Jumaat, 29 Julai 2011

Pemain biola kelahiran Sarawak juarai kejohanan dunia di Hollywood


KUCHING: Nama Malaysia, khususnya Sarawak kini menyerlah di mata dunia apabila pemain biola kelahiran negeri ini, Nisa Addina Mohamad Taufik yang hanya berusia 14 tahun berjaya memenangi Kejohanan Dunia Seni Persembahan yang diadakan di Hollywood, Los Angelas di Amerika Syarikat yang disertai oleh lebih 40 buah negara.

Kemenangan itu yang merupakan satu lagi pencapaian cemerlang bagi Nisa dikongsikan bersama ibu bapanya, guru-guru dan rakan sekolahnya Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Lintang.

Ketibaannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dari Kuala Lumpur dialu-alukan dengan paluan kompang.

Ibunya, Hadiah Rahman Hamzah yang menemaninya ketika kejohanan itu memberitahu bahawa Nisa menangis ketika pusingan akhir kerana tidak yakin dengan kemampuannya.

“Tetapi, mungkin disebabkan pertandingan sengit itu beliau berfikir setaraf dengan peserta berbakat lain dan akhirnya berjaya,” katanya.

Turut hadir, ayah Nisa, Mohamad Taufik Abdul Ghani dan pengetua sekolah, Mohd Syariff Affendy.

Mewakili negara dalam kategori Junior Instrumental, beliau telah memenangi tiga emas dalam genre asal, klasikal dan kontemporari dan pingat perak bagi kategori genre terbuka.

Beliau turut memenangi Juara Keseluruhan Dunia untuk kategori instrumental klasikal dan kontemporari.

Pada pusingan akhir yang disiarkan ke udara pada 22 Julai lalu di Amerika Syarikat dan WebTV, beliau dianugerahkan ‘Junior World Grand Champion Instrumental 2011’.

Nisa mula bermain biola seawal umur 7 tahun di bawah pimpinan Marcus Leong dan ahli Okestra Simfoni Negeri Sarawak (SONS).

Beliau juga ahli Permata Seni Music yang dikendalikan oleh konduktor kebangsaan Mustapha Fuzer Nawi. Pada 2009, beliau mula bermain secara solo dan telah membuat persembahan di pelbagai majlis rasmi dalam dan sekitar Kuching.

Selain itu, beliau juga menuntut ilmu dari pemain biola Jakarta Indonesia, Idris Sardi.

Pelajar tingkatan tiga itu mewakili Okestra Jabatan Pelajaran Sarawak (OPES) ketika konsert Syukur pada Perayaan Hari Guru Kebangsaan.

- UB

0 comments: