentang 50 komunis ketika mempertahankan kedudukan seorang tentera British yang cedera pada 1951.

Sebagai seorang daripada hanya 25 orang yang masih hidup, yang menerima anugerah George Cross daripada Raja England kerana keberanian, beliau layak mengunjungi Istana Buckingham untuk menghadap Ratu Elizabeth II setiap dua tahun selain menerima kira-kira £1,000 setiap tahun daripada kerajaan Britain.

Sementara itu, Mejar (B) Victor Greenwood, 65, daripada British Army Royal Logistic Corps merakamkan penghargaan kepada Malaysia kerana mengiktiraf perkhidmatan beliau ketika bertugas di Sarawak pada 1965 semasa Konfrontasi Indonesia-Malaysia.

Greenwood, anak kelahiran Lanchester, mula menyertai tentera pada 1964 dalam Royal Military Police, menetap di Bau dekat sini sejak 1999, selepas berkahwin dengan seorang wanita Bidayuh dari Kampung Singai, Bau.

Penerima PJM yang lain ialah Kapten (B) Kong Tong Gnoh (Rejimen Renjer Diraja), Kapten (B) George Kurka Maja (Rejimen Diraja), PW I (B) M.Gunasagran a/l Marimuthiah (Kor Perkhidmatan Diraja), PW I (B) Bingkok Mambang (Rejimen Renjer Diraja), PW I (B) Ubang Kendawang (Rejimen Renjer Diraja), PW I (B) Nawdin Bujang (Tentera Laut), Able Rate (B) Abdul Rahman Sapawi (Tentera Laut), PW I (B) Nordin Amat (Tentera Udara) dan Sjn (B) Rahmah Omar (Tentera Udara).

Berucap pada majlis itu, Jabu berkata kerajaan amat berterima kasih kepada semua veteran terbabit, yang telah membina jambatan setiakawan yang berani dan ikatan persahabatan dengan tentera Komanwel serta masyarakat tempat mereka berkhidmat.

"Sungguh menggembirakan apabila mendapati selepas lebih 48 tahun berkhidmat dalam operasi keselamatan di Sarawak, veteran Komanwel kita dan keluarga mereka masih datang dari semasa ke semasa untuk mengunjungi semula bekas tapak kem mereka di kawasan sempadan dengan harapan untuk bertemu rakan setugas dan sahabat lama di sini," katanya.

Beliau berkata 35,000 veteran perang British kini dengan bangganya boleh memakai pingat Malaysia dalam semua sambutan di United kingdom, berkuat kuasa mulai Hari Peringatan Komanwel pada 13 Nov 2011.

Pengiktirafan bersejarah itu, yang akhirnya dimenangi selepas enam tahun kempen tanpa henti oleh veteran perang British, diumumkan oleh Setiausaha Bahagian Pertahanan Britain, Lord Astor of Hever, yang juga merupakan menerima PJM, kata Jabu.

Beliau berkata transformasi sosio-ekonomi yang disaksikan dan dialami hari ini terhasil daripada banyak pengorbanan dan penderitaan, lebih-lebih lagi oleh veteran tentera Malaysia dan Komanwel berikutan konflik bersenjata ketika Konfrontasi serta pemberontakan komunis (1962-1990).

Jabu, bersama-sama Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia Simon Featherstone, Komander Sembilan Briged Brig-Gen Datuk Stephen Mundaw, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Law Hong Soon, Penasihat Pertahanan Britain ke Malaysia Kol Jacques Lemay dan Penolong Penasihat Pertahanan Australia ke Malaysia Wing Commander Rod Dawson kemudian meletakkan kalungan bunga ke tugu peringatan pahlawan.

-- BERNAMA

0 comments: