Isnin, 28 Mac 2011

20 klinik kesihatan diluluskan di luar bandar Sarawak

TINJAU: Rosnah bersalaman dengan para jururawat desa ketika melawat Klinik Kesihatan Sebuyau yang dibina pada 1951, pada lawatan kerja sempena majlis pemimpin bersama rakyat di Sebuyau semalam. Beliau meninjau klinik usang itu yang bakal diganti dengan prasarana dan bangunan baru dalam rancangan Malaysia ke-10. — Gambar Bernama

SEBUYAU: Kementerian Kesihatan meluluskan projek pembinaan 20 lagi klinik kesihatan di beberapa kawasan luar bandar di Sarawak.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata pembinaan klinik kesihatan itu dibuat melalui separuh kedua Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).

“Selain itu pembinaan dua hospital iaitu di Bandar Baru Samariang, Kuching dan Miri diluluskan pada separuh pertama RMK-10,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Setakat ini Sarawak mempunyai 21 hospital kerajaan, klinik kesihatan (229), klinik ibu dan anak (22) dan klinik desa (lapan).

Sementara itu, Rosnah yang melawat Klinik Kesihatan Sebangan dan Klinik Kesihatan Sebuyau di sini berkata rancangan pembinaan semula dua klinik terbabit yang semakin usang dan tidak lagi sesuai dengan keadaan semasa akan dimasukkan dalam pelan separuh kedua RMK-10.

“Kementerian amat prihatin dengan masalah rakyat di kawasan luar bandar dan sebab itu kita mahu tingkatkan kemudahan kesihatan yang sedia ada agar lebih mudah rakyat mendapat rawatan kesihatan yang terbaik,” katanya.

Sementara itu, ketika berucap pada majlis pemimpin bersama rakyat di sini, semalam, Rosnah yang juga Ketua Pergerakan Puteri UMNO, memberitahu penduduk Sarawak tidak seharusnya menjadikan pilihan raya negeri ke-10 pada 16 April ini, sebagai tempat membuat uji kaji dengan memberi peluang kepada pembangkang untuk memenangi sesuatu kerusi dewan undangan negeri (DUN) pada pilihan raya tersebut.

Beliau berkata jangan mempertaruhkan masa depan negeri Sarawak hanya semata-mata mahu mencuba sesuatu yang baru dalam politik pembangkang yang sebenarnya telah terbukti gagal untuk membawa apa-apa perubahan kepada rakyat.

“Pilihan raya bukan tempat mahu buat ujian, ujian…saya sebagai anak Sabah telah merasai bagaimana peritnya 10 tahun berada di bawah pemerintahan pembangkang, kesannya amat perit sekali iaitu Sabah yang suatu ketika antara negeri termaju selepas itu jatuh,” katanya.

Katanya kesan daripada sesuatu uji kaji melalui penukaran kerajaan yang memerintah bukan dirasai hari ini, sebaliknya ia akan memberi kesan kepada generasi akan datang.

Menurutnya kerajaan yang sedia ada di bawah Barisan Nasional (BN) telah terbukti banyak membawa kemajuan dan kemakmuran kepada rakyat serta negeri Sarawak dan ia seharusnya dipertahankan pada pilihan raya negeri nanti. — Bernama

0 comments:

Sharing