Sabtu, 15 Oktober 2011

Festival Gong Sarawak 2011 di Bau, 18-20 November


BAU: Festival Gong Sarawak 2011 akan berlangsung buat pertama kalinya di daerah ini sebagai penanda aras kepada penganjuran program ini untuk tahun-tahun akan datang.
Melibatkan sembilan kumpulan dari Sarawak dan masing-masing satu kumpulan dari Sabah, Terengganu, Negeri Sembilan, Negara Brunei Darussalam dan Indonesia, acara ini dijangka mampu menarik kira-kira 3,000 pengunjung.
Menteri Muda Khidmat Komuniti, Datuk Peter Nansian Ngusie berkata, acara ini mampu mempromosikan aktiviti pelancongan di luar bandar amnya daerah ini.
Ditambah dengan lokasi penganjuran yang strategik iaitu Pusat Redeems, Nansian yang juga Pengerusi Redeems yakin festival ini mampu menjadi acara global.
Sementara itu, Pemangku Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sarawak, Saini Lihi berkata, festival ini bertujuan menyemarakkan aktiviti seni budaya negara serta meningkatkan mutu permainan tradisional di rantau ini.
Selain persembahan kumpulan gong, festival tiga hari dari 18 hingga 20 November depan ini turut melibatkan aktiviti seperti pameran alatan muzik traditional, jualan barangan kraf tangan, demonstrasi membuat gong dan pertandingan mewarna kanak-kanak.
Antara kumpulan yang menyertai festival ini ialah, Kumpulan Li Sheng, Gamelan Sri Ajuna, Bisingai Redeems, Persatuan Budaya Iban Sri Aman, Dayak Cultural Foundation, Buduk Gerua dan Bayu UNIMAS.
Turut menyertai festival ini ialah Kumpulan Kesenian JKKN Negeri Sembilan, Irama Bahtera Brunei, Gamutra Terengganu, Kumpulan Anak Temuai Malam Pakan, Kumpulan Rumpun Seni Beaufort Sabah, Kumpulan Indonesia dan Kumpulan Budaya Sarawak.
Sementara itu, acara perasmian akan diadakan pada 19 November dan dijangka akan dirasmikan oleh Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg pada jam 3 petang.
Majlis penutupan pula akan diadakan pada malam 20 November diikuti dengan jamuan makan malam dan akan disempurnakan oleh Nansian yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru.
- UB

0 comments:

Sharing