Selasa, 28 September 2010

Penggunaan bahasa pasar dalam Facebook, Twitter tidak terkawal




LIMBANG: Penggunaan bahasa pasar dalam laman web sosial seperti Facebook dan Twitter bukan saja ‘mengancam’ penggunaan bahasa kebangsaaan malah sukar di kawal di kalangan masyarakat hari ini.

MERAKYATKAN BAHASA: Stephen (tiga kiri), sambil ditemani yang lain menyerahkan cek bernilai RM5,000 kepada wakil Kampung Patiambun pada sidang media Program Bedudun Bahasa, Bulan Bahasa Kebangsaan peringkat bahagian di Limbang, semalam.

MERAKYATKAN BAHASA: Stephen (tiga kiri), sambil ditemani yang lain menyerahkan cek bernilai RM5,000 kepada wakil Kampung Patiambun pada sidang media Program Bedudun Bahasa, Bulan Bahasa Kebangsaan peringkat bahagian di Limbang, semalam.

Penolong Pengarah Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Sarawak, Abang Patdeli Abang Muhi berkata penularan ragam bahasa pasar seperti bahasa rojak, bahasa SMS, bahasa sembang internet berleluasa dan sukar untuk dibendung di kalangan pengguna laman web sosial.

Menurutnya lagi ia berbeza dengan penggunaan Bahasa Melayu dalam akhbar dan majalah yang mudah dikawal dan dibuat penilaian penggunaan bahasa yang betul.

“Kita akui senario yang berlaku di kalangan pengguna laman web sosial dan sistem pesanan ringkas (SMS) yang gemar menggunakan bahasa pasar sehingga ia sukar dikawal.

“Namun beberapa tahun lepas, DPB mempergiatkan usaha untuk menggalakkan dan menyemarakkan penggunaan Bahasa Melayu di negara ini, termasuk mengadakan seminar penggunaan bahasa,” katanya kepada pemberita pada sidang media mengenai Program Bedudun Bahasa, Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) peringkat bahagian disini semalam.

Hadir sama ialah Timbalan Residen (Sosial), Stephen Kalong Nanggang, Penolong Pengarah Penerbitan DBP Sarawak, Jonathan Singki Lintan dan Penyelia Kanan KEMAS Limbang, Asmah Yasin.

Abang Patdeli menjelaskan lagi BBK merupakan usaha kerajaan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat pelbagai kaum di negara ini tentang kepentingan bahasa kebangsaan untuk membina jati diri dan memperteguh perpaduan bangsa Malaysia melalui bahasa dan sastera.

“Objektif kita bertepatan dengan tema 1bahasa, 1bangsa dan 1negara bagi menunjukkan betapa pentingnya bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan untuk menyatupadukan pelbagai kaum.

“Malah ia juga menggalakkan masyarakat untuk mengutamakan dan merakyatkan bahasa kebangsaan,” ujarnya lagi.

Beliau memberitahu lagi DBP turut menyediakan khidmat nasihat bahasa melalui laman sesawang kepada masyarakat yang berdepan dengan masalah penggunaan bahasa.

Jelasnya ia meliputi pelbagai perkhidmatan termasuk penerbitan, hak cipta, karyanet secara talian dan perkhidmatan lain.

Menyentuh mengenai program BBK peringkat bahagian Limbang, ia dijangka dilancarkan oleh Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah pada 24 Oktober depan bertempat di Dewan Kampung Patiambun di sini.

Pelbagai aktiviti menarik akan diadakan termasuk persembahan oleh juara pertandingan bercerita, deklamasi pusi, bermukun dan lagu puisi.

0 comments:

Sharing