Ahad, 17 Julai 2011

Kolej Antarabangsa Teknologi Lanjutan Sarawak (ICATS) bina kampus di Demak Laut

KUCHING — Demak Laut, sebuah kawasan industri dan komersil yang sedang berkembang maju di sini, akan mempunyai sebuah institusi pendidikan teknikal awam tidak lama lagi.

Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata, dalam usaha memenuhi program pembangunannya, Kolej Antarabangsa Teknologi Lanjutan Sarawak (ICATS) akan membina kampusnya di Demak Laut, yang turut mengandungi bangunan pentadbiran, bilik kuliah dan asrama.

"Tapaknya telah dikenal pasti dan pembinaan akan dimulakan selepas termeterainya memorandum persefahaman (MoU), dijangka pada tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Komuniti 1Malaysia bagi kawasan Demak di sini hari ini.

Abang Johari, yang juga Menteri Pelancongan dan Warisan Sarawak berkata, apabila siap kelak, kampus baru ICAT itu mampu melahirkan lebih ramai tenaga kerja dalam bidang teknikal.

ICAT adalah institusi pendidikan milik penuh PPKS Ilmu Sdn Bhd, anak syarikat Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (PPKS), yang menawarkan kursus peringkat diploma dan ijazah pertama. — Bernama

0 comments: