Ahad, 21 Ogos 2011

Kenyataan Media YAB Menteri Pelajaran Malaysia Mengenai Perlantikan Semula Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT)

DIPETIK DARIPADA FACEBOOK KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA, 10 OGOS 2011

1. Kerajaan amat prihatin dengan segala keluh-kesah dan permasalahan Guru Sandaran Tidak Terlatih baik yang sering dibangkitkan di dada-dada akhbar dan media elektronik mahu pun di setiap pertemuan bersama-sama guru-guru tersebut.

2. Lantaran dari itu, pada 3 Mac 2011, selepas merasmikan Program Juara Rakyat Parlimen Kinabatangan di Dewan Kampung Simpang Entilibon, Sabah saya telah mengumumkan bahawa seramai 13,184 orang GSTT tahun 2010 akan dilantik semula pada tahun 2011.

3. Malahan, semasa ucapan penggulungan di Dewan Rakyat pada 24 Mac 2011, saya juga memaklumkan bahawa GSTT yang pernah berkhidmat pada tahun 2010 diberi pertimbangan untuk terus berkhidmat dan diserap ke jawatan tetap mengikut syarat iaitu umur tidak melebihi 35 tahun dan berkhidmat sekurang-kurangnya dua (2) tahun termasuk tahun 2010.

4. Berikutan dari itu, sehingga Mei 2011, seramai 5,926 GSTT telah dilantik semula atau dipilih mengikuti latihan perguruan (1,143 orang sedang mengikuti latihan iaitu kemasukan secara permohonan biasa). Dengan itu, terdapat 7,258 orang GSTT yang belum dilantik semula atau dipilih mengikuti latihan perguruan.

5. Bagi menyelesaikan masalah GSTT yang belum di lantik semula ini, satu perjumpaan khas telah di adakan di antara Ketua Setiausaha Negara, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dengan Kementerian Pelajaran Malaysia dan Kementerian Kewangan pada 30 Jun 2011. Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran telah mengeluarkan arahan pada 1 Julai 2011 berkaitan perlantikan semula secara contract for service mulai Julai 2011 bagi GSTT yang layak. Perlantikan secara contract of service ini akan berjalan sehingga mereka ditawarkan latihan perguruan sama ada di IPG atau IPTA.

6 Daripada 7,258 orang GSTT yang belum dilantik semula, seramai 3,793 orang layak dilantik. Seramai 972 orang daripada kumpulan ini akan mengikuti latihan perguruan 18 bulan di IPTA mulai Disember 2011 dan 2,821 orang akan mengikuti latihan perguruan di IPG ambilan Januari 2012. Bagi yang mengikuti kursus di IPG, mereka yang mempunyai ijazah akan mengikuti latihan 18 bulan dan yang tidak berijazah akan mengikuti latihan 66 bulan iaitu program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan.

7. Bagi baki kumpulan ini yang berjumlah seramai 3,465 orang, kedudukan mereka akan ditentukan kelak selepas disahkan pematuhan terhadap syarat-syarat yang ditetapkan. Daripada jumlah ini mungkin ada di antara mereka yang masih berpeluang untuk dilantik semula atau dipilih mengikuti latihan perguruan selepas selesai semakan semula ke atas maklumat mereka.

8. Bagi yang dikenalpasti tidak layak dilantik semula, semakan keatas rekod mereka dan pengesahan akan dibuat sebelum akhir Ogos 2011.

9. Bagi mereka yang dilantik semula, penempatan tidak akan terhad kepada lokasi, sekolah atau opsyen asal. Penempatan akan dibuat bagi memenuhi dan menyokong perlaksanaan dasar khususnya dasar baru Kementerian seperti MBMMBI, Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS).


Pejabat Menteri Pelajaran
Putrajaya
26 Julai 2011

0 comments:

Sharing